Memancing selama dua atau tiga malam di dalam hutan memang seronok. Namun, biarlah aktiviti itu dirancang sebaik mungkin. Segala persiapan harus diatu r dengan baik. Bab makanan memang penting, tetapi peralatan penyediaan
“Kami baru keluar. Barob banyak tapi putus tali. Mata tiga lurus… ada yang kuncup. Seronok betul memancing kali ni…” SMS dari rakan yang baru pulang casting di Sungai Penampang, Sabah membuatkan saya tidak duduk diam dibuatnya.
Serentak dengan itu, kata putus dibuat, satu trip mencari barob Sungai Penampang akan dilakukan. Segala kelengkapan pancing dan perkhemahan dipersiapkan.
Tayar standard atau tayar highway kenderaan pacuan empat roda ditukar kepada tayar lipan. Maklumlah kontur muka bumi Sabah, bumi terletaknya gunung tertinggi di negara kita, Gunung Kinabalu.
Sudah pasti gunung serta bukit-bukau lain-lain selaku saudara-maranya bertebaran di sana sini.
Malam, sebelum bertolak, satu pertemuan ringkas diatur di sebuah kedai mamak. Seramai 12 orang akan menyertai trip ini termasuk saudara Mike, pemilik bengkel baik pulih 4×4.
‘Bawa pomen” adalah perkara wajib bagi acara panjat gunung sebegini. Apa-apa hal di tengah hutan kan susah jika tiada yang pandai membaiki kerosakan.
Trip ini juga turut disertai Encik Chia, orang kuat Persatuan 4×4 Sabah Borneo. Setelah segala-galanya yang berkaitan dengan trip dibincangkan, kami pun terus pulang kerana esok kami perlu bertolak awal pagi.
Jom Limpas
Sungai pertama kami limpas dengan menaiki pick-up. Ini kerana sungai berkenaan agak cetek dan tidak lebar. Limpas adalah bahasa tempatan Sabah yang bermaksud menyeberangi sungai.
Begitu juga dengan sungai kedua, kami limpas menggunakan pick-up tetapi tidak untuk sungai ketiga. Kami terpaksa meninggalkan kenderaan di tebing sungai dan menyeberangi sungai menggunakan rakit buluh yang digunakan oleh penduduk kampung.
Disebabkan tagal telah diwartakan di kebanyakan sungai-sungai di Sabah, sebarang pencerobohan pastinya membawa padah. Oleh itu, sebelum bertandang, kedatangan kami telah dimaklumkan kepada ketua kampung dan mereka menerima baik kedatangan kami.
Pertarungan pusingan pertama
Berlangsung pada sebelah petang, iaitu setelah selesai khemah dipasang tidak jauh dari Sungai Penampang.
Masing-masing mengambil port, ada yang ke hulu dan ada yang ke hilir. Sengal-sengal badan dilambung 4×4 lenyap serta-merta sebaik sahaja lubuk-lubuk dengan warna air sungai kehijauan terbentang di hadapan mata.
Maka bermulalah ‘pertemuan elklasico’ di antara pelian @ kelah dengan sawit peram. Setelah membuat balingan, saya mengikat kemas set pancingan tadi di tepi bongkah batu.
Lantas saya kembali ke tujuan asal iaitu cuba mengilat sang barob @ sebarau.
Perlahan saya melangkah meniti bongkah batu-batu sungai menuju kesatu sudut cantik berbekalkan spoon. Balingan pertama yang jatuh betul-betul di tepi longgokan ‘sampah’ buluh hanyut terapung yang berpusing-pusing direntap secara ganas.
Maka bermulalah adegan tarik menarik di antara dua makhluk Allah ini. Seorang di atas darat, satu lagi di dalam air.
Saya hanya sempat melihat beberapa detik sahaja betapa merahnya sisik pelian bagak yang telah berjaya saya heret ke gigi air sebelum ia membuat satu libasan kasar dan… bye-bye.
Makhluk underwater berkenaan nampaknya berjaya memenangi perlawanan dengan membawa pulang tiga mata penuh.
Kelah tersebut berjaya memerdekakan dirinya daripada menjadi lauk kami pada malam itu. Pulang ke khemah, Mike dan Atan yang pulang dari hulu berjaya menewaskan dua ekor sebarau remaja.
Beberapa ekor pelian dan barob bersaiz hidangan berjaya diperoleh dari team yang memancing di sekitar kawasan perkhemahan. Cukuplah untuk hari pertama. Semuanya digoreng dan dimakan dengan nasi panas-panas. Nyaman bah!