Sesi hari kedua bersama bot Baby Tuna mensasarkan buruan spesies kerapu boron spesimen saiz tong gas.
Ia dilangsung dengan menggunakan jig jigging perlahan produk terbaharu jenama Weebass dan Wenz di perairan Pulau Jarak bermula dengan cuaca mendung dan suram.
Berbanding hari pertama, suasana di laut laut pada hari kedua ini sebenarnya agak berpotensi juga.
Lautan lebih berarus manakala tiupan angin tidaklah terlalu deras sehingga menyulitkan dan mengganggu rentak jig yang dipertaruhkan untuk mempedaya kerapu boron.
Hanya kelibat matahari yang terlindung disebalik awan tebal seperti mempengaruhi hidupan marin bertindak aktif memburu makanan.
Ads
Biarpun cuaca agak kurang memberangsangkan, aktiviti pancingan ternyata lebih baik berbanding hari sebelumnya. Hanya ia bermula dengan begitu perlahan.
Menjelang tengah hari baru strike demi strike berlangsung sama ada di bahagian belakang, tengah dan hadapan bot Baby Tuna.
Spesies kerapu boron yang menjadi spesies sasaran utama turut sama berjaya didaratkan.
Biarpun skala saiznya tidak menepati saiz sasaran sebesar tong gas, sedikit sebanyak ia sudah membuktikan jig baharu keluaran Weebass dan Wenz berupaya untuk menjerat spesies sasaran dalam aksi pancingan perlahan.
Ads
Dalam trip hari kedua pancingan di perairan Pulau Jarak bersama Baby Tuna ini juga menyaksikan pendatang baru dalam teknik pancingan jigging perlahan, Adam Lee yang bergurukan Shem Ng, muncul sebagai pemancing yang paling hanyir.
Hasil ketekunan dan kerajinan, beliau dianugerahkan beberapa ekor kerapu berlainan spesies saiz hidangan, sekali gus menjadi pencetus semangat beliau untuk terus melibatkan diri dengan teknik pancingan jigging perlahan.
Ads
Sementara Felman Leong yang bertaraf sifu dalam dalam teknik jigging perlahan ini tidak ketinggalan mempamerkan aura tersendiri apabila mendaratkan seekor kerapu hybrid yang merupakan tangkapan bonus pada penghujung trip.
Tidak lama selepas kerapu hybrid anggaran skala berat lima kilogram itu berjaya didaratkan, berikutan ada petanda hujan dengan lebat, tekong Baby Tuna segera beredar dari perairan Pulau Jarak.
Dalam kesejukan akibat kehujanan dalam perjalanan pulang ke jeti yang menelan masa lebih dua jam, sebahagian besar ahli tidak berasa serik untuk kembali ke perairan Pulau Jarak memburu kerapu boron bersama Baby Tuna lagi.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Sedili Besar terletak kira-kira 400 kilometer dari Shah Alam, dan memakan masa perjalanan sekitar 5 jam. Perkampungan nelayan yang terletak dalam daerah Kota Tinggi, Johor ini sememangnya tercatat dalam kalendar sebagai port popular sukan pemancing.
Gugusan karang perairan Sedili seperti Karang Ngah, Karang Yu, Karang Kemaman, Batu Mereng dan lain-lain sering dikunjungi kaki pancing khususnya untuk memburu pelbagai spesies di sini.
Apabila dipelawa oleh Kamal, seorang rakan untuk menyertai trip mencari tenggiri, penulis mengambil sedikit masa untuk memberikan persetujuan.
Pertama sekali, bajet pun nak kena ambil kira jugak. Begitu juga dengan set peralatan. Penulis minta pandangan member-member yang pernah memancing tenggiri di perairan Sedili terlebih dahulu.
Rata-rata memberikan pendapat yang hampir sama, kos memancing di perairan Sedili agak tinggi ekoran kemasukan ramai pemancing dari Singapura dan tenggiri di Sedili agak culas memakan umpan dan kelengkapan yang tepat saja mampu menewaskannya.
Setelah bersetuju untuk menyertai trip tersebut, penulis temui lagi Kamal untuk mengetahui teknik dan kelengkapan yang diperlukan. Selain joran dan kekili yang sepadan, kelengkapan penting yang perlu digunakan adalah tangsi Crystal clear 20lb sebagai tali utama, fluorocarbon halimunan 25lb sepanjang 3 depa sebagai perambut dan juga kabel 20lb untuk mengikat mata kail bersaiz 2/0.
Ekoran bot mengalami sedikit masalah teknikal, trip asal selama 3 hari 2 malam dipendekkan menjadi 2 hari 1 malam saja. Satu kelegaan juga kerana kos trip dapat dijimatkan sedikit. Sekitar jam 9.30 malam, kami berempat bertolak dari Kajang menuju terus ke Kota Tinggi.
Penulis yang sememangnya sukar untuk melelapkan mata dalam kenderaan, terasa iri juga melihat rakan yang lain mudah saja untuk tidur.
Tepat jam 3.00 pagi, kami tiba di jeti Sedili Besar. Sementara menanti ketibaan tekong Pak Deris dan awak-awaknya, sempatlah juga kami membungkus nasi dagang dan nasi lemak untuk sarapan nanti. Tepat jam 4.00 pagi, bot pun bergerak keluar dari jeti.
Sejurus keluar dari muka kuala, barulah kehadiran angin dapat dirasakan. Sekaligus membuatkan permukaan laut agak berkucah. Sementara tiba di unjam untuk mencari umpan hidup, penulis mengambil kesempatan untuk melelapkan mata. Bot yang membuai membuatkan penulis benar-benar dialun mimpi.
Bila celik mata, hari sudah pun cerah dan rakan-rakan yang lain sudah pun memulakan pemburuan tenggiri dengan kaedah drift atau menghanyutkan umpan ikan tamban hidup. Langsung tidak sedar saat dan ketika bot berlabuh untuk mendapatkan umpan hidup.
Penulis bangkit dengan perasaan yang kurang enak. Sama ada kurang atau bot yang sedikit membuai menyebabkan kepala terasa pening. Pening tak pening, misi mesti dilaksanakan. Penulis mengambil tempat dan segera menghulurkan umpan tamban hidup di belakang bot dan membiarkannya hanyut ke arah pelampung penanda unjam.
Tak sampai 5 minit kemudian, kekili Penn 320GT2 milik Kamal direntap kuat dan alarmnya berdesing nyaring. Sekitar dua tiga minit melayan tangkapan sulungnya, seekor aya kurik atau tongkol berskala 3kg berjaya digancu oleh tekong Pak Deris.
Setengah jam kemudian, giliran Bob pula membuktikan kehandalannya menjerat tenggiri. Dengan tenang beliau melayan kerenah pemangsa membedal umpan hidupnya. Dengan set kekili Tica Taurus 6000 dan joran Shimano Beast Master Bob tiada masalah untuk mendaratkan tenggiri berskala 10 kg.
Sehingga tengah hari, dan berapa kali bertukar lubuk, tiada lagi tenggiri yang dinaikkan. Hanya Kamal sekali lagi berjaya menaikkan ikan tongkol. Sementara Fikri pula yang rajin melayan apollo, tidak menang tangan menanggalkan cencaru dari mata kailnya.
Menjelang petang, keadaan laut tidak kelihatan akan kembali tenang sebaliknya kian bergelora. Laut kian berombak dan berkucah keluar masuk ke dalam bot. Malah untuk berdiri sekali pun harus berpaut satu tangan pada badan bot. Tahap ketahanan penulis sampai ke penghujungnya.
Kepala yang pening semakin menyucuk memaksa penulis berehat panjang di kabin. Fikri yang rancak melayan apollo turut sama tumbang. Hanya Kamal dan Bob yang sudah biasa dengan alunan perairan Sedili saja meneruskan misi memburu tenggiri dengan teknik bottom.
Dari petang hinggalah ke malam, penulis hanya mampu mendengar dan melihat aksi-aksi di atas bot namun tak terdaya untuk bangkit. Untuk merakam aksi pertarungan pun tak terdaya, apatah lagi dengan keadaan bot yang teroleng-oleng sedemikian rupa.
Tersedar dari tidur buat sekian kalinya, barulah penulis terasa segar dan segala pening hilang. Laut juga juga terasa tenang dan nyaman. Namun, apabila diperhatikan sekeliling… rupanya bot sampai di jeti!
Ekoran angin tenggara yang menyebabkan laut berkucah dan bergelora, Kamal dan Bob bersepakat dengan tekong Pak Deris untuk memendekkan trip 2 hari 1 malam kepada 1 hari 1 malam saja.
Dalam pada berasa lega, penulis terasa ralat juga kerana gagal menyumbang sesuatu dalam trip ini. Namun penulis dapat pengajaran berguna dalam trip ini, selain menumpukan perhatian pada persediaan kelengkapan yang tepat, penulis abaikan soal perkara yang maha penting iaitu rehat atau tidur yang cukup sebelum memulakan trip. Tanpa tidur yang cukup dan tanpa ubat mabuk laut, peluang untuk menyentap ikan akhirnya bertukar menjadi trip menyentap tali perut!
Percaya atau tidak, kemusnahan alam sekitar dan tangkapan secara tidak terkawal adalah dua faktor utama menyumbang kepada kepupusan `Raja Sungai’ iaitu spesies ikan kelah. Atau dalam erti kata lainnya, walau apapun alasan yang diberikan, sedikit sebanyak kita sebagai pemancing merupakan penyumbang kepada kepupusan ikan kelah hari ini.
Menyedari ancaman yang semakin hari semakin teruk ke atas spesis ikan ini, Lembaga Pembangunan Terengganu Tengah (Ketengah) membangunkan tempat perlindungan dikenali sebagai Santuari Ikan Kelah (SIK) di Sungai Petang yang terletak dalam kawasan Tasik Kenyir.
Mula diusahakan pada Januari 2006, santuari ini kemudiannya dibuka kepada orang ramai pada 15 Oktober 2008 untuk memberi peluang kepada masyarakat melihat sendiri habitat ikan kelah ini.
Bagaimanapun, santuari ini ditutup pada setiap musim tengkujuh iaitu November hingga Februari setiap tahun demi keselamatan pengunjung kerana sepanjang tempoh itu paras air sungai meningkat dan boleh berlaku banjir. Selain itu, inilah juga musim untuk ikan ini berenang menongkah arus ke muara sungai dan bertelur.
Sama ada anda datang ke Tasik Kenyir sebagai pemancing atau pelancong, sewajarnya SIK di Lubuk Kejor, Sungai Petang disenaraikan dalam tentatif anda. Pada dasarnya Santuari Kelah Sungai Petang ini dibina dengan objektif mengekalkan sumber akuatik dan bio diversity, menjadikan Sungai Petang sebagai pusat pembenihan ikan, memulihara dan mengggalakkan pembiakkan spesis ikan asli Tasik Kenyir, membangun dan mempertingkatkan produk pelancongan berasaskan eco tourism serta memulihara alam sekitar bagi menentukan habitat ikan tidak tercemar.
Kehadiran kita ke SIK sebenarnya bukanlah tiket untuk memenuhkan tabung pihak yang mengusahakan santuari ini sebaliknya membantu populasi ikan yang kian terancam kepupusannya. Hanya di sini sahaja pemancing atau sesiapa sahaja bukan sekadar dapat melihat malah menyentuh dan bermain-main dengan spesies raja air tawar iaitu kelah merah.
SIK Sungai Petang terletak di Sungai Petang dengan jarak sekitar 21 kilometer dari Pengkalan Gawi. Menaiki bot laju ia memakan masa sekitar 40 minit perjalanan ke Pos Kawalan Santuari Kelah Sungai Petang, seterusnya anda akan dibawa ke Hentian 1. Dari Hentian 1 anda akan merentas denai dan meniti jambatan gantung dengan jarak sekitar 1.7 kilometer sebelum tiba ke lubuk untuk menimba pengalaman yang tak ternilai bermain dengan spesies idaman para pemancing satu Malaysia ini.
Meskipun orang ramai boleh mengunjungi santuari ini dan merasai sendiri pengalaman bermesra dengan ribuan kelah yang ada tetapi mereka dilarang sama sekali daripada menangkap atau memancing ikan itu. Perlu diperingatkan, semua ikan kelah di santuari ini dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perikanan 1985, Kaedah-Kaedah Perikanan Darat Terengganu 1988 (Kaedah 21).
Di bawah Akta itu, mana-mana orang yang didapati menangkap, membunuh dan memiliki ikan dalam kawasan tutup yang dinyatakan jika sabit kesalahan akan dikenakan denda tidak melebihi RM 1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya dengan perintah pegawai perikanan darat.
Dalam masa yang sama, demi menjaga kebajikan ikan di santuari itu, ia hanya dibuka untuk kunjungan 100 pengunjung sahaja untuk pada satu-satu hari. Kuota 80 orang diberi untuk pengunjung yang membuat tempahan awal dan selebihnya untuk pengunjung yang datang tanpa membuat tempahan.
I) AMARAN ANGIN KENCANG DAN LAUT BERGELORA (KATEGORI KETIGA)
Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan melebihi 60 kmsj dengan ketinggian ombak melebihi 4.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan tenggara Samui, Tioman, barat laut Bunguran, Condore dan barat laut Reef North sehingga Ahad, 14 Januari 2018.
Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.
(II) AMARAN ANGIN KENCANG DAN LAUT BERGELORA (KATEGORI KEDUA)
Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 50-60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan tengah Samui, utara Tioman, tenggara Bunguran, tengah Reef North, Layang-layang, barat laut Reef South dan barat laut Palawan sehingga Ahad, 14 Januari 2018.
Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.
(III) AMARAN ANGIN KENCANG DAN LAUT BERGELORA (KATEGORI PERTAMA)
Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan utara Samui, tenggara Reef North, tenggara Reef South, Labuan dan Palawan sehingga Ahad, 14 Januari 2018.
Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.
(IV) AMARAN RIBUT PETIR MENYELURUH – KEMAS KINI
Ribut petir di perairan Selat Melaka, Tioman, Bunguran, Reef South, Reef North, Layang-layang, Palawan, Labuan dan Sulu dijangka berterusan sehingga lewat petang, Khamis, 11 Januari 2018.
Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil.
SEKSYEN B: UNTUK PERAIRAN MALAYSIA
(I)AMARAN ANGIN KENCANG DAN LAUT BERGELORA (KATEGORI KETIGA)
Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan melebihi 60 kmsj dengan ketinggian ombak melebihi 4.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Terengganu, Pahang dan Johor Timur sehingga Ahad, 14 Januari 2018.
Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.
(II) AMARAN ANGIN KENCANG DAN LAUT BERGELORA (KATEGORI KEDUA)
Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 50-60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan kelantan sehingga Ahad, 14 Januari 2018.
Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.
(III) AMARAN ANGIN KENCANG DAN LAUT BERGELORA (KATEGORI PERTAMA)
Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Sarawak, Sabah (Pedalaman, Pantai Barat & Kudat) dan WP Labuan sehingga Ahad, 14 Januari 2018.
Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.
Selain daripada itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut yang dijangka bermula pada Khamis, 11 Januari 2018 sehingga Ahad, 14 Januari 2018.
(IV) AMARAN RIBUT PETIR MENYELURUH – KEMAS KINI
Ribut petir di perairan Perak, Selangor, N.Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu dan Sabah (Kudat & Sandakan) dijangka berterusan sehingga lewat petang, Khamis, 11 Januari 2018.
Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...