Best sangat ke pancing sebarau??

Share

 

Spesies ikan sebarau sering dikenali sebagai pemangsa air tawar yang mampu menaikkan adrenalin kaki pancing sewaktu ikan ini di hujung tali. Sebarau paling terkenal di kalangan kaki mengilat dan kegilaan merasai tentangan spesies ini membuatkan sesudu dan gewang laris bak goreng pisang.

 

 

Sebarau bersifat pemangsa atau pemburu. Spesies ini sering menerkam mangsa secara tiba-tiba selain gemar mengejar ikan kecil. Kelajuan renangan menjadikannya suatu kelebihan ketika mengejar mangsa. Selain menghentam mangsa dengan agresif, sebarau juga mampu menggunakan teknik menyedut mangsanya.

 

Sebarau biasanya bergerak secara berkumpulan dan selalunya dalam setiap kumpulan terdapat seekor sebarau yang dominan bertindak sebagai ketua. Bagi sebarau yang lebih besar, biasanya akan bergerak secara bersendirian atau pun berpasangan. Spesimen yang besar jarang berenang berkumpulan kerana sifat dominannya.

 

 

Sebarau merupakan ikan pancingan sukan yang sangat mengujakan. Spesies ini mempunyai sifat seekor pemburu dan sangat agresif. Pemancing yang terjumpa kawanan sebarau sedang memburu mampu menaikkan beberapa ekor spesies ini dalam waktu yang singkat.

 

Sebarau cukup terkenal bagi penggemar teknik mengilat. Selain gewang tiruan dan sesudu, sebarau juga boleh dipancing menggunakan umpan seperti cacing dan serangga. Lokasi terbaik dan popular memancing sebarau termasuklah tasik-tasik besar, lombong tinggal, kawasan air terjun berjeram serta sungai-sungai pegunungan. Sebarau sering mendiami kawasan seperti ini.

 

 

Kawasan yang mempunyai sedikit struktur menambahkan lagi potensi kehadiran sebarau. Dengan struktur seperti batu besar dan kayu, sebarau berpotensi menunggu mangsa di sebalik struktur tersebut. Penggunaan umpan tiruan lebih berpotensi dihentam sebarau jika digayakan di kawasan berstruktur.

 

Sebarau yang lebih besar atau badong pula sering menghuni kawasan yang lebih dalam dan berstruktur. Sebarau bersaiz 1kg ke atas mampu memberikan tentangan yang mengujakan sehingga ke gigi air atau tepi bot. Kes mata kail standard gewang dan sesudu patah atau lurus perkara biasa jika terkena sebarau bersaiz besar.

 

 

Ada di kalangan kaki pancing awal-awal lagi akan menukar mata kail kepada yang lebih kuat, terutama menjejak sebarau di kawasan sungai pegunungan. Kekuatan tantangan serigala air tawar ini sejak awal hingga ke akhir perlawanan seharusnya mendapat penghormatan oleh pemancing.

 

Published by
Amang