Jika berkehendak ikan yang besar, maka balingan umpan mestilah jauh ke tengah laut atau sungai. Ada pula yang berkata, ikan besar tidak semestinya berada jauh ke tengah laut atau sungai, kalau dah nak jadi rezeki, sekadar campak ke gigi air pun boleh dapat ikan yang besar.
Secara peribadi, admin bersetuju dengan kedua-dua pendapat tersebut. Admin pernah berhadapan dengan kedua-dua situasi itu. Namun ia tidak berlaku pada setiap waktu dan faktor rezeki dan nasib juga memainkan peranan tersendiri.
Begitu juga dengan faktor kedudukan lubuk. Contohnya, jika paloh atau alur laluan arus jauh berada ke tengah perairan maka umpan perlulah dihantar ke spot itu untuk peluang menerima strike. Dan jika alur itu merapati tebing, maka tidak perlulah membuat lontaran jauh ke tengah. Bagaimana pula dengan pendapat korang?
“Balingan jauh kemungkinan ikan makan adalah lebih cepat atau besar kerana tempatnya mungkin jauh dari tepian. Tetapi di tepian pun kita boleh mendapat hasil yang besar sekiranya teknik digunakan betul dan tepat dengan tempat semulajadinya.”
Rusli Tom
Ads
“Bagi pemancing kolam air tawar, balingan jauh ke tengah biasanya untuk memburu patin dan Mekong. Balingan jarak sederhana untuk mencari rohu dan tongsan sisik halus. Balingan jarak dekat berhampiran kincir air yang sedang bergerak pula untuk menangkap pacu. Balingan yang baik apabila lontaran umpan seakan melambung ke spot ikan. “
Ahmad Ridzuan
“Balingan tepat ke arah spot yang ada ikan adalah penentu strike. Kalau baling tempat takde ikan atau jauh dari pandangn ikan, alamat dapat la kumpau. Bila nampak mama haruan dekat tengah… nak baling tak sampai, macam mana nak strike? Hahaha..”
Aswan Adnan
“Saya pernah baling jauh… tapi ia langsung tidak menerima sebarang strike. Sebaliknya merugikan sebab bila saya tarik tali putus dan gewang masih sangkut atas pokok seberang sana. Jangan marah admin… kihkihkih.”
Melix Syncronism
“Entah la admin… saya rasalah kalau baling jauh sangat kalau main dengan ikan ni letih nak main tarik tali. Kalau kena tempat berbatu jawabnya putus tali dulu. Balik rumah tunggu seminggu dulu baru repeat balik la port situ.”
Ads
Syed Muhammad
“Kadang-kadang baling kat tempat boiling jauh pun tak dapat… dah sampai tepi kebabommm baru menyambar. Jadi baling la kat tepi je… hahaha. “
Abdullah Hadi
“Mana maunya nak lempor ladung saiz 24 kat tengah laut… baling dekat pun tak daya. Ate ngulur aje leeeee… jangan marah min. Kalau main bottom tengah laut ni memang takde baling-baling langsung.”
Fendy Ja’apar
Ads
“Balingan jauh saja tak bermakna kalau tak tepat. Balingan jauh ni untuk bagi umpan joget-joget manja lama sikit untuk tarik perhatian. Balingan tepat untuk port yang sesuai berkemungkinan tinggi ada ikan di bawahnya. “
Shob Shau
“Pernah juga pakai joran keras kejung untuk baling jauh. Sudahnya makan tuan… Haha. Faham ke tak faham ni min?”
Alan Raider
“Kena ikut teknik juga… ikut paras air dan ikut spesies ikan. Bukan sekadar baling jauh atau dekat. Kepuasan hanya si pemancing yang tahu.”
Shazreszai Zamri
“Baling jauh sampai ke tebing seberang… lebih baik duduk seberang kolam sana. Haha… kaki-kaki kolam faham la apa yang aku maksudkan ni.”
Yuh Manson
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Kata orang, sediakan payung sebelum hujan. Seeloknya PFD perlu sentiasa ada sama ketika memancing. Bagi trip menaiki bot pula, pemilik bot wajib menyediakan PFD yang mencukupi. Bukan setakat di atas bot sahaja, jika anda trekking dan terpaksa merentas anak sungai atau jeram, anda perlu memakai PFD bagi mengelakkan dihanyutkan arus deras.
Perkara asas yang penting bagi seorang pemancing ialah kebolehan untuk berenang. Bagi yang tidak pandai berenang, Ia tidaklah menghalang untuk anda terus memancing, namun sebaiknya cuba untuk belajar berenang.
Ketika di lokasi pancing, pastikan sentiasa peka dengan keadaan bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini. Sebaik-baiknya pastikan berteman bila pergi memancing dan elakkan ke lokasi tertentu bersendirian.
Ketika meranduk atau merentas air, beberapa perkara penting perlu anda pastikan. Elakkan merentas jeram atau anak sungai bersendirian,pastikan ada rakan bersama. Sentiasa memakai PFD ketika meranduk air.
Anda juga perlu tahu kedalaman air dan kederasan air sebelum meranduk. Ketika di dalam air, gunakan kayu atau kaki anda bagi mengetahui keadaan dasar air.
Reach-throw-row-go ialah langkah menyelamat yang wajar kita tahu jika terdapat mangsa terjatuh ke dalam air atau lemas. Reach (capai) ialah langkah mencapai mangsa sama ada dengan tangan, tali, kayu dan sebagainya.
Jika jauh, cuba langkah throw (baling) iaitu balingkan alat keselamatan seperti PFD atau pelampung. Jika tiada, langkah row (kayuh) iaitu gunakan bot atau sampan jika ada.
Langkah terakhir iaitu go (berenang) boleh dilakukan JIKA tiada pilihan lain dan JIKA anda betul-betul pandai berenang serta tahu langkah menyelamat mangsa lemas.
Berhati dengan kelengkapan anda. Ketika membaling, pastikan belakang anda tiada halangan bagi mengelakkan tersangkut pada rakan atau pokok.
Jangan sesekali membiarkan mata kail merata-rata kerana sesiapa saja boleh terpijak dan menyebabkan kecederaan. Gunakan playar ketika mengeluarkan mata kail pada mulut ikan.
Dalam seminggu sekurang-kurangnya sekali saya dan kawan-kawan lepak kat kedai kopi Pak Karim. Kami lepak di kedai Pak Karim berdekatan simpang kampung. Di sini kami akan berkongsi cerita. Dan menjadi kebiasaan, topik utama yang kami kongsi pastinya tentang ikan dan lubuk-lubuk ikan.
Rata-rata di antara kami semua adalah kaki pancing tegar. Di mana ada lubuk, di situlah kami akan teroka. Pada satu malam minggu, sedang kami asyik berborak tentang lubuk-lubuk yang telah kami teroka, datang seorang pak cik dalam lingkungan umur 50-an menyapa kami.
“Kamu semua ni dah teroka semua lubuk ikan kat Malaysia ni ke?,” Sapa pak cik tersebut sambil tersenyum.
Saya pun menyapa balik pak cik itu, “Takdelah pak cik, kita orang teroka lubuk yang pernah orang pergi sahaja, itu pun kalau ada orang yang cerita tentang lubuk tersebut.” Pakcik itu pun tersenyum sambil menarik kerusi dan duduk di sebelah saya. Selepas itu, kami berborak panjang dengan pakcik itu. Di memperkenalkan namanya Pak Sahak.
Mulai saat itu, Pak Sahak mula menceritakan pengalaman-pengalaman tentang ikan dan lubuk-lubuk yang pernah diterokai. Kami semakin teruja untuk mendengarnya. Pada masa itulah, Pak Sahak menawarkan kepada kami satu lubuk yang jarang-jarang dikunjungi orang.
Cerita Pak Sahak lagi, di situ terdapat pelbagai jenis ikan dan berat ikan tidak kurang dari 1 kg. Dia pernah menaikkan seekor ikan sebarau seberat 3kg di situ dan pelbagai jenis ikan yang puratanya 2-5 kg.
Dan lubuk itu dinamakan lubuk Batu Lumut. Asal usul nama lubuk itu tidak pula diceritakan kepada kami. Ia terletak di hulu Sungai Dungun. Lokasinya tidaklah jauh dari kampung kami. Kami semakin teruja dan berhasrat untuk mengunjungi lubuk tersebut.
Keesokan harinya, Fuzly, Syamil dan Ayem datang ke rumah. Mereka mengajak saya untuk ke lubuk rusa itu. Selepas berbincang, kami sepakat untuk ke sana selepas Zuhur dengan menggunakan 2 buah motosikal.
Kami menuju ke lubuk rusa berpandukan arah yang diberitahu oleh Pak Sahak malam tadi. Walaupun salah seorang daripada kami tidak pernah sampai ke situ, jalan yang diberitahu oleh Pak Sahak tidaklah susah sangat. Jalannya pun tidak lah teruk dan bahaya kerana ia melalui jalan ladang kelapa sawit sahaja.
Selepas 2 jam perjalanan, akhirnya kami selamat tiba di lokasi yang dihajatkan. Masing-masing tersenyum lebar kerana lubuk yang kami dengar dari mulut Pak Sahak sudah berada di depan mata. Air sungai jernih menghijau.
Pokok-pokok rendang tunduk mencecah permukaan air. Di situ terlihat juga anak sungai kecil yang menuruni lereng bukit dan batu besar sebelum memasuki sungai di hadapan kami. Lubuk sebeginilah yang menjadi kegilaan kaki casting.
Belum sempat saya membetulkan joran dan memasang umpan, satu kelibat ikan sebarau menyambar anak ikan sudah kelihatan. Saiznya agak kasar, mungkin 2kg ke atas. Apa lagi, masing-masing menguji kepakaran masing-masing.
Beberapa minit selepas itu, kami mengambil keputusan untuk berpecah. Saya dan Fuzly ke kawasan berbatu. Manakala Ayem dan Syamil menuju ke kawasan berpasir.
Jam menunjukkan pukul 6 petang. Walaupun nampak kelibat ikan sebarau mengejar anak ikan, tetapi seekor ikan pun belum kami perolehi. Tiba-tiba langit yang cerah bertukar menjadi hitam. Angin bertiup kencang sehingga ada pokok tumbang berhampiran kami.
Saya berasa risau dan mengajak Fuzly, Syamil dan Ayem segera pulang. Kami bergegas menuju ke arah motosikal. Belum sempat kami menghidupkan motosikal, tiba-tiba Syamil menyebut kalimah Allah dengan kuat sambil menuding jari ke atas.
Alangkah terkejutnya saya, apabila mendongak ke langit. Kelihatan satu lembaga hitam yang sangat besar berada di hadapan kami. Matanya yang besar, kelihatan merah menyala.
Rambutnya pula panjang menegak hingga mencecah pucuk pokok yang tinggi. Tiada tangan dan kaki, hanya bertubuh besar, tinggi dan berwarna hitam. Makhluk tersebut tidak berkelip sambil menganga menampakkan taring.
Kami terdiam sambil memandang sesama sendiri. Tubuh saya waktu itu menggigil dan terasa sejuk seperti berada di dalam peti ais. Mujurlah rakan saya, Ayem adalah anak kepada seorang ustaz.
Dia melaungkan azan sambil membawa ayat Kursi dengan kuat. Serta-merta lembaga hitam berkenaan hilang dan cuaca berubah cerah. Ayem menyeru kami beristighfar dan beredar dari kawasan itu dengan segera.
Mujurlah kami tidak diapa-apakan oleh lembaga hitam berkenaan. Kami selamat sampai ke kampung lewat maghrib. Sepanjang perjalanan, kami tidak bergurau seperti biasa kerana masih terkejut dengan kejadian tadi.
Malam keesokan harinya, kami duduk bersembang di kedai Pak Karim. Cuma Syamil tidak dapat join kerana demam dan masih terkejut. Waktu itu Pak Sahak datang menghampiri kami. Dia bertanyakan tentang lubuk yang kami pergi dan kami menceritakan apa yang telah kami lalui kepadanya.
Kami hanya memandang sesama sendiri dan saya berkata kepadanya “kenapa tempat tu keras sangat Pak Sahak?” Pak Sahak tersenyum dan memberitahu lubuk rusa itu memang keras dan berpenunggu. Dia terlupa memberitahu kepada kami perkara sebenar dan pantang larang tempat tersebut.
Di situ sebenarnya ada pantang larang. Tidak tahulah ia perkara benar atau tidak. Sesungguhnya peristiwa berkenaan akan saya ingat sampai bila-bila.
“Percayakah kamu sekiranya saya menyatakan adalah sesuatu yang sangat sukar untuk menaikkan seekor temoleh seberat 40 kg ke dalam sampan kecil berseorangan?”
Dalam fikiran aku, tentu saja sedang kita membongkok cuba menaikkan ikan liar yang terperangkap dalam jala panjang 10 kaki itu ke dalam sampan, sampan akan terumbang-ambing dan terus senget.
“Sudah tentu air akan mencurah-curah masuk. Kamu boleh bayangkan nasib penjala tersebut!” ucap Cek Mat kepadaku ketika aku sedang menghirup kopi pekat di anjung rumah pusaka datuknya. Cek Mat terus menceritakan lagi kisahnya…..
Aku sendiri pun pada mulanya tidak yakin, tapi setelah melihat sendiri Pak Jangit mendayung sampan dengan membawa seekor temoleh besar dalam perut sampannya yang sedang merapat ke tebing memang sungguh mengejutkan.
“Ada orang tolong Pak Jangit tadi ke?” kata aku sambil memerhati sampan Pak Jangit mula merapati tebing.
“Kamukan nampak aku seorang je ni,” ujar Pak Jangit sambil tersenyum.
Aku terdiam. Dalam fikiranku mungkin ada seseorang yang sedang mudik ke hulu bertembung dan membantunya menaikkan ikan tersebut ke dalam sampan. Mana mungkin seseorang menaikkan ikan tersebut bersendirian, fikirku lagi.
Aku segera membantu Pak Jangit memikul ikan temoleh menuju ke rumahnya yang berjarak suku batu. Suasana agak suram bila memasuki lorong kebun getah yang menuju ke rumahnya yang jauh dari rumah jiran-jiran.
Terasa pelik dan kagum apabila melihat Pak Jangit masih gagah memikul tanpa mengeluh ikan tersebut naik ke dapurnya. Pak Jangit mengeluarkan golok dan menyuruh aku memotong mana-mana bahagian yang aku sukai.
Melihat aku masih ragu-ragu, Pak Jangit lantas memotong bahagian kepala dan memasukkan ke dalam buntil tepung dan menyerahkan padaku untuk dibawa pulang.
Esoknya, selepas pulang dari bekerja di Kilang Getah Kati Estate, aku mencapai batang-batang joran lantas mencapai basikal. Hajatku untuk pergi memancing. Di simpang jalan aku singgah di Kedai Runcit Pak Alang Him untuk membeli rokok dan sedikit roti manis buat bekalan.
Bunyi riang-riang rimba yang tingkah meningkah menyambut kedatanganku di pinggir sungai. Dua batang pancing segera kusiapkan dan siap kutambatkan pada anak pokok pinang. Aku pun bersandar pada perdu pokok sambil mengeluarkan bekalan roti yang dibawa.
Tiba-tiba aku teringat pelawaan Pak Jangit mengajak aku menjala ikan bersamanya. Seingat aku Pak Jangit Tamih pernah memberitahu dia berasal dari suku Kerinci dari daerah Jambi, Indonesia. Telah setahun Pak Jangit mengambil upah menoreh getah di kebun ketua kampung. Pak Jangit pernah berkahwin tapi bercerai tanpa meninggalkan zuriat.
Aneh, orangnya. Rela tinggal bersendirian di hujung kampung dan menghuni rumah kecil peninggalan Bidan Mak Limah.
Sekiranya tidak menoreh kerana hujan, dia akan membuat jala. Kadang-kadang ada juga orang kampung turut menempah jala darinya. Cuma dia agak kurang bergaul. Satu-satunya yang menentang keras akan kehadirannya adalah Pak Malim, seorang guru silat di kampung kami.
Pernah tiga bulan yang lalu, Pak Jangit menggemparkan penduduk Kampung Beluru dengan tangkapan ikan temoleh seberat 40kg di Sungai Jawang. Berita kejayaannya telah menjemput kaki-kaki pancing dan pemukat dari kampung-kampung berhampiran.
Namun ramai yang hampa. Cuma Pak Ngah Tago agak bernasib baik dapat menaikkan temoleh 17 kg, itu pun dibantu oleh anak bujangnya yang ikut bersama.
Aku menyalakan sebatang rokok. Nyamuk yang berlegar di sekeliling badanku mulai berkurangan. Ada juga desas-desus menyatakan Pak Jangit mengamalkan ilmu hitam. Ada juga menyatakan Pak Jangit ada pendamping.
Terasa seram menyelubungi diri sewaktu aku berpaling ke kiri. Berderau darahku. Berdiri di bawah pokok salak kelihatan Pak Malim yang sedang melangkah ke arahku. Kami pemuda-pemuda Kampung Beluru dan kampung-kampung sekitarnya sangat menghormatinya kerana ilmu persilatannya yang tinggi.
“Aku mencari kerbau aku yang terlepas!” ujar Pak Malim sewaktu aku bertanya akan kehadirannya. Aku dengar kau nak ikut Pak Jangit menjala? Berhati-hati jangan cepat percaya dengan orang luar.”
Aku mula merasa tidak selesa. Bagaimana Pak Malim boleh tahu rancanganku? bisik hatiku. “Mat, kau ada rasa kelainan tak semasa berada di halaman rumahnya?”. Aku mengangguk perlahan.
Memang aku akui. Ada ketikanya suasana tiba-tiba rasa sejuk yang melampau, bau kemenyan yang nipis menusuk ke hidung sewaktu berada di halaman rumahnya. Lebih-lebih lagi waktu rembang petang.
“Kebaikan kau akan dipergunakannya, berkemungkinan dia akan melepaskan sakanya pada kamu.” Aku merenung jauh memikirkan kata-kata Pak Malim. “Kehebatannya menaikkan ikan-ikan besar seorang diri ke dalam sampan hanyalah dibantu oleh pendampingnya. Tapi ingat itu hanyalah ilmu dunia yang sementara!”
Aku mula merenung muka Pak Malim. Sayup-sayup kedengaran bunyi kereta api barang melintasi jambatan besi Victoria. Petang yang cerah tiba-tiba bertukar kelam. Langit hitam beserta angin kencang membawa gerimis. Sebaik bunyi guruh berdentum kuat, tiba-tiba kami dikejutkan kelibat Pak Jangit di bawah pokok kabong, sambil merenung tajam ke arah kami.
Daripada pandangan mata wajahnya, perlahan-lahan seakan berubah menjadi harimau. Suaranya kedengaran garau dan bersedia dalam kedudukan untuk menerkam kami.
Pak Malim lantas mengeluarkan kain hitam berjalur merah. Dari mulutnya meluncur ayat-ayat suci. “Mat kamu jangan gentar, teruskan membaca ayat Qursi.” Aku akur sambil cuba melangkah pantas ke belakang Pak Malim.
Belum sempat aku berada di belakang Pak Malim, satu tamparan singgah di dada kiriku. Sepantas kilat Pak Malim merentap daunan dan menepuk sambil mulutnya kumat kamit menghembuskan ke dadaku dan tangan kiriku menekup daunan seperti diarahkan. Aneh!
Dalam beberapa saat dada terasa seperti terbakar mula reda seperti di sirami air dingin. Jelmaan Pak Jangit yang telah bertukar wajah kepada harimau jadian mengaum sekuat tenaganya.
Terkamannya yang agak tersasar memberi peluang Pak Malim melibas muka harimau jadian dengan kain hitam dengan sekuat hati. Lantas ghaib dari pandangan mata kami dan meninggalkan bau kemenyan yang tajam. Perlahan-lahan Pak Malim memapahku pulang….
“Peristiwa ini telah 20 tahun berlalu. Pak Malim pun telah lama meninggal dunia. Pak Jangit telah lama menghilangkan diri tanpa berita. Lihatlah ini bekas cakarannya masih meninggalkan parut di dadaku sebagai kenangan,” Ucap Cek Mat sambil tertawa kecil.
Matanya merenung jauh ke puncak Bukit Karai. Sesekali mataku merenungi bunga-bunga teratai di permukaan kolam yang berada di pinggir rumah pusaka Cek Mat.
“Setiap kejadian ada hikmahnya. Cuma kita harus selalu berwaspada. Ingatlah pada yang Esa!” ucap Cek Mat perlahan kepada ku.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...