Buat Cara Ini Untuk Bawa Pulang Ikan Dalam Keadaan Segar

Share

 

Buang Perut Ikan

Ikan yang dinaikkan dan terus disiang bagi mengeluarkan isi dan perutnya mampu bertahan lebih lama. Asasnya, proses pereputan bakteria dan pengeluaran bau busuk ikan adalah dari isi perutnya. Jadi menyiang dan buangkan perut ikan dapat membuatkan ikan segar lebih lama. Penting, untuk penyimpanan lama, balut ikan dengan surat khabar, tanpa membasuhnya, kemudian masukkan ke dalam plastik dan simpan di dalam peti ais. Ambil ikan untuk dimasak sahaja.

 

 

Keluarkan Darah (bleeding)

Bagi ikan laut bersaiz besar seperti tuna, cara terbaik ialah dengan membunuh ikan tersebut dengan benda tajam di bahagian otak ikan atau di bahagian bawah insang. Kemudian ikan ini digantung dengan kepala ke bawah dan biarkan darah mengalir keluar sebelum dimasukkan ke dalam tempat simpanan. Cara ini banyak dipraktikkan di luar negara dan proses melakukannya perlu dilakukan dengan pantas. Kebaikannya ialah ia mampu memberikan rasa ikan yang lebih segar dan lazat.

 

 

Penggunaan Kotak Ais

Penggunaan kotak ais menjadi kewajipan terutama bagi trip pancingan air masin. Ikan yang dipancing akan dimasukkan terus ke dalam tong yang berisi ais. Kotak ais mampu melambatkan proses ikan menjadi busuk. Terdapat banyak pilihan kotak ais yang berada di pasaran sekarang.

 

 

Biarkan Ikan Dalam Jut Jaring

Penggunaan uncang jaring bertujuan untuk mengelakkan ikan terus mati. Biasanya uncang jaring digunakan untuk pancingan air tawar sama ada di kolam-kolam pancing atau pun di hutan. Ikan akan dimasukkan ke dalam jaring dan dibiarkan di dalam air. Tetapi awas, elakkan menggunakan uncang jaring bagi ikan bersaiz besar kerana bimbang akan mengoyakkan jaring.

 

 

Tambat Ikan

Ikan boleh dibiarkan hidup dengan cara menambatnya dengan tali di dalam air. Bagi pemancing kolam air masin, penggunaan `gari’ adalah satu kemestian bagi mengekalkan ikan terus hidup dan segar. Gari yang sama juga boleh digunakan untuk ikan-ikan sungai seperti sebarau, kelah dan sebagainya.

 

Published by
Amang