Buru Pelagik Dua Beranak ®

Share

 

Lain padang lain belalang, lain pemancing lain minatnya. Ada pemancing yang minat pancingan air tawar, ada pemancing yang minat pancingan air masin.

Ada pemancing yang turun ke laut untuk berjigging, ada juga yang turun ke laut untuk pancingan dasar memburu ikan-ikan gred A.

 

Namun, jarang-jarang kedapatan pemancing turun ke laut semata-mata untuk memancing ikan-ikan kecil atau lebih mudah diistilahkan sebagai ikan lauk dengan teknik Apollo.

Apatah lagi trip tersebut hanya dilakukan oleh dua pemancing sahaja. Perjalanan darat berpuluh kilometer, bayar sewa bot mahal-mahal hanya untuk layan Apollo.

Namun bagi Farah dan anak gadisnya Ateqa, ia bukanlah sesuatu yang pelik.

 

Farah cukup menggemari pancingan apollo

 

“Saya tak minat pancing ikan besar… Penat nak tarik,” ujar Farah apabila ditanya kenapa  memilih untuk melayan Apollo sahaja.

“Lagipun tak boring. Sekejap saja dah dapat ikan,” tambah Ateqa pula yang pada dasarnya ada benarnya juga.

 

Sememangnya ada keseronokan sendiri pancingan Apollo ini. Selain seronok dan tidak memerah keringat dan tenaga seperti bertarung dengan gerepoh atau layaran, pancingan apollo ini dapat melalaikan diri dari melayan rasa mual mabuk laut.

Dan yang pastinya pancingan Apollo hampir sifar peratus pulang dengan tangan kosong atau kumpau.

 

 

Mengeratkan hubungan ibu dan anak

 

Sepadan dengan pancingan santai dan melayan Apollo sahaja, kelengkapan pancing yang dibawa oleh dua pemancing wanita ini sepadan dengan kaedah pancingannya.

Satu set joran mengilat dan dua set ultra ringan. Walaupun sekadar trip santai melayan Apollo, ada ketikanya Ateqa turut sama berjigging menggunakan set jigging milik tekong.

Khususnya apabila gerombolan ikan tongkol memasuki radius pancingan Apollo. Begitu juga apabila tekong menyandat sotong.

Ateqa turut sama mencubanya kecuali pancingan dasar sahaja beliau tidak praktikkan.

 

Sementara bagi pihak tekong yang bertanggungjawab, meskipun sekadar memancing ikan lauk, ia bukanlah satu tugas mudah.

Tekong tidak boleh sekadar berlabuh di hadapan mana-mana kapal yang berlabuh di kawasan kapal parking.

Tekong perlu bijak memilih kapal yang sudah parkir lebih dari seminggu kerana di kawasan kapal yang sudah lama parkir sahaja menjadi tumpuan ikan-ikan lauk seperti cencaru, selar, kembung dan selayang.

Kemudian, apabila hasil pancingan mula perlahan, tekong perlu berpindah mencari kawasan kapal lain pula.

 

Cencaru banyak dinaikkan

 

Seperkara lain yang lebih menggembirakan dua beranak ini apabila kembali ke darat, sebahagian kecil ikan-ikan lauk ini akan dibawa ke restoran untuk dimasak.

Dan tiada masakan yang lebih enak berbanding ikan-ikan segar dari laut terus ke kuali.

 

Published by
Amang