Bila Para Isteri Pemancing Pun Memacak

Share

 

(Oleh : Haiza Sweethoney)

Jangan sangka tangan lemah gemalai wanita hanya boleh potong bawang dan memasak sahaja.

Kami juga boleh pegang joran tarik ikan dan menggoncang dunia memancing yang dipelopori oleh kaum Adam.

 

Benarlah kata pepatah sekiranya kita berkawan dengan pencuri, lama-lama kita akan jadi pencuri.

Sekiranya kita berkahwin dengan pemancing, lama-lama kita akan terikut memancing juga. Lambat laun akan jadi pemancing juga.

Apatah lagi jika berkahwin dengan seseorang yang bukan sahaja pemancing bahkan juga pengusaha umpan dan kedai pancing.

 

Pada awalnya saya langsung tak meminat memancing. Selepas banyak kali menemani suami pergi memancing, barulah timbul rasa minat sebab nampak macam syok lawan tarik dengan ikan.

Walaupun sudah datang minat namun saya masih takut-takut untuk mencubanya.

 

Apabila suami mengadakan satu pertandingan khas untuk para isteri dalam kelab pemancing beliau yang saya ikut serta, dalam pertandingan tu saya berjaya pulak tarik seekor Mekong (patin Mekong) seberat 15 kilogram, terus saya terkena getahnya.

 

 

Pengalaman manis dan perit mendaratkan patin Mekong di Kolam Seksyen 24 itu takkan saya lupakan sampai bila-bila.

Walaupun bersusah payah hingga menggeletar satu badan tapi berjaya jugaklah saya tarik patin Mekong sampai ke tepi kolam.

 

Sejak dari itu saya rasa seronok untuk tarik lagi semakin kerap ikut suami memancing. Patin, pacu dan tongsan sisik halus semuanya saya dah rasa tarik.

Tapi saya cukup gemar tarik Mekong. Tak tahu kenapa. Mungkin sebab Mekong kuat dan saya perlu menggunakan seluruh tenaga yang ada untuk menewaskannya.

 

 

Memang puas tarik Mekong walaupun rasa nak tercabut tangan tarik sampai Mekong mengaku kalah. Tapi memancing seorang kurang sikit syok.

Jadi saya mula ‘meracun’ dan melatih kawan-kawan sama status (isteri-isteri pemancing) untuk sama-sama memacak.

Dan ia bukanlah sesuatu yang sulit untuk dilaksanakan kerana ramai kawan-kawan adalah isteri pemancing.

 

Dan sekarang ini saya sudah pun berjaya menarik Aleen yang juga merupakan kawan baik untuk memancing bersama saya.

Pada kali pertama Aleen berlawan dengan ikan, dia takut-takut dan macam tak yakin sangat boleh tarik tapi saya semangat.

Saya faham dan tahu apa yang dia rasakan kerana saya pernah rasai pengalaman sebegitu. Saya dorong dan rangsang semangatnya sehingga dia berjaya.

 

 

Bila dah berjaya tarik ikan hingga ke darat, dia pun ikut sama rasa syok. Biarpun menggeletar seluruh badan tetapi dia seronok.

Dan bila ada kelapangan masa kami akan turun ke kolam pancing terutamanya kolam berdekatan atau sekitar hulu Langat yang tidak jauh dari rumah kami untuk sama-sama memancing.

Malah, kami tidak sekadar memancing di kolam air tawar saja. Kolam air masin pun turut sama kami jelajah.

Published by
Amang