Bidik Barob Sungai Penampang (Bahagian Akhir)

Share

 

Pusingan kedua

Pada hari kedua, anggota trip dibahagi kepada tiga kelompok. Satu kelompok ke hulu, satu lagi hilir dan satu lagi kekal memancing di sekitar kawasan khemah iaitu di satu kawasan lubuk di sebelah kanan tapak khemah.

 

Kebanyakan ahli komplot membawa apa sahaja gewang dan spoon. Antaranya popper bersaiz 7-9 cm seperti River 2 Sea Bubble pop, Rapala skitter pop, Sebile Stick. Heddon Zara Puppy, Arbogast Jitterbug & popper Siam Spoon.

 

 

Penggunaan gewang pula, tertumpu pada gewang seperti Rapala Shad Rap, Tail Dancer, Fat Rap, Storm Thundercrank, Abu Tormentor dan banyak lagi.

Untuk spoon, sudah semestinya Abu Island dan spoon-spoon yang lain seperti Seahawk Island (warna perak), Abu Atom, Worth Blinker, Toby dan pelbagai saiz, warna dan bentuk.

 

Bagi team saya, adalah mustahak untuk menukar mata tiga serta swivel pada setiap gewang. Ini kerana saya, telah melalui banyak kes mata tiga dan cincin asal terkangkang dan tercabut, gara-gara barob di kawasan sungai di Sabah ini, begitu perkasa.

Penggunaan mata tunggal (single hook) juga lebih menjamin solid hook-up. Jadi persiapan rapi perlu dilakukan sebaik mungkin.

 

 

Peralatan kelas sederhana, (low profile baitcaster, spinning bersaiz 2000) dan dimuatkan tali sulam bersaiz 15-25lb sepanjang 100 meter sudah cukup berbaloi untuk bertarung dengan sang barob ataupun pelian di Sungai Penampang ini.

 

Ada juga kaki pancing di sini yang menggunakan peralatan serta tali yang lebih kecil diameternya.

Terserah kepada penilaian masing-masing, tetapi yang perlu diambil perhatian juga ialah penggunaan leader atau perambut kejutan yang amat penting untuk menyerap henjutan padu ikan serta menghadapi kikisan kasar batu-batu sungai yang tajam.

 

 

Kebanyakan sungai pergunungan yang didiami sebarau atau kelah memang inilah antara cabaran getir kaki pancing jika mahu mendaratkannya.

Adalah disarankan gunakan perambut jenis fluorocarbon. Walaupun mahal, tetapi berbaloi jika berbanding berputih mata.

 

Kami kembali ke khemah pada waktu tengah hari untuk berehat, memasak dan mandi. Kari barob yang dimasak Atan habis licin disapu bersih oleh kami yang memang tengah lapar. “Sedap…nyaman bah”.

 

Kembang kuncup hidung Atan bila kami memujinya. Setelah berehat seketika, acara mengilat disambung semula. Petang tersebut kami memperoleh dua ekor lagi barob berskala 1 kg setiap seekor. Terima kasih kerana sudi menyambar Rapala Gold Fish kami.

 

 

Pindah lubuk

Hari ketiga, Atan mengajak saya menuju ke bahagian hulu. Rakan yang lain ada yang pergi ke bahagian hilir dan ada yang sudah bersantai-santai di hadapan khemah.

Berbekalkan sedikit makanan serta fly-sheet kerana kami berdua bercadang untuk bermalam di tepi sungai.

 

Ketika matahari sedang melabuhkan tirainya, seekor barob menyambar pencil stick saya. Hanya itu hasil yang kami berdua perolehi petang itu.

Tujuan utama kami berdua bermalam di situ (Lubuk Batu Besar) kerana kami berdua bercadang, mahu casting seawal pagi yang mungkin.

Kami bergilir-gilir tidur di tepi batu yang sempit, risau memikirkan kalau-kalau ada anaconda yang menarik kaki yang terjuntai. Alhamdulillah… selamat.

 

 

Awal pagi lagi, saya dan Atan sudah casting. Sehingga jam 9 pagi, hasilnya tetap ‘O’. Kami berdua cuba naik ke hulu lagi. Malangnya keputusan tetap juga sama.

Lantas kami mengambil keputusan untuk bergerak semula ke kawasan perkhemahan sambil casting di lubu-klubuk berpotensi. Dua jam kemudian, kami pun tiba. Selesai makan tengah hari dan berkemas, kami berangkat pulang.

 

Walaupun tidak berjaya menaikkan barop bersaiz kasar, saya dan rakan-rakan yang lain, pastinya akan bertandang lagi ke sini untuk meng’casting’ barob Sungai Penampang yang agak malu menyambar gewang kami pada trip kali ini.

 

 

Tips

Lontarkan spoon ke bahagian atas atau kepala jeram, biar ia hanyut seketika sebelum dikarau laju atau dengan cara spoon dilontar merentangi aliran sungai.

Biasanya, barob akan segera menghambat spoon kerana menyangka ia anak ikan yang tidak mampu melawan arus lantas dibawa air. Ketika inilah, anda harus sentiasa berjaga-jaga kerana, larian pertama sebarau jeram cukup bertenaga.

 

Published by
Amang