Bila Orang Lama Berjigging Di Pulau Jarak

Share

 

Kali ini kami berenam mengadakan trip jigging seharian di kawasan perairan Pulau Jarak. Tekong pilihan kami dipanggil Abang Lan berpangkalan di jeti Kampung Manjung, Setiawan, Perak.

 

Sasaran utama jigging ialah jenahak dan kerapu. Joran jig yang sudah sedia mula diturunkan termasuk tekong sekali. Dengan 6 ketul jig yang menggeleng kiri dan kanan menuruni air berkedalaman 250 kaki. Ia mula dihenjut dengan pelbagai rentak mengikut kesesuaian si pemancing itu sendiri.

 

Awalnya kami menumpukan jig pada kawasan permukaan dasar mencari sasaran utama terlebih dahulu sebagai lesen aktiviti pagi. Anehnya tiada sambutan tidak seperti kebiasaannya menurut tekong Abang Lan. Kemudian baru kami perasan kemungkinan kumpulan yu yang berada di lubuk sekitar menakutkan ikan sasaran untuk menghentam jig yang dihulurkan.

 

 

Kalau jigging spesies bergigi tajam, hilang jig dan putus tali utama adalah perkara biasa. Yang tak sanggup ialah jig hilang ketika diturunkan ke air, sedar-sedar tali dah kendur dan tak sampai-sampai ke dasar. Jumlah keseluruhan jig terkubur dalam trip ini lebih dari 30 ketul, malah jig-jig yang lama sukar untuk diperolehi di pasaran juga turut sama berkubur.

 

Walaupun ada di kalangan kami menggandakan kekuatan tali kevlar sehingga 180lb, namun tali utama pula yang menjadi sasaran yu. Tiada cara untuk menghalau yu dari kawasan tersebut kecuali layan je dengan jig. Amran menjadi pemancing pertama berjaya menangani kerenah yu setelah beberapa ketul jig dibaham dengan mudah sebelumnya.

 

 

Jig jenis madai aka sotong tengkorak nampaknya berkesan mengatasi masalah perambut putus dek penangan gigi yu. Ketika Amran bertarung dengan yu, seorang daripada kami tidak sempat mengarau tali pancing.

 

Nahas apabila yu timbul di permukaan ia biasanya membuat satu pusingan mengelilingi sampan dan ketika itu mana-mana tali yang berada pada laluannya pasti menjadi mangsa. Hilang tali sulam 40lb sepanjang 250 kaki sekelip mata. Dalam hal ini masing-masing ada ‘back-up’ sama ada guna ‘spare spool’ atau mesin kedua menjadi pertaruhan. Kami seolah-olah tidak serik dengan permulaan dengan seketul dua jig beliau ketika disentap ikan yang rata-ratanya yu sirip putih.

 

 

Sebelah petang kelibat burung camar dan kumpulan tongkol sudah tidak kelihatan. Abg lan kemudiannya membawa kami ke arah spot kegemaran beliau. Sampan akan berhanyut dari kedalaman 270 kaki hingga puncak karang pada kedalaman 170 kaki dan kemudiannya turun semula pada kedalaman purata 250 kaki.

 

Tekong akan memantau pergerakan dan naik semula untuk membuat jigging ulang pada titik permulaan bersebelahan. Apabila yu sudah tidak kelihatan, baru kami mendapat beberapa sentapan dari dasar. Tekong Abang Lan yang rajin melakukan jigging terus sebaik sahaja jig mencecah dasar, mendapat strike permulaan petang di pertengahan air.

 

 

Jig Gomoku Storm seberat 100 gram menjadi pertaruhan. Saiz yang sesuai pada kelajuan arus ketika itu dengan tali sulam 30lb di padankan dengan perambut 40lb. Kekili Shimano Stella 6000PG dipadankan dengan joran PE 1-3 milik beliau melentur dengan tahap maksima.

 

Beliau yang biasa jigging di kawasan ini dari awal-awal lagi dapat meneka spesies yang menerkam jig yang sebelum ini tak mengena beberapa kali sambaran.

 

GT pertama awal petang membakar semangat kami untuk kembali beraksi. Nizam akhirnya dapat sambaran setelah berulang kali menghenjut jig di kawasan dasar. Namun kekuatan ikan tak terdaya untuk beliau menampung larian berterusan lalu terkubur satu lagi jig miliknya.

 

 

Sedang Abang Lan mendapat sambaran kedua, Amran turut sama menerima strike. Satu dari dasar dan satu di pertengahan air. Seekor lagi GT dan kerapu meniupkan lagi deruan angin petang. Bukan itu sahaja banyak juga sambar kami terlepas dan putus kerana masing-masing hanya menggunakan tali kekuatan 30 dan 40 lb sahaja.

 

Di kalangan yang gemar melakukan jig pada kawasan dasar terpaksa membayar harga lebih kerana kes tersangkut pada karang adalah tinggi. Ini kerana apabila tiba di bahagian cetek tetapi jig masih lagi dihenjut di kawasan cerun karang, banyak berakhir dengan titik noktah. Ikan lebih pantas mencari perlindungan walaupun ditarik berulang kali.

 

 

Sambaran pada joran berkekuatan PE1 hingga PE3 lebih cepat menawan mangsa kerana aksi hujung joran yang lembut dapat mengolah tarian jig dengan lebih menggiurkan. Hujan renyai serta tiupan angin bertambah laju tidak dihiraukan tekong kerana waktu tersebut ikan kian galak.

 

Kami terus berjigging sehingga lewat petang dengan 2 ‘double strike’ jenahak menutup tirai bagi mengejar wajah siang sebelum tiba di gugusan Pulau Sembilan.

 

Published by
Amang