Perjalanan kira-kira 80km melalui jalan balak bukanlah menjadi masalah kepada sembilan jentera ‘kereta perang’ grup Memerang Tracker, cuma cuaca hujan renyai berterusan membuatkan jalan menjadi becak dan beberapa kali juga pacuan empat roda tumpas di lereng bukit.
Setelah seharian meredah hutan dan sungai, akhirnya kumpulan kami tiba di pertembungan sungai di Sangka 3, itu pun hari sudah mendekati senja dengan renyai hujan masih tidak jemu mencurah hutan Jerantut.
Setelah mendirikan kem utama dan mengisi perut lebih kurang, kami memilih untuk berehat dahulu memandangkan kesemua penat bermain kereta sepanjang hari.
Lagi pun trip empat hari, tiga hari lagi sebelum keluar dari hutan.
Esoknya seawal tujuh pagi, masih dalam renyai hujan, kami berpecah kepada beberapa kumpulan dan penulis memilih untuk meranduk ke hulu berbekalkan beberapa keping sesudu untuk mengilat.
Setelah hampir dua jam mengilat, masih belum ada yang sudi menyambar.
Ads
Lebih membimbangkan, tidak ada kelibat ikan mahu pun anak-anak ikan melintas berkejar-kejaran.
Ini sesuatu yang pelik memandangkan kawasan seperti ini pasti ada anak-anak ikan melintas.
Entah ada pihak bermain tuba atau tidak, kami memilih untuk berkemas dan bertukar lubuk bagi mengelak pulang dengan gelaran kumpau.
Kami terpaksa korbankan hari kedua untuk turun sedikit ke bawah dan tiba di Lubuk Sg Pertam ketika matahari hampir terbenam.
Pagi hari ketiga, penulis cuba mengilat, namun tidak lama memandangkan hujan berterusan menyebabkan air semakin keruh dan paras air semakin tinggi.
Ads
Gagal cubaan teknik mengilat tidak harus dikenang, cubalah teknik bottom asalkan tak kumpau.
Teknik bottom berumpankan cengkerik dan sawit nampaknya tidaklah begitu memberikan hasil lumayan.
Dalam keadaan renyai hujan, hanya baung bersaiz kecil hingga sederhana yang menjamah umpan, yang gadang nampaknya tak berselera.
Pada malam akhir, penulis bersama Mizun dan Wan sekali lagi, kali ini dengan sedikit umpan cacing yang dikorek di kawasan lubuk.
Selepas beberapa ekor baung dan dua ekor keli tumpas, joran Wan ditarik kasar.
Ads
Entah spesies apa yang menarik kerana tali dibawa ke reba sebelum terlucut.
Kemudian, joran Mizun yang melentur laju sempat disambar dan karauan laju dibuat.
Setelah beberapa ketika, dalam kepekatan malam dan renyai hujan, seekor kelah merah hampir 1kg tewas di gigi air.
Nah, hanya berumpan cacing.
Dalam bergembira dengan kelah tersebut, sekali lagi rod Mizun ditarik sebelum seekor lagi kelah, kali saiz lebih kecil, berjaya didaratkan juga berumpankan cacing.
Betullah perkiraan kami sebelum itu, kalau mengilat tak dapat, main bottom pun jadilah.
Setidak-tidaknya, dua ekor kelah tersebut sedikit sebanyak menjadi pengubat dalam trip ini. Tidaklah kami berangkat pulang dengan membawa gelaran kumpau.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Sungai Teluk Intan, Perak tidak asing bagi peminat jenggo atau udang galah sepit biru. Bagi penggemar tarikan gemalainya, sungai ini menjadi tumpuan pemancing kerana udang di sini yang bersaiz 200 gram ke atas.
Tenaga udang galah bersaiz mega ini sering kali menjadi dambaan kerana tarikannya yang padu dan mampu membuat pemancing tepuk dahi jika ia terlepas di pertengahan air.
Jenggo Club telah mengadakan satu program hujung minggu untuk memburu jenggo di sungai ini. Kata sepakat diambil dengan memilih jeti Pak Musa Batu 5, Teluk Intan sebagai jeti pilihan. Ini kerana ia berdekatan dengan R&R Batu 5, Teluk Intan dan berada di sebelah jambatan ke Sitiawan.
Bagi melancarkan acara, jawatankuasa penganjur Jenggo Club yang telah ditugaskan telah menyusun bot mengikut senarai nama penyertaan. Menariknya lagi tentang pancingan di sini adalah kadar sewa bot di sini mengikut saiz enjin berserta minyak dan harga yang dikenakan adalah berpatutan.
Untuk trip ini kami menggunakan 14 buah bot enjin 2 hp, 4 buah bot enjin 5 hp, 3 bot fiber besar dengan enjin 5hp dan sebuah bot besar beserta tekong.
Sebelum bermula, sedikit taklimat telah disampaikan, terutama peraturan dan juga aspek keselamatan serta dan bacaan doa agar segala-galanya berjalan lancar. Program bermula dari pukul 8.30 pagi dan masing-masing menuju ke lokasi pilihan mereka.
Tepat jam 5.30 petang semua peserta berkumpul semula ke jeti dan merekodkan hasil tangkapan. Rata-rata peserta berpuas hati dengan penganjuran kali ini dan Insyaallah di masa akan datang akan ada penganjuran yang lebih besar untuk ahli-ahli Jenggo Club. Semoga berjumpa lagi di event akan datang.
Mana boleh kalah sepanjang waktu. Memancing perlu ada pembaharuan, perlu ada revolusi seperti pesisir pantai dataran muara Klang. Dari hanya Pelabuhan Selatan, kemudian Pelabuhan Utara dan seterusnya Pelabuhan Barat.
Ketika pembinaan pelabuhan barat banyak lubuk dan lokasi kapal karam tempat tumpuan memancing dimusnahkan, laluan diperdalam untuk memudahkan kapal dagang masuk ke pelabuhan. Pesisir pantai dan hutan bakau digondolkan dan diganti dengan jeti dan dermaga siap sekali dengan papan tanda “Kawasan Larangan Memancing”. Itu juga satu revolusi!!! Dalam erti yang menyakitkan hati.
Pecah Tabung
Sampai bila nak sewa sampan, kalau diikutkan jumlah sewa yang dileburkan selama ini sudah tentu dapat bayar deposit bot dan enjin baru. Kalau nak keluar seketul duit bukan senang, wang simpanan masih sedikit. Sambil buat perancangan mencari sampan dan enjin sendiri. Aktiviti memancing tebing dilebihkan sambil mengurangkan sewa sampan.
Setidak-tidaknya ada sedikit wang untuk merealisasikan impian kemudian hari. Masa berlalu begitu pantas walaupun kadang kala bosan menghantui ketika menunggu sentapan ikan yang tak kunjung tiba.
Memancing adalah kepuasan minda, bukan kepuasan mata, soal dapat ikan atau tidak bukan perkara pokok, yang penting dapat melapangkan fikiran di hujung minggu setelah otak penat bekerja.
Maki hamun, tekanan, perasaan marah dan kejengkelan terhadap boss dari Isnin hingga Jumaat dapat dilepaskan selepas jam 1800 Jumaat. Minda dah ‘free’ sebaik sahaja minggu kerja berakhir. Persiapan dan perancangan dibuat sehari dua sebelum masuk hujung minggu. Contact dengan rakan sekaki dalam dunia pancing turut dibuat bagi merencana perancangan yang telah dibuat.
Sambil memancing, kepala dok asyik fikir bila nak merasa sampan sendiri pula. Pasal lubuk, selok-belok dah tahu serba sedikit Kemahiran mendayung, menjala dan mengemudi enjin sampan juga dipertingkatkan. Tunggu masa sahaja sementara guna sampan sewa.
Pasang Telinga
Memandangkan tabung tak cukup penuh, pasang telinga di sekitar pangkalan mana tahu ada yang hendak jual sampan dengan enjin. Puas menunggu akhir terungkai apabila ada kaki pancing ingin menjual sampan kayu 17 kaki bersalut fiber dengan enjin 15hp.
Harga agak murah ketika itu. Bila dah kemaruk melanda tanpa usul periksa sambar sahaja. Bila selesai urusan jual beli, tak sabar menunggu saat dan waktu pertama kali untuk menggunakan sampan sendiri. Hari pertama menggunakan sampan sendiri cukup mengujakan. Buat permulaan hanya kawasan berdekatan dengan pangkalan sahaja yang dikunjungi sementara mengilap kemahiran.
Semakin lama semakin memberanikan diri bertandang ke lokasi lebih jauh kononnya. Enjin kecil setakat sekitar Pulau Ketam sahaja yang mampu di kecapi. Lapuk dek panas, kuyup dek hujan sudah lumrah apabila bersampan tiada bumbung berlapik petak kayu lantai usang sehingga kematu bontot.
Tapi sudah cukup baik memancing bersama teman. Biasalah bila menggunakan enjin berserta sampan kecil selalu kena potong, lebih marah bila kena potong tang selekoh anak sungai. Ini tidak boleh jadi suatu hari pasti nak cari sampan yang gadang sikit. Langit tidak selalu cerah apabila lepas satu persatu enjin buat hal.
Ini belum masuk kes sampan hampir tenggelam akibat hujan lebat semalaman. Paling bengang ialah apabila semua barang siap dipunggah ke dalam sampan bersedia untuk keluar memancing, start enjin tak nak hidup.
Berpeluh satu badan hingga terpaksa buka baju di tengah panas mengerjakan enjin meragam. Sampai habis separuh tenaga barulah enjin berkepuk-kepuk hidup. Dalam perjalanan sekali lagi ia mati di tengah laluan bot.
Habis kudrat enjin terus diam sehingga terpaksa ditunda balik ke pangkalan oleh kenalan yang kebetulan baru balik memancing. Kopak lagi duit asyik dok membela enjin yang sudah layak masuk muzium.
Sampan akhirnya reput begitu sahaja apabila menanti spare part enjin yang tidak kunjung tiba. Kos baik pulih pula lebih baik dapatkan yang baru. Pecah tabung lagi apabila mangsa seterusnya ialah sampan gentian kaca berukuran 19 kaki dengan injin 25hp berusia lebih dari 4 tahun. Baru ada semangat sikit, enjin baik sampan dah boleh muat bertiga.
Bumbung berlipat mudah alih juga dipasang bagi memutihkan sedikit kulit yang sudah gelap terbakar oleh sinaran cahaya terik. Kata orang dari tetanda dapat pula jenahak, dari sembilang mengintai gemang, selalu gelama sesekali mengintai temerih. Banyak sikit barang termasuk peti ikan, dapur ketika bermalam boleh dimuatkan dalam sampan.
Kalau setakat Pulau Ketam tu mainan sahaja, minyak satu tong pergi balik pun tidak habis. Lepas ini berani meneroka lubuk-lubuk baru hingga ke Pulau Angsa. Pantang dengar sahaja kawasan ada potensi terus diterjah dengan hati kering. Malah rumah api Permatang Sedepa (One Phantom Bank) juga dilawati dengan enjin 25hp tanpa ada perasaan takut.
Ketika itu berpandukan kompas dan Rumah Api Bukit Jugra sebagai pedoman sahaja. Nak dijadikan rezeki ada kenalan bagi pinjam terus GPS miliknya kerana beliau langsung tak tahu pakai, tahu beli sahaja katanya. Pantang dapat ikan di satu-satu lokasi, kedudukan kordinat berkenaan terus dilog dalam GPS.
Ada GPS tidak akan lengkap kalau tiada sonar. Terpaksalah labur sedikit duit beli sonar hitam putih terpakai asalkan dapat lihat struktur dasar sudah memadai. Ketika itu dah rasa cukup sempurna aktiviti memancing. Pantang ada cuti kawasan Delta Klang dijelajahi bagi memenuhi masa lapang. Sehinggalah enjin 25hp dimamah usia beroperasi, ada tanda-tanda semput.
Beberapa kali turun naik ke bengkel akhirnya tiba waktunya ia terus melekat. Nak baiki mahal, akhirnya timbang kati. Sekali lagi terpaksa menebing sambil memendam rasa sementara mengumpul duit menggantikan enjin yang baru.
Taman Botani Negara Shah Alam atau juga dikenali Taman Bukit Cerakah suatu ketika dahulu, sering menjadi tumpuan warga Lembah Kelang khususnya Shah alam untuk berehat pada hujung minggu. Aktiviti yang boleh dilakukan oleh pengunjung di sini seperti jogging, berbasikal dan sebagainya sambil menghirup udara segar yang dikelilingi hutan hujan.
Bagi kaki pancing pula, Empangan Air Kuning (EAK) yang terdapat di taman botani adalah satu pilihan alternatif untuk rekreasi memang. Kawasan memancing di EAK ini juga kemas dan bersih. Terdapat pelbagai ikan yang dimasukkan ke dalam empangan ini seperti ikan raja, pacu, patin, toman dan sebarau.
Di sini anda akan melihat pelbagai teknik pancingan diamalkan seperti pancing layang, pancingan dasar dan mengilat. Namun buruan utamanya tetap satu iaitu ikan pacu. Ini kerana pacu yang terdapat di sini memiliki kekuatan yang kuat dan bertenaga sehingga mendapat nama jolokan pacu ‘steroid’.
Purata berat saiz pacu di sini sekitar satu hingga lima kilogram. Teknik pancing layang dan dasar menggunakan umpan, kejayaan untuk merasa tarikan pacu di sini adalah 90%. Berbeza pula bagi yang suka mengilat, hanya 10% saja kejayaan untuk mendarat pacu. Boleh dikatakan terlalu sukar untuk memperdayakan pacu di sini dengan menggunakan gewang terutama jenis hard lure.
Sempena pelancaran warna terbaru dari Rasengan Limited untuk gewang model minnow SSXS siri Black Mamba,kami mengambil cabaran untuk mengujinya dengan pacu di sini atas cadangan Hasan Udin. Ternyata nasib menyebelahi kami, lontaran kali ketiga gewang Rasengan Black Mamba merah oleh Nazrol Luffy berjaya memikat pacu steroid dengan larian padunya umpama Speedy Jantan. Selepas itu peluang saya pula merasa tarikan pacu steroid di sini yang tertipu dengan Black Mamba berwarna kuning.
Izzat Sabri juga berjaya mendaratkan pacu bersaiz tiga kilogram. Pada masa yang sama Nazrol Luffy masih bertarung dengan pacu steroid keduanya. Dengan set aksi joran kekuatan 2-6lbs, ia mengambil masa 10minit untuk mendaratkan pacu steroid seberat lima kilogram. Keseluruhan dua jam masa yang diluangkan mengilat di sini cukup berjaya bagi kami. Dengan lima ekor ikan pacu steroid berjaya didaratkan tidak termasuk dengan rabut dan mata kail terkangkang dikerjakan oleh pacu steroid.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...