Bagaikan mengantuk disorongkan bantal, apabila salah seorang pengusaha bot yang terkenal di Kuala Rompin iaitu Nuries & isterinya, Rose menghubungi saya untuk mencuba salah sebuah bot baru yang dimilikinya. Pelawaan ini terus saya sambut dengan baik dan saya terus bergerak menuju ke Kuala Rompin bersama rakan-rakan seperti tarikh yang di janjikan.
Setibanya saya di Rompin pada pukul 8.00 malam, saya terus bertemu Nuries dan Rose untuk membincangkan tentang trip kami yang akan berlangsung esok pagi. Kedatangan saya disambut mesra oleh mereka dan segala aktiviti kami esok telah siap sedia diaturkan.
Pulau Berhala
Lokasi yang di cadangkan oleh Nuries dan Rose ialah memancing di sekitar perairan Pulau Berhala. Walaupun pun waktu ini bukan waktu terbaik untuk memancing ikan layaran yang terkenal di daerah Kuala Rompin, Pulau berhala adalah lokasi yang patut dicuba memandangkan lokasi ini kaya dengan ikan-ikan pelagik yang menjadi buruan kaki pancing seperti ebek, tenggiri, alu-alu dan banyak lagi. Walaupun begitu kami sentiasa dengan sikap tawakal dan redha dengan apa pun hasil tangkapan yang bakal diperolehi nanti.
Bot milik Nuries dan Rose yang kami naiki yang panjangnya 30 kaki dan 7 kaki lebar berkekuatan enjin Honda Vtec 225HP memecut menyusuri perairan Rompin dengan kelajuan 20 knot menuju ke Pulau Berhala. Bot ini lengkap dengan kemudahan rod holder, GPS, Sonar dan tempat letak ikan hidup untuk di jadikan umpan.
Menjadi kebiasaan di sini, kami singgah terlebih dahulu di unjam untuk mencari umpan hidup sebelum tiba ke destinasi, selepas stok umpan sudah mencukupi, bot terus bergerak menuju ke Pulau Berhala.
Trolling
Lebih kurang sejam lebih perjalanan, kelihatan Pulau Berhala tersergam indah di tengah-tengah lautan. Perkara pertama yang disarankan oleh tekong ialah sesi trolling di sekitar Pulau Berhala. Gewang selaman dalam sepanjang 14 inci diturunkan dengan harapan dapat memujuk ikan-ikan pelagik yang banyak terdapat di sekitar Pulau Berhala.
Selepas beberapa kali bot berpusingpusing menunda gewang di sekitar pulau, satu hejutan padu berlaku pada rod milik saya lalu pertarungan bersama ikan mula berlangsung. Saya yang menggunakan rod berkekuatan PE 4 bersama gandingan kekili spinning siri 5000 bersama-sama main line berkekuatan 40lb terpaksa berhempas pulas menahan asakan ikan ini.
Selepas pertarungan selama 10 minit berlangsung, ikan telah menunjukkan tanda-tanda sudah lemah, kekili dikayuh dengan penuh berhati-hati supaya ikan dapat dinaikkan. Akhirnya seekor ikan alu-alu bintik hitam (Great Barracuda atau nama Saintifiknya Sphyraena barracuda) seberat 7 kg berjaya di daratkan.
Selepas ikan berjaya didaratkan, bot bergerak meneruskan aktiviti trolling atau menunda gewang di sekitar Pulau Berhala. Semasa sisi menunda gewang, beberapa kali kes lucut telah berlaku, banyak gewang yang digunakan juga hancur dikerjakan ikan-ikan pelagik yang di percayai kerja ikan alu-alu.
Namun berkat kesabaran kami, beberapa ekor alu-alu lagi berjaya diperolehi kami. Selain itu, kami bagaikan menerima bonus apabila salah seorang rakan kami berjaya memperoleh ikan tenggiri batang hasil dari sisi menunda gewang.
Selepas separuh hari kami menunda gewang, bot mula berlabuh untuk sesi memancing dasar dan menghayut (drift) umpan hidup dengan harapan ada ikan layaran atau tenggiri yang sudi melayan kami.
Bottom & drift
Selepas menanti dengan penuh sabar, akhirnya rod milik Imam melentuk kuat. Tanpa disangka-sangka ikan layaran telah memakan umpan ikan selar hidup beliau. Memang mengejutkan kerana di luar musim layaran ini masih ada layaran yang sudi memakan umpan kami. Selepas beberapa minit melayan henjutan padu ikan layaran.
Akhirnya ikan tersebut berjaya didaratkan. Selepas sesi bergambar, ikan tersebut dilepaskan semula ke dalam laut. Sekali lagi sebelum kami pulang, seekor layaran lagi berjaya diperolehi. Ikan tersebut menjadi penutup sesi memancing kami. Kami bersiap-sedia berkemas untuk pulang.
Hasil yang diperolehi juga amat memuaskan. Selain ikan alu-alu dan tenggiri hasil daripada sesi trolling atau menunda gewang, Kami juga memperolehi lebih 30 kg ikan kerisi, cencaru dan kerapu juvenil hasil daripada sesi memancing dasar dan apollo ketika sambil-sambil menantikan ikan memakan umpan drift yang kami turunkan.
Hasil sebegini sudah cukup buat kami sepanjang seharian memancing di Pulau Berhala. Hasil keseluruhan tersebut dibahagikan sama rata supaya semua ahli trip dapat merasa hasil memancing di Pulau Berhala.
Penutup
Perairan Rompin memang kaya dengan pelbagai ikan. Walaupun ia terkenal dengan kehadiran ikan layaran setiap tahun pada bulan Jun – Oktober. Rompin tetap meriah dengan kehadiran pemancing-pemancing dari dalam dan luar negara pada hari-hari yang lain. Selain layaran, pelbagai ikan-ikan lain boleh didapati.
Ambil contoh ikan ebek yang banyak masuk di perairan Rompin pada awal tahun boleh dijadikan sasaran buat kaki memancing. Terpulang kepada pemancing untuk mengaplikasikan teknik memancing yang ingin digunakan.
Apa yang saya tahu, perairan Rompin bukan sekadar syurga buat ikan layaran, tetapi syurga buat kaki jigging, bottom, trolling dan pelbagai teknik memancing lagi. Bagi saya, bagaikan tidak cukup syarat jika tidak berkunjung di Perairan Rompin setiap tahun
(Catatan : Akasah)