Selepas bermalam di sebuah hotel di Taman Scientex, kami bergerak bersama-sama Che Wan seawal pagi menuju ke sebuah muara yang berhampiran iaitu Kong-Kong. Sasaran kami kali ini ialah ingin menduga siakap yang dikatakan banyak terdapat di sini.
Ketibaan kami di jeti disambut dengan hujan yang turun dengan lebat dan sedikit kekecewaan kerana mengikut pengalaman lalu, siakap akan menjadi pasif sekiranya air menjadi sejuk. Tetapi memandangkan kami telah tiba, rancangan untuk tetap diteruskan.
Dengan menggunakan bekalan umpan udang hidup kami bergerak menuju ke muara Kong-Kong dengan menaiki 2 buah bot milik Che Wan.
Menurut Che Wan, siakap di muara ini kini amat sukar ditewaskan menggunakan gewang. Penggunaan teknik casting berumpankan udang hidup amat berkesan di muara ini.
Kami singgah di beberapa buah lokasi yang dipercayai tempat tinggal siakap. Pokok bakau tumbang merupakan lubuk ikan siakap di muara ini memandangkan ikan ini amat suka mengendap mangsanya.
Sepanjang pagi kami memancing dan gagal menghasilkan apa-apa tangkapan. Sekali sekala umpan dasar juga digunakan untuk mencuba nasib. Tetapi ia masih tidak menghasilkan apa-apa tangkapan. Ini sudah kami jangkakan sejak hujan turun pada awal pagi tadi lagi.
Akhirnya selepas ‘panjang tangan’ casting, akhirnya, seekor siakap berjaya diperoleh Saiful pada waktu petang. Ini diikuti siakap merah hampir 1 kg berjaya diperoleh oleh saya. Kemudian Che Wan juga berjaya memperoleh ikan tanda dan kerapu juvenil selepas itu.
Hasil boleh dianggap langsung tidak memberangsangkan, tetapi inilah adat hobi memancing ini dan kami tetap bersyukur. Lewat petang, kami pulang semula ke hotel untuk merehatkan badan.