Brozi Lure Si Pembuat Gewang

Share

 

Dalam hirarki hobi memancing, jiwa seorang kaki pancing itu tidak sama. Ada yang gemar memancing di laut, tidak suka memancing di daratan. Ada yang suka casting tidak suka bottom.

Ada yang sukakan pancingan sungai pergunungan dan tasik, tidak suka kepada kolam dan sebaliknya. Pendek kata macam-macam hal hobi orang memancing

 

Terdapat segelintir peminat hobi ini yang begitu kreatif dan gemar mencuba sesuatu. Contohnya ada kaki pancing yang memiliki kerja seni halus seperti membuat sendiri rak untuk menyimpan rod, membuat gewang dan sesudu dan juga berkebolehan membuat rod sehingga boleh mendatangkan sumber pendapatan.

 

Mereka ini, boleh dianggap penyeri kepada dunia memancing sebenar dan bukan semata-mata beli dan beli sahaja peralatan setiap kali ingin memancing.

 

Latar Belakang Brozi Lure

Di kalangan kaki casting, terutama di laman sosial facebook, nama Brozi Lure tidak dinafikan popularitinya. Gewang buatan tangannya diakui keberkesanannya oleh ramai kaki casting kerana telah banyak memperdayakan ikan-ikan sasaran.

 

Hingga kini, dia telah menghasilkan beratus-ratus ketul gewang yang mana buatannya hampir menyamai gewang original dari segi reka bentuk, pergerakan dan fungsinya.

Malah kebanyakan gewang buatannya kebanyakannya tampil dengan ‘warna-warna killer’ yang ada kalanya tidak ada atau sudah tidak dikeluarkan lagi.

 

 

Menurut Brozi Lure atau nama sebenarnya, Muhamad Azizy Abd Aziz, dia mula berkecimpung membuat gewang sejak di bangku sekolah lagi dan serius membuat gewang sejak dua tahun lalu apabila dia mulai memuat turun gewang buatannya bersama ikan hasil tangkapannya.

 

“Sejak itu, ramai rakan kaki pancing yang meminta saya membuat gewang sama seperti original.

Tak kurang juga yang meminta saya membuat gewang-gewang yang sukar diperolehi ketika ini atau meminta saya membuat gewang yang saiznya lebih kecil dari original,” katanya yang banyak menerima tempahan gewang jenis top water dan minnow.

 

Selain gewang, dia turut menghasilkan buzz bite rekaannya sendiri. Di mana dia mengubahsuainya dengan meletakkan plate tembaga bagi menghasilkan bunyi yang amat bising khusus untuk memancing toman.

 

Jelasnya yang menetap di Shah Alam ini lagi, dahulu dia turut menghasilkan jump frog dengan kuantiti banyak, tetapi kini lebih cenderung menghasilkan gewang dan juga buzz bait.

Dia juga kini cenderung menghasilkan popper bersaiz besar khas untuk pancingan laut (sasaran talang, GT).

 

 

Selain itu, anak kelahiran Sungai Besar ini turut menerima tempahan kepada sesiapa yang ingin menukar warna gewang yang tidak lagi dikehendaki kepada ‘warna-warna killer’ bergantung pada cita rasa masing-masing.

 

“Sebelum setiap gewang dihantar kepada si penerima, saya akan membuat ujian terlebih dahulu untuk menentukan kualiti renangannya menyerupai gewang original. Dari segi warna, itu semua bergantung pada cita rasa si penempah,” katanya yang menggunakan kayu jenis SPF dari Jepun untuk menghasilkan semua gewang.

 

Disebabkan populariti gewang buatannya itu juga, dia kini menerima tempahan dari kaki casting Sabah, Sarawak, Brunei dan Indonesia. Gewang buatannya dijual bermula dari harga RM20 hingga RM50 bergantung kepada reka bentuk dan corak yang diingini.

 

Published by
Amang