Tiada setup khusus untuk memancing menggunakan bot di sini. Set pancing sederhana fast dan medium fast action, sudah cukup memadai untuk casting di sini dan kesesuaian joran pula adalah 6`5 – 7 kaki.
Gewang yang sesuai untuk casting sama ada secara landbase ataupun bot adalah jenis floating, minnow, rattlin dan juga boleh mencuba gewang selaman dalam. Cuma untuk casting di sini, teknik karauan gewang terutamanya triple hook perlulah di karau perlahan bagi mengelakkan kes mata tersangkut batu.
Apa yang dapat saya perhatikan, gewang berwarna terang, lebih cepat mendapat sambaran berbanding gewang berwarna natural. Ini disebabkan faktor air yang berwarna coklat kehitaman menyebabkan ikan mudah tertarik dengan warna-warna terang.
Memang benar kata Lai Malie, mata pula haruslah sentiasa tajam, apabila telah berada di gigi air, cuba perhatikan riak permukaan air. Jika terdapat olakan air dan juga terlibat kelibat anak belanak berenang secara tiba-tiba, cepat-cepatlah lontarkan gewang setepat yang mungkin.
Jika sudah rezeki, pasti siakap merah atau siakap putih menjadi rezeki anda. Lontaran gewang ke bahagian pesisir tebing juga mampu membuahkan hasil selain cuba casting berdekatan kayu yang hanyut. Ini kerana, ada anak-anak ikan yang menjadikan kayu timbul tersebut sebagai tempat ia bergantung dan pemangsa akan menjadi anak ikan sebagai dietnya.
Terdapat juga beberapa buah bot nelayan yang tinggal berhampiran MPG ini memakir di kolam tadahan ini sebagai tempat simpanan bot mereka terutama jika laut bergelora. Bot-bot ini boleh ditempah awal jika berhasrat untuk memancing di spot Batu Hampar dan culvert. Selain itu boleh juga casting dan trolling berdekatan pintu air masuk semasa air pasang besar. Sewanya juga amat berpatutan.
POTENSI KUALA SUNGAI BEDENGAN
Sebenarnya, terdapat satu lagi spot berdekatan yang boleh dicuba selain MPG, iaitu Kuala Sungai Bedengan, iaitu punca air bagi kolam tadahan MPG ini. Ia terletak kira-kira 3-4 kilometer di hadapan jalan besar MPG menuju ke arah Pekan Balingian.
Di kuala ini, Lai Malie dan juga rakan-rakannya telah banyak mencipta rekod berjaya menaikkan siakap merah. Saiznya juga boleh tahan dan ada yang bersaiz hingga 4 kg.
Namun dua kali kunjungan saya ke sana, tidak berjaya menaikkan seekor ikan pun. Pertama di sebabkan faktor air pasang mati, akibat terlewat tiba dan yang keduanya air terlalu surut dengan cepat. Mungkin bukan rezeki saya untuk mendapat lesen di Kuala Sungai Bedengan ini lagi.
Cuma saya berjaya memperoleh lesen seekor siakap putih di MPG dalam anggaran 3 kg. Sekalung penghargaan buat rakan-rakan Mukah Anglers Group dan Matu Daro Fishing yang melayan baik kunjungan saya. Ada kesempatan saya pasti kembali lagi ke sini.