Jika ikan yang dipancing terlalu kecil atau masih juvenil, kendalikan dengan cermat dan lepaskan kembali dengan cara berhemah. Sebaiknya dilepaskan kembali di kawasan di mana ikan itu dinaikkan. Yang tak eloknya, anda kecewa ikan tu kecil, main sentap je nak cabut kail sampai koyak mulut ikan tu. Lepas tu campak merata.
Sebaiknya jika anda dalam situasi boating, proses nak cabut mata kail daripada ikan dilakukan di dalam air. Tak perlu nak naikkan keluar daripada air nak timbang berat ke. Ikan kecik memang tak berat pun. Disebabkan kecil maka ia tidak mempunyai ketahanan tinggi untuk berada di luar air walaupun bagi tempoh singkat.
Bila situasi anda mancing tebing atau dalam bot tapi susah nak keluarkan mata kail, dibolehkan angkat naik ikan tu. Tapi jangan terlalu lama, segera lepaskan kembali. Tak perlu nak selfie dengan ikan tu.
Semasa kendalikan ikan, pastikan tangan anda dibasahkan sebelum memegang ikan untuk mengekalkan lendir ikan pada sisik atau badannya yang merupakan antara sistem pertahanan diri bagi ikan. Jika risau tangan anda hanyir, boleh gunakan sarung tangan yang basah.
Jika mata kail ditelan, langkah terbaik ialah putuskan tali perambut anda. Jangan cuba cabut secara paksa ke, suruh ikan tu luah balik ke, malah jika anda seorang doktor bedah sekalipun, jangan cuba-cuba nak jalankan pembedahan ke atas ikan tersebut itu. Cukup dengan putuskan perambut, ikat mata kail baru.
Proses nak cabut mata kail perlu dilakukan dengan cermat untuk elakkan ikan cedera teruk atau jari anda cedera akibat tercangkuk mata kail. Sebenarnya banyak kemalangan berlaku ketika mengendalikan ikan kecil berbanding ikan besar.
Jika ikan bersaiz kecil kerap dinaikkan semasa anda memancing, tukar mata kail kepada saiz yang lebih besar. Selain mengurangkan peratus ikan kecil tercangkuk, langkah ini juga mampu kurangkan stres anda setelah asyik-asyik ikan kecik je naik.
Langkah terakhir paling senang. Anda hanya perlu lepaskan kembali ikan kecik tu untuk masa depan ikan tersebut dan masa depan kita. Ucapkan tahniah kepada diri anda sendiri dan teruskan memancing sampai naik ikan besar sebesar toman 55kg.