Cabaran Memburu Ikan Musim Kemarau

Share

 

Biasanya hanya pemancing yang bertuah saja dapat menjumpai fenomena ini, itupun bergantung dengan keadaan hujan yang turun. Jika renyai-renyai untuk jangka masa sekejap saja, jawapannya mungkin trip kumpau juga jadinya.

 

Pemancing tidak akan menunggu hingga musim hujan sahaja untuk mengilat sebarau dan toman. Masa tidak menunggu, lebih-lebih lagi dengan tekanan kerja yang memerlukan dan aktiviti keluarga yang tidak dapat dielakkan seperti kenduri kawin dan sebagainya.

 

Oleh itu trip yang diatur sekian lama tetap ditempuh tak kira para air empangan rendah atau tinggi. Jika kena trip anda pada paras air rendah, mungkin sedikit tip ini boleh membantu.

 

Walaupun segala reba dan tunggul kayu banyak terserlah ketika musim kering, jangan sesekali takut melemparkan gewang anda ke kawasan sebegitu kerana boleh dikatakan setiap kayu yang berceracak dipenuhi lumut mati yang melekat padanya.

 

 

Bagusnya lumut ini ia menyeliput batang kayu tenggelam dengan tebal. Apabila gewang melalui kayu yang tenggelam, mata tiga gewang sukar tersangkut ke kayu, sebaliknya ia akan tersangkut pada lumut.

 

Jadi kebarangkalian gewang untuk tersangkut adalah rendah sekali. Tip yang lain, pastikan lure retriever dibawa, setiap kali sangkut, harapan untuk menaikkan gewang sentiasa ada.

 

Lupakan peralatan aksi ringan anda. Musim kering bukanlah masanya untuk anda main-main sangat dengan ikan, sudahlah susah nak dapatkan ikan, bila dah dapat putus atau sangkut selalu kerana peralatan ringan yang anda gunakan.

 

 

Ikan juga akan tersiksa dengan gewang yang anda sedekahkan. Jarak reba atau tunggul kayu dengan permukaan air yang dekat menyebabkan anda perlu pantas menghela ikan keluar dari rumahnya.

 

Keadaan air yang keruh bukanlah satu halangan yang besar. Terbaik untuk mengatasinya adalah menggunakan gewang dengan warna yang cerah, berkilat dan berkilau. Antaranya adalah warna chartreuse, oren, kuning dan hijau florescence.

 

Warna-warna sebegini membalikkan cahaya dengan lebih baik berbanding gewang warna natural atau pudar. Oleh itu ia beraksi dengan baik dalam suasana air yang keruh membuatkan ia senang didapati ikan. Jika permukaan air berolak kuat dengan angin yang mengganggu, cuba carik teluk-teluk yang terlindung.

 

 

Pada musim sebegitu, ikan-ikan juga tidak gemar menunggu di kawasan berangin kerana menyukarkan ia mencari makanan akibat biasan cahaya pada ombak-ombak di permukaan air. Air yang tenang juga memudahkan anda melihat arah ikan timbul.

 

Apabila ikan bermain di perimeter yang dalam, gewang yang boleh menyelam dalam adalah yang terbaik digunakan seperti gewang-gewang yang berbibir panjang, gewang jenis tenggelam, soft plastic, spoon, spinner, spinnerbait dan micro jig.

 

 

Pastinya anda perlu menukar mata tiga gewang ke mata tunggal atau persembahan kalis sangkut. Gewang-gewang perlu direndam hingga ke dasar dan mainkan ia rapat ke dasar. Sekali lagi lure retriever amat membantu.

Published by
Amang