Seorang kanak-kanak lelaki berdepan detik mencemaskan selepas jarinya tersepit pada sebuah kekili pancing yang dipercayai kekili menegak atau baitcaster, Khamis lalu.
Ketua Zon 3 Pahang, Penguasa Bomba Shahrulnizam Nasir berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub ke lokasi selepas menerima maklumat dari Unit Kecemasan Hospital Raub kira-kira jam 6.30 petang.
Menurutnya, pasukan EMRS Bomba Raub menggunakan mesin pemotong (ring cutter) dan sepana untuk memotong mesin pancing tersebut.
Ads
“Operasi memotong mesin itu berjaya mengeluarkan jari kanak-kanak berusia 6 tahun itu.
“Setelah selesai mengeluarkan jari mangsa, kanak-kanak terbabit diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Ads
Namun tidak dinyatakan sama ada kejadian itu berlaku di rumah atau kedai pancing. Yang pasti, admin percaya kanak-kanak lelaki tersebut adalah adik atau anak kepada seorang caster.
Ads
Pengajaran kepada caster yang lain, simpan baitcaster anda di tempat yang selamat dan jauh dari capaian kanak-kanak.
(Sumber: Sinar Harian Online)
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Gunakan tangguk atau sauk, bukannya lip grip apatah lagi cangkuk (gaff). Jaring pada tangguk pula perlulah dari bahan yang halus dan tidak mencederakan sisik ikan. Sebaiknya pilihkan jaring tanggung plastik berbanding benang.
Banyak aspek yang diabaikan seperti membasahkan tangan terlebih dahulu sebelum anda memegang ikan atau hasil tangkapan. Perkara ini amat penting bagi mengelakkan lendir yang menyelaputi badan ikan terhakis. Lendir pada badan ikan ini adalah agen pertahanannya dari penyakit!
Sebaiknya tanggalkan mata kail ketika ikan masih di dalam air bukannya selepas didaratkan atau diangkat ke bot. Disiplin ini bukan tidak diamalkan langsung tetapi kebanyakannya dibuat jika ikan dikehendaki untuk bergambar saja atau bukan spesies sasaran.
Setelah menanggalkan mata kail, pegang ekornya di dalam air, dan olakkan ikan sehingga ia mula meronta, kemudian lepaskanlah ia. Bantuan ini penting dipraktikkan bagi membolehkan ikan dilepaskan dalam keadaan sempurna kerana berkemungkinan ia berhadapan dengan risiko kematian atau menjadi mangsa kepada pemangsa lain.
Jika anda ingin mengambil gambar bersama ikan, buatlah secepat mungkin. Setiap saat ikan itu di luar air, maka semakin kurang peluangnya untuk hidup. Jangan gantung ikan dari insang atau bibirnya saja. Ini merosakkan organ dalamannya. Gunakan kedua-dua tangan anda, biarkan ikan itu dalam posisi mendatar.
Jangan sekali-kali melepaskan kembali ikan pendatang ke dalam air terutamanya dari jenis pemangsa (kecuali anda memancing di kolam berbayar atau perairan yang tertutup). Sekiranya anda pernah melakukannya maka anggaplah ia sebagai kesilapan yang tidak akan diulangi lagi.
Hampir semua teknik memancing ikan berparuh ini ialah dii permukaan dan pertengahan air.
Belum pernah berlaku ikan layaran ini dipancing melalui teknik dasar kecuali memperolehnya secara tidak sengaja di lokasi perairan cetek.
Trolling (menunda)
Menunda atau trolling disifatkan cara mudah menjinakkan layaran dan diamalkan secara meluas di luar negara seperti Australia.
Bot bergerak dengan kelajuan 4 hingga 10 knot, jika menggunakan gewang replika ikan, kelajuan di bawah 8 knot adalah disarankan.
Jika bot mampu memecut melebihi 10 knot makan gewang skirt adalah disyorkan.
Namun teknik trolling ini agak kurang dipratikkan oleh pemancing tempatan atas beberapa faktor.
Walaupun ada pemancing yang mengaplikasikannya namun peratusannya amatlah rendah.
Drifting atau berhanyut
Cara ini paling digemari dan paling banyak diaplikasi oleh pemancing terutamanya berada di kawasan unjam atau karang luas.
Teknik hanyut dikaitkan dengan penggunaan umpan hidup dan dibiarkan bebas berenang tanpa pemberat.
Namun teknik hanyut dengan menggunakan pelampung terutamanya belon dan botol mineral lebih banyak diamalkannya.
Sekiranya arus agak laju makan pemberat kecil bersama belon sering dipraktikkan.
Hanyut berladung
Teknik ini pada asasnya bukanlah memancing layaran, sebaliknya menyasarkan ikan tenggiri tetapi turut diambil oleh layaran.
Caranya hampir sama dengan teknik drifting, di mana umpan hidup yang dilayang atau dihanyutkan bersama batu ladung kecil sebagai pemberat.
Tujuannya adalah untuk menenggelamkan umpan sehingga satu pertiga permukaan atau setengah kedalaman air.
Peralatan
Sekiranya berhasrat untuk merasai pertarungan dengan layaran dengan kepuasan optimum, maka gunalah peralatan kelas pertengahan.
Disaran menggunakan kekili kelas siri 5000 yang mampu memuatkan tali sulam 30-40 lb sepanjang 300 meter. Manakala perambut berkuatan 50 lb sudah memadai.
Walaupun layaran berupaya melakukan pecutan deras dan mampu menghela tali dari kekili sehingga 100 meter dalam sekelip mata, namun ia bukanlah spesies yang mampu
mengheret tempoh pertarungan yang panjang. Pertarungan yang berlarutan akan meningkatkan tekanan dan memendekkan jangka hayatnya.
Penggunaan mata kail lingkar yang mudah reput di dalam air masin amatlah digalakkan.
Biarpun mata kail J lebih efisien dari segi peratusan hook up, namun mata kail lingkar lebih bersifat mesra kepada ikan kerana ia menyebabkan ikan tertelan mata kail.
Mata kail saiz 3/0 hingga 7/0 adalah disarankan. Walau bagaimana pun pemilihan saiz mata kail bergantung juga pada saiz umpan.
Terletak di sebelah pantai barat semenanjung, Tanjung Tuan dalam kawasan Port Dickson merupakan antara spot memancing yang terbaik beberapa tahun kebelakangan ini.
Malah, Port Dickson sendiri telah menjadi antara destinasi percutian dan berlibur yang popular di Malaysia.
Lokasi ini juga terkenal dengan sejarahnya yang tersendiri. Juga dikenali sebagai Cape Rachado, nama yang diberikan oleh Portugis, lokasi ini terkenal dengan rumah apinya (Cape Rachado Lighthouse) yang menghadap ke Selat Melaka.
Perairan ini pernah menjadi medan pertempuran laut antara Dutch VOC dan Portugis dalam Battle of Cape Rachado sekitar tahun 1606.
Hari ini, Tanjung Tuan menjadi antara lokasi yang menjadi perhatian kaki pancing, lebih-lebih lagi bagi pemancing dasar dan jigging.
Jigging atau mengunjun besi memang mempunyai ‘karen’ tersendiri. Bahkan melihat besi jig yang berwarna-warni pun kadang-kadang bole terlupa akan masa kerana asyik, apatah
lagi kalau jig tersebut berjaya menjalankan tugasnya dengan baik dan memberi pulangan dengan menaikkan ikan hasil godaannya.
TRIP ‘MEMBESI’ TANJUNG TUAN
Seawal jam 6 pagi kami bertolak menuju ke Port Dickson dari Kuala Lumpur bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Sebelum ke jeti, kami sempat bersarapan ala kadar serta membeli barang makanan lain di sekitar Teluk Kemang.
Usai bersarapan, tanpa membuang masa, kami menuju ke Jeti Pengkalan Teluk Kemang Batu 7, lokasi yang menjadi tempat janji temu kami berjumpa tekong Apex Kecik.
Jam 8 pagi kami tiba di jeti dan mula memunggah peralatan yang perlu digunakan. Kelihatan beberapa orang grup pemancing baru tiba di gigi air, mungkin baru pulang dari trip malam tadi.
Sementara menunggu Apex menurunkan bot, kami mempersiapkan set pancing masing-masing dengan ikatan yang perlu dan juga membuat pemeriksaan akhir agar tidak
tertinggal peralatan yang akan digunakan terutamanya besi-besi pelbagai warna dan berat yang akan digunakan sebagai modal utama menggoda isi perut Tanjung Tuan.
Sebaik sahaja Apex selesai menurunkan bot di gigi air, kami berlima bertolak dari jeti menuju ke lubuk-lubuk simpanan Apex yang bakal menjadi medan pertarungan jigging kali ini.
Bot sepanjang 24 kaki ini meluncur laju membelah air hasil lonjakan deruan enjin Johnson berkekuatan 40hp.
Sekitar 30 minit meluncur, akhirnya Apex menghentikan bot menandakan kami telah tiba di lubuk pertama yang akan menjadi medan unjunan besi.
BATTLE OF CAPE RACHADO BERMULA
Masing-masing mula mencapai set masing-masing dan jig pilihan digantung pada hujung tali.
Tekong Apex yang lebih arif dengan perairan ini khususnya lubuk simpanannya menyarankan kami menggunakan jig yang mempunyai berat sekitar 80g-120g kerana keadaan arus air yang tidak terlalu laju dan tidak terlalu perlahan.
Lalu masing-masing menurunkan jig, unjunan menegak (vertical jigging) secara slow-pitch menjadi pilihan pertama pagi itu.
Tak menunggu lama, ketika masingmasing masih mencuba warna jig yang sesuai, tiba-tiba Apek yang melakukan unjunan di bahagian belakang bot mendapat henjutan pertama.
Hujung rod mula melengkung namun sayang, beban yang dirasakan pada mulanya tiba-tiba hilang menandakan besi yang dihidang telah dipotong.
Belum sempat nak mengeluh kecewa, jig yang digayakan menggunakan set custom PE 0.6 – 1.5 milik Zach pula mendapat henjutan dari bawah, tapi sekali lagi hampa apabila
mangsa terlepas mungkin kerana mata kail tidak tercangkuk kemas ketika melakukan strike.
Belum sempat besi jig Zach dinaikkan, Bob yang sedari tadi tidak putus-putus membuat unjunan perlahan di bahagian tengah bot pula dihenjut kuat menandakan pertarungan seterusnya.
Rod Crosstage PE 1.2 milik Bob menjunam mahu mencium riak air. Setelah menyaksikan Apex dan Zach tewas di depan mata, mangsa kali ini perlu dinaikkan.
Yakin dengan kemampuan rod Crosstage miliknya, Bob menahan asakan mangsa sebelum mula membuat asakan balas menggunakan kekili Ryojin 3000 sebagai padanan rod.
Kayuhan kudrat Bob menyebabkan tali utama mula memasuki spool Ryojin 3000 dan sesekali mangsa cuba mengasak, namun kekuatan beban milik Crosstage Bob serta drag kekili membataskan segalanya.
Akhirnya, mangsa mengaku kalah apabila menunjukkan sisik oren dirinya di permukaan air. Jelas, kemenangan milik Bob apabila menaikkan seekor jenahak sekitar 3 kg.
Bob menjerit kepuasan sambil memegang jenahak yang menjadi trofi kemenangan miliknya pagi itu.
ANGKATAN TALANG TANJUNG TUAN
Di lubuk berikutnya, unjunan jig daripada Bob sekali lagi mendapat berjaya menggoda mangsanya.
Sekali lagi Bob tenang mengawal keadaan. Kudrat rod Crosstage PE 1.2 dan kekili Ryojin 3000 sekali lagi digunakan sebaik untuk membataskan asakan lawan.
Pertarungan kali ini lebih singkat tanpa banyak masalah dan Bob sekali lagi tersenyum puas dengan seekor lagi jenahak hampir 2 kg ketika matahari semakin menegakkan sudutnya.
Ketika terik matahari semakin menikam kulit, tekong Apex menghidupkan enjin bot untuk membawa kami mengejar boiling talang.
Tiba di lokasi, kelihatan riak-riak boiling sang talang umpama air mendidih di bawah payungan burung-burung laut.
Serta merta, kami yang turut mendidih keghairahan mencapai set masing-masing dan melakukan teknik jig-cast menggunakan jig yang lebih kecil.
Berat sekitar 20-40g, sebaiknya warna silver atau biru menjadi saranan Apek untuk teknik jig-cast.
Seekor demi seekor talang mula menyerah diri akibat terpedaya dengan luncuran jig kami.
Apek yang masih tekun dengan teknik vertical jigging di bahagian belakang mendapat henjutan yang agak kasar.
Menjerit-jerit drag kekili Apek meraung akibat strike demi strike yang dilakukannya, lepas geram untuk pagi tadi agaknya. Dengan tenang seekor talang atau Queenfish dinaikkan.
Talang hasil vertical jigging mempunyai saiz yang lebih besar berbanding talang hasil buruan jig-cast semasa boiling.
Keasyikan mengejar boiling talang tidak terhad kepada teknik jig-cast sahaja. Untuk menambah keseronokan, kami bertukar kepada teknik popping dan hasilnya memang terbaik.
Malah lebih teruja melihat riak air apabila talang menghentam popper di permukaan air.
Untuk aksi popping talang di Tanjung Tuan, popper berwarna putih atau clear merupakan salah satu gewang mujarab sebagai pertaruhan.
JUMPA LAGI CAPE RACHADO
Keasyikan mengejar boiling talang menyebabkan kami terlupa sudah mengheret waktu ke petang. Kami sempat dibawa ke lubuk kerapu ketika dalam perjalanan ke jeti sebagai persinggahan akhir.
Walaupun singkat, seekor kerapu berjaya dicungkil dari celahan batu sebagai hasil penutup untuk pertempuran Naval Battle of Cape Rachado.
Sekitar jam 6.30 petang, kami tiba di jeti bersama hasil cungkilan Tanjung Tuan. Sepanjang trip berlangsung, penulis secara peribadi cukup tertarik dengan kerajinan, tip dan khidmat tekong Apek Kecik sepanjang trip berlangsung.
Tidak hairan, sebelum ini ada khabar mengatakan dia antara tekong terbaik di Tanjung Tuan untuk trip jigging dan casting, sehinggakan terpaksa menempah 2 atau 3 bulan lebih awal.
Diharapkan tekong Apex Kecik terus menawarkan khidmat terbaiknya kepada kaki pancing.
Trip kali ini boleh dianggap sukses walaupun tiada mangsa bersaiz mega, namun rata-rata spesies yang dinaikkan cukup untuk membuktikan bahawa Tanjung Tuan merupakan antara lokasi terbaik untuk teknik jigging di pantai barat Semenanjung.
Dengan pengurusan di jeti yang tersusun dan dijaga bersih, penulis melihat Tanjung Tuan akan menjadi lokasi tumpuan yang lebih besar di kalangan pemancing untuk tahun yang mendatang.
Matahari yang terbenam menandakan kami perlu kembali pulang. Pertarungan sepanjang trip dan hilangnya jig sepanjang trip membuatkan kami bertekad untuk kembali. Sampai jumpa lagi Cape Rachado.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...