Bukan Sekadar Port Memancing!!

Share

 

Meskipun Royal Belum telah beberapa kali penulis kunjungi untuk tujuan memancing, kali ini pengalaman penulis berbeza lantaran para media telah dibawa untuk mengenal beberapa lokasi istimewa yang ada di Royal Belum.

 

Air Terjun & Santuari Ikan Kelah Sungai Ruok

 

Terletak kira-kira 20-30 minit menaiki bot laju dari Jeti Awam Royal Belum dan jarak perjalanan bergantung pada paras air tasik.

Selain merasai kedinginan air terjun Sungai Ruok, paling utama adalah terdapat ribuan ikan-ikan kelah yang dijaga rapi oleh pihak Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP).

Hanya mandi sahaja dibenarkan dan memancing dilarang sama sekali. Pun begitu, tahap kepadatan ikan kelah di sini masih belum dapat menandingi kepadatan ikan kelah di santuari ikan kelah di Tasik Kenyir.

Namun usaha yang dilakukan oleh PTNP amat wajar dihargai, sekali gus menjadi lokasi pembelajaran para pengunjung mengenal spesies yang digelar raja air tawar ini.

 

Perkampungan Orang Asli Jahai

 

Orang Asli Jahai, adalah masyarakat peribumi yang mendiami kawasan persekitaran Royal Belum dan daerah Hulu Perak yang lain. Bahkan suku Jahai juga terdapat di sekitar daerah Jeli, Kelantan.

 

Suku Jahai adalah salah satu daripada 19 kumpulan Orang Asli yang tinggal di Semenanjung Malaysia. Mereka diklasifikasikan di bawah susur galur puak Negrito (atau Semang). Mereka turut menggelarkan diri mereka sebagai Jah Jehai atau Orang Semang.

 

Satu model perkampungan Orang Asli Jahai yang dinamakan Kampung Aman Damai telah dibina di sini.

Ia terletak tidak jauh dari Kem Pelancongan Sungai Tiang dan tujuan ia dibina bertujuan untuk memperkenalkan dengan lebih dekat lagi kehidupan Orang Asli Jahai kepada pengunjung dan para pelancong.

 

Perkampungan ini telah ditenggelami banjir besar pada musim tengkujuh lalu dan dibina semula oleh pihak Koridor Utara Malaysia (NCIA).

Kem Pelancongan Sungai Tiang Sungai Tiang, antara kem pelancongan yang sering menjadi pilihan bagi pengunjung yang ingin menikmati suasana dan pemandangan panorama hutan hujan tropika yang berusia lebih 130 juta tahun.

 

Di sini terdapat pelbagai kemudahan disediakan antaranya chalet, tapak perkhemahan, surau, bilik air yang lengkap dan generator pada waktu malam.

Sebuah pejabat renjer PTNP turut ditempatkan di sini. Bagi kaki pancing, campsite Sungai Tiang antara yang sering menjadi pilihan sekiranya mengambil pakej boating memancing di sekitar Sungai Tiang.

 

Sira Sungai Papan

 

Selain Kem Sungai Tiang, di Sungai Papan juga terdapat sebuah kem yang kini telah dinaik taraf.

Tiada lagi nama Teratak Kijang merujuk kepada teratak lama yang pernah penulis kunjungi dahulu.

Di sini, terdapat dua buah jambatan gantung dibina bagi menghubungkan dengan daratan berhadapan Kem Sungai Papan.

 

Bagi yang belum mengetahui, tidak jauh dari jambatan gantung ini di sini terdapat sira atau batu mineral yang kerap dikunjungi oleh binatang liar seperti rusa, kijang, kancil dan haiwan lain.

 

Batuan yang mengandungi mineral berkhasiat akan dijilat oleh binatang-binatang ini bertujuan untuk kesihatan. Tidak dibenarkan berkunjung ke sini tanpa pengawasan pihak renjer bagi tujuan keselamatan.

 

Air Terjun Kooi

 

Tidak jauh dari Kem Pelancongan Sungai Tiang, terdapat air terjun yang tidak kurang hebatnya. Untuk sampai ke sini, perlu berjalan kaki merentas denai sekitar 15 minit.

Sebelum sampai, pengunjung bakal mengenal nama pokok-pokok yang melatari sisi kiri dan kanan denai. Air Terjun Kooi, tingginya sekitar 40meter, yang mana pengunjung akan dihujani tempias air dan deruan angin yang terbentuk dari ketinggiannya.

 

Untuk merasai kesejukan air ini, jangan lepaskan peluang untuk mandi di bawahnya. Bagi yang teruja untuk melihat bunga rafflesia atau pakma Royal Belum, tidak jauh dari air terjun ini, adalah lokasinya.

Anda perlu mendaki sekitar 10-15 minit lagi dan jika bernasib baik ketika kunjungan anda, pasti boleh melihat sendiri bunga terbesar di dunia ini ketika sedang kembang.

 

Di Royal Belum, terdapat tiga spesies bunga rafflesia iaitu, Rafflesia kerrii, Rafflesia cantleyi dan Rafflesia azlanii yang dinamakan sempena nama Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

 

Fakta menarik Royal Belum

 

Kompleks Hutan Belum-Temenggor berusia 130 juta tahun iaitu lebih tua dari Hutan Amazon dan Hutan Congo, Afrika dan ia merupakan hutan tertua di dunia.

 

Terbahagi kepada empat sektor iaitu Hutan Simpan Gerik, Hutan Simpan Temenggor, Hutan Simpan Belum dan Taman Negeri Diraja Belum.

 

Keluasan Kompleks Hutan Belum-Temenggor empat kali ganda saiz negara Singapura.

 

Dari keluasan Kompleks Hutan Belum Temenggor ini, hanya Taman Negeri Diraja Belum berkeluasan 117,500 hektar yang diberikan status sebagai Taman Diraja pada 31 Julai 2003 oleh Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan digazet sebagai Taman Negeri Diraja Belum pada 3 Mei 2007.

 

10 spesies burung enggang, 3 jenis spesies rafflesia, 36 spesies aquatik & semi aquatik, 3000 spesies flora, 64 spesies paku-pakis, 62 spesies tumbuhan berlumut dan 23 spesies ikan air tawar direkodkan wujud di sini.

.

Published by
Amang