Setelah menyempurnakan setiap pertandingan memancing pada tahun lalu dan tahun-tahun sebelumnya, kolam pancing Seri Bayu Tekala yang merupakan kolam pancing air tawar terbesar tanah air kembali meneruskan kesinambungan cabaran memancing dengan menganjurkan Cabaran Buka Tirai 2018.
Cabaran Buka Tirai yang akan dilangsungkan Kolam Pancing Seri Bayu Tekala, Semenyih pada 28 Januari ini (Ahad) menawarkan lebih RM90,000 sebagai ganjaran tunai.
Sebanyak RM45,000 menanti juara Cabaran Buka Tirai, RM11,000 bagi pemenang di tangga kedua dan RM5,000 bagi podium ketiga. Manakala RM 1,000 untuk tempat ke-4, RM500 bagi tempat ke-5, RM400 bagi tempat ke-6, manakala tempat ke-7 hingga ke-10 memperolehi RM300. Tempat ke-11 hingga ke-100 pula membawa pulang RM200 dan ke-101 hingga ke-150 yang merupakan tempat terakhir memperoleh RM150. Dan kesemua hadiah yang ditawarkan mengekalkan konsep sapu bersih.
Ads
Selain itu ganjaran tunai turut ditawarkan bagi kategori hadiah khas tongsan sisik halus dan patin Chao Phraya dengan menawarkan hadiah RM300 bagi tempat pertama dan RM200 untuk tempat kedua.
Selain ganjaran tunai, pihak kolam turut menawarkan dua buah televisyen LED berjenama dan 10 unit kekili berjenama Shimano bagi cabutan bertuah atau cabutan bonanza.
Ads
Menurut Eddie Rani selaku pengurus pertandingan, yuran pendaftaran penyertaan sebanyak RM100 bagi satu joran boleh dibuat di kaunter pendaftaran yang mula dibuka pada jam 1.00 petang, Sabtu (27 Januari) nanti. Sebanyak 1,000 helai baju T lengan panjang disediakan bagi pendaftaran awal. Manakala sesi pelepasan pancang atau merebut tempat akan dilangsungkan pada jam 5.00 petang hari yang sama. Dan keenam-enam kolam yang ada akan dibuka bagi Cabaran Buka Tirai 2018 Seri Bayu Tekala ini.
Ads
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Selama ini, tengas telah menjadi hidangan untuk sesetengah masyarakat di Malaysia. Bukan begitu sahaja, cara masakan tengas juga berbeza mengikut kaum. Contohnya, kaum bumiputera suka menghidangkan tengas dengan masak lemak, goreng dan bakar; kaum cina pula, suka mengukus tengas dengan kicap soya.
Sesetengah responden juga menyatakan bahawa rasa kelah hijau daripada sumber air yang berkualiti dan kelah merah tidak jauh berbeza. Ini telah membuktikan bahawa tengas boleh diterima sebagai makanan untuk sesetengah penduduk di Malaysia.
Tambahan pula, jika pengusaha restoran boleh menyediakan tengas dalam beberapa jenis masakan yang menarik, ini akan mendorong ramai pengguna menikmati tengas. Lagi pun, terdapat beberapa jenis produk perikanan yang kini laris di pasaran juga dipromosikan melalui pengusaha restoran. Contohnya, udang lipan (mantis shrimp) bukan makanan yang komersial pada 3 dekad yang lepas dan diproses sebagai makanan untuk ternakan.
Selepas pengusaha restoran berjaya memperkenalkan beberapa masakan udang lipan yang menarik, kini ia adalah salah satu produk perikanan yang mahal di pasaran Malaysia dan negara-negara lain. Selain itu, tengas juga berpotensi untuk dijadikan ikan hiasan. Oleh sebab tengas adalah bersinar dan mirip dengan kelah, ramai pengguna suka membela tengas untuk penghiasan.
Kini benih tengas (lebih kurang 3 inci) berharga dalam lingkungan RM10 seekor dan boleh didapati di kedai akuarium. Ramai pengusaha restoran juga suka membela tengas di dalam restoran mereka untuk meningkatkan imej dan menambah baik suasana.
Potensi ketiga adalah dijadikan daya tarikan untuk rekreasi. Ini kerana terdapat ramai kaki pancing sanggup mengunjungi jarak yang jauh untuk mendapatkan ikan tengas yang saiz besar. Jika populasi tengas liar dipelihara dan kawasan berkenaan dijadikan sebagai santuari ikan, ini mungkin boleh menarik ramai pemancing dan keluarga untuk menjalankan aktiviti rekreasi di kawasan tersebut.
Ini juga boleh merangsang ekonomi setempat kerana ini mewujudkan peluang pekerjaan baru untuk penduduk tempatan. Contohnya, mereka boleh menjual makanan dan peralatan, dan menyediakan perkhidmatan pengangkutan, penginapan dan sebagainya kepada para pengunjung.
Menurut para responden, hampir semua tengas yang diperolehi adalah daripada sumber semula jadi, seperti sungai, tasik, kolam dan empangan.
Jika bekalan tengas daripada sumber semula jadi berterusan, populasi tengas berkemungkinan akan menjadi seperti kelah, patin, dan banyak spesies ikan air tawar yang mahal pada masa kini, iaitu terancam dan kian berkurangan. Tambahan pula, terdapat beberapa responden memaklumkan bahawa saiz dan bilangan tengas di sesetengah lokasi didapati kian kecil dan berkurangan.
Mereka percaya bahawa punca utama adalah daripada aktiviti pembalakan di kawasan sekitaran dan juga penangkapan tengas yang berterusan. Gejala ini telah memberi kita satu amaran bahawa tengas di Malaysia mungkin sudah terancam oleh kegiatan manusia.
Jika usahawan ingin membangunkan pasaran tengas, mereka harus bergantung kepada sumber yang lestari. Teknologi penternakan tengas juga perlu dijayakan oleh pakar-pakar perikanan; ini kerana buat masa sekarang masih tiada teknologi yang bersesuaian untuk menternak tengas.
Dengan memperkenalkan teknologi penternakan tengas yang lestari, para usahawan boleh menghasilkan tengas dengan kos yang minimum, berskala besar dan konsisten. Seterusnya, produk tengas yang dihasilkan adalah mampu ditanggung oleh para pengguna tempatan. Oleh itu, kajian ikan tengas dalam aspek pemasaran dan biologi adalah penting sebelum ini dikomersialkan.
Secara kesimpulannya, tengas berpotensi dijadikan makanan, ikan hiasan, dan daya tarikan untuk aktiviti rekreasi. Namun begitu, bekalan ikan tengas yang konsisten, berterusan, tidak mengancamkan sumber kehidupan asli, dan kos beroperasi yang minimum adalah persoalan utama.
Kajian pemasaran dan biologi yang lebih mendalam juga memang penting untuk menjayakan usaha ini. Jikalau tengas berjaya dikomersialkan di Malaysia, ini pasti boleh membawa pelbagai manfaat di pasaran.
Ketika tiba di sebuah lubuk yang mempunyai jeram, kami terlihat anak-anak ikan melompat di permukaan air serta bertempiaran lari seolah-olah dikejar sesuatu. Masing-masing mendiamkan diri sambil segera memperkemaskan gewang untuk di lontar ke kawasan anak ikan tadi.
Apabila gewang sesudu Altima 10 gram yang digunakan Ayoi jatuh melayang hampir ke dasar, tali utamanya terus tegang dan joran melentur disentak penghuni. Belum pun sempat Ayoi mengetatkan lagi sistem regangan Shimano Calcutta Conquest nya, spesies yang tidak diketahui itu telah membawa talinya terus ke sudut lubuk yang mempunyai reba akar pokok.
Akhirnya, dia berputih mata kerana sesudu yang dianggap ‘killer’ pada spesies sebarau ini menjadi tukun buat selama-lamanya di dasar sungai berkenaan.
Selepas itu kami berpecah kepada dua kumpulan. Ayoi dan Azrul terus menuju ke hulu manakala saya dan Amin masih setia di kawasan lubuk pertama yang menjadi tempat kejadian rabut di dalam reba-reba kayu.
Amin menghantar Siam Spoon ke arah tebing seberang sungai berkali-kali namun tiada spesies yang sudi menjamah gewang. Sambil berbual, Amin sempat berseloroh agaknya ikan-ikan di sini ‘lambat bangun pagi’.
Saya dan Amin turun ke hilir secara beransur-ansur sambil membuat balingan ke celahan reba yang diyakini boleh mencetuskan satu sambaran. Di satu kawasan cetek, saya membuat balingan di permukaan air tanpa membiarkan ia jatuh ke dasar dan terus mengarau.
Tiga kali sambaran dari sang sebarau bersaiz 3 jari jelas kelihatan cuba menghentam gewang Bakau berwarna kuning, tetapi miss call.Balingan kedua ke lokasi sama tidak lagi bersambut.
Dengan semua yang masih belum menyentuh ikan sejak pagi kami meneruskan aktiviti mengilat di kawasan pulau yang terbentuk di tengah sungai. Amin mencuba beberapa kali melontarkan sesudu ke arah rumput di tepian pulau di tengah sungai, tiba-tiba mendapat satu sambaran padu.
Joran Ganko specialized custom berkekuatan 10 lb diasak kuat ke bawah. Dengan tali 14 lb dan sambungan perambut kejutan 30 lb membuatkan Amin sedikit risau dengan tentangan hebat ikan.
Dalam beberapa saat, spesies yang belum kelihatan menukar haluan menentang arus dan cuba mudik ke hulu dengan pantas. Melihatkan tebing yang agak tinggi dalam 7 kaki adalah agak mustahil untuk mendaratkan ke atas.
Amin terus turun ke bahagian tebing yang boleh dijadikan tangga untuk turun lebih dekat dengan gigi air. Tanpa lip grip dan tangguk, saya terus turun ke air membantu mendaratkan ikan ke tebing. Hasilnya boleh dikatakan badong seberat 3.3 kg menjadi lesen kepada joran yang pertama kali.
Pada sebelah petang kami mencuba nasib di sebelah bawah sungai. Ayoi yang beberapa kali rabut berasa amat kecewa walaupun berbagai sesudu ditukar setiap 10 kali balingan. Saya yang menggunakan gewang Surecatch mendapat sambaran di masa tali dalam gelendong kusut.
Tanpa menghiraukan kekusutan yang berlaku saya mengarau terus tanpa memberi peluang kepada ikan untuk melarikan gewang ke dalam reba pokok tumbang yang berselirat.
Seekor baung bersaiz sederhana berjaya didaratkan dan ia juga merupakan lesen pertama saya menewaskan spesies ini menggunakan gewang. Azrul juga dalam diam telah berjaya mendarat beberapa ekor sebarau yang boleh dikategorikan sebagai curut dan dilepaskan semula ke habitat asal.
Meskipun hanya seekor sebarau yang berjaya dinaikkan, ia tetap memberikan kepuasan kerana sebarau yang berjaya ditewaskan adalah bertaraf badong. Kami juga pasti akan kembali lagi ke sini dalam masa terdekat.
Pada bulan Mei beberapa tahun lalu, kami sekali lagi menjejaki perairan Kedah untuk menjejaki beberapa spesies jenahak, GT dan kerapu menerusi aplikasi pancingan jigging dan bottom.
Selain ingin mencari tangkapan terbaik untuk dibawa pulang, masing-masing memasang angan-angan untuk mencari rekod yang lebih baik daripada tangkapan terdahulu.
Sebelum turun ke lokasi yang dikepalai Encik Harun, kami bersiap sedia menyediakan peralatan yang sesuai.
Bimbang-bimbang keadaan tidak mengizinkan sekiranya dilakukan di atas bot, tambahan pula boleh mabuk dibuatnya.
Apa yang pasti kami cuba untuk mendapatkan kepuasan sebenar apabila bertarung nanti.
Walaupun bekalan umpan yang kami tidaklah sebanyak mana kerana sasaran kami trip ini hanyalah balik hari.
Namun, masing-masing telah berseloroh memadailah sekiranya gian kami ini dapat dilampiaskan dengan melihat adanya ikan besar yang akan dihambat tarik naik ke permukaan.
Cuaca baik
Bersyukur tidak terkira, dengan semangat sepasukan yang kuat, ketibaan kami lebih awal sekitar 9.25 pagi tanpa sebarang gangguan cuaca atau masalah teknikal yang datang dari bot berusia lebih 7 tahun ini.
Mengambil kira keadaan cuaca yang baik dan pergerakan air laut yang tidaklah begitu beralun memberi petanda yang menyenangkan.
Kami sempat juga melakukan pancingan tundaan ketika melalui spot yang biasa memperoleh tangkapan alu-alu dan juga tenggiri.
Namun ia tidak berhasil dan bot kami terus sahaja dipacu sehingga sampai ke lokasi sasaran sebenar.
Sebelum memulakan trip lagi kami telah berbincang dan bersepakat mata kail standard big game hook bakal diaplikasikan.
Walaupun tidak meletakkan sebarang sasaran spesies yang ingin didaratkan, realistik sekiranya kami mencuba apa sahaja mata kail jenis ini di sini.
Berkongsi umpan yang sama
Umpan sotong merupakan umpan yang bolehlah dikategorikan sebagai umpan kegemaran bagi spesies jenahak dan kerapu. Lebih-lebih lagi sotong hidup yang segar di candat.
Berdasarkan pengalaman kami, sotong hidup ini antara umpan yang tidak akan ditolak oleh spesies jenahak. Jarang sekali, kami gagal untuk mendaratkannya.
Kami juga pernah mencuba menggunakan kepala sotong segar. Tidak sangka ia lebih mujarab dan luar biasa sekali tindak balas jenahak terhadapnya.
Sambil menunggu umpan yang dipasang dimakan ikan, kami juga melakukan jigging. Aksi jigging turut menghasilkan ikan kerisi, namun bilangannya tidak banyak.
Sambil-sambil boring menunggu, kami juga sempat apollo mencari umpan hidup.
Sekitar jam 11 pagi, rod milik Abang Harun yang diletakkan di belakang bot, tiba-tiba dihenjut kuat, tanda ada ikan besar yang telah membaham umpan sotong segar miliknya.
Abang Harun berulang kali mengarau kekili sambil mengetatkan drag. Masing-masing yang berada di dalam bot berdoa agar spesies yang dijangkakan kerapu ini tidak mampu menyelinap masuk ke rumah atau batu karang.
Dengan kudrat yang ada, berhempas pulas jugalah hendak menewaskannya. Tidak lama kemudian, timbullah sang kerapu yang kami doakan sejak awal dari tadi lagi.
Syukur dan syabas kami ucapkan kepada Abang Harun kerana berjaya juga menewaskan sang kerapu.
Kami sebulat suara merahsiakan spot ini dari agar ia sentiasa terpelihara. Maklumlah spot ini boleh dianggap hot spot di kalangan pemancing tempatan. Cukuplah sekadar gambar jadi tatapan menggambarkan segalanya.
Selepas tangkapan kerapu berjaya diperolehi, kami meneruskan lagi aksi jigging. Oleh sebab, spot rahsia ini adalah kawasan batu karang dan juga lubang, kami rata-ratanya menggunakan joran aksi ringan PE 1-3 dan sederhana PE 3-5.
Namun, aksi jigging di sini, kurang memberangsangkan, sebaliknya teknik bottom pula yang lebih menjadi.
James Lim dan Dr Kevin masing-masing memperoleh gerut-gerut dan jenahak. Manakala GT dan juga ebek juga berjaya diperolehi dengan kaedah yang sama.
Kesimpulan trip
Walaupun teknik bottom yang lebih menjadi, kami bersyukur dengan hasil yang diperoleh dan ia sudah pun cukup memuaskan hati kami.
Kami percaya, kawasan perairan ini masih lagi kaya dengan kepelbagaian spesies meskipun terdapat berita tentang wujudnya nelayan pukat tunda turun melabuhkan pukat pada waktu malam.
Diharapkan agensi yang dipertanggungjawabkan mampu menjaga kawasan perairan kita dengan lebih baik lagi, khususnya mengekang pencerobohan nelayan pukat tunda mahupun nelayan asing.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...