Sekiranya korang bercadang untuk memancing secara santai, kami ingin cadang sebuah rakit di selatan tanah air. Kebanyakan pakej rumah rakit menawarkan pakej memancing dan menginap, Rumah Rakit Azarza Zainal yang terletak di Teluk Sengat, Kota Tinggi tampil dengan pendekatan berbeza 3 dalam 1 iaitu memancing, menginap dan cafe atas air.
Kunjungan kami ke rumah rakit ini terlebih dahulu disambut dengan minuman selamat datang oleh pemiliknya, Encik Azar Zainal. Menurutnya, idea untuk membuka rumah rakit dengan pakej menginap, makan dan memancing ini datangnya secara tiba-tiba.
Perancangan asal hanya untuk fokuskan kepada memancing sahaja, tetapi bila melihat dengan hanya 1 pakej kurang menjana keuntungan, maka beliau tampil dengan idea untuk menjadikan rumah rakit ini lain daripada yang lain dengan pakej lengkap memancing, menginap dan cafe atas air.
Selain cafe dan bilik penginapan dengan konsep terbuka yang selesa, rumah rakit ini juga lengkap dengan pelbagai kemudahan lain seperti surau, tandas, TV siaran Astro, ruang makan yang selesa dan pelbagai lagi kemudahan lain.
Ads
Dikelilingi panorama menarik berlatarbelakangkan Sungai Johor pastinya rakit ini menjadi antara rakit pilihan yang boleh dikunjungi kaki pancing yang ingin membawa keluarga untuk bercuti sambil memancing.
Rumah rakit ini juga amat sesuai buat mereka yang ingin merancang untuk membuat hari keluarga atau apa jua aktiviti yang melibatkan kuantiti peserta yang ramai kerana ia mampu memuatkan maksimum seramai 100 orang pada satu-satu masa.
Ads
Ditanya tentang perancangan masa hadapan, Encik Azar Zainal merangka untuk membina sebuah lagi rumah rakit yang baru dengan konsep bilik penginapan yang berbeza dan lebih privasi untuk pengunjung.
Selain itu beliau juga ingin menambah pelantar bagi memudahkan kaki pancing melontar joran dengan lebih selesa selain menambah baik kemudahan sedia ada untuk kepuasan pengunjung.
Ads
Sewaktu kunjungan singkat kami tempoh hari boleh dikatakan rezeki tidaklah memihak kami. Dengan kunjungan singkat dan keadaan air yang kurang cantik hanya spesies kecil sahaja yang sudi menjamah umpan kami.
Namun apabila melihat koleksi foto pemancing dengan tangkapan di rakit ini kami percaya ia juga menjadi persinggahan pelbagai spesies ikan gred A seperti siakap, tebal pipi, senangin, kerapu, merah, sembilang dan macam-macam lagi.
Selain memancing di rumah rakit, Rakit Azarza Zainal turut menawarkan khidmat sewa bot untuk memancing dan menyusuri Sungai Johor bagi yang ingin menjamu mata melihat keindahan matahari terbenam.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Ikan pari seberat 20.310 kilogram menjulang Awie Nurfarish dari Pekan, Pahang sebagai juara Shimano Surfcasting Challenge 2017 di Pantai Puteri, Melaka yang berlangsung Ahad lalu.
Awie menaikkan ikan berkenaan pada jam 8.44 pagi sekali gus Zamri Saiman, dari Selangor yang menduduki tempat kedua dengan ikan sembilang seberat 1.360 kilogram. Tempat ketiga disandang Zaidi Warmo dari Klang, Selangor yang menjinakkan sembilang seberat 1.310 pada jam 11.13 pagi. Dengan kemenangan itu Awie membawa pulang wang tunai RM45,000.00 serta peralatan memancing Shimano. Zamri berpuas hati dengan wang tunai RM10,000.00 manakala Zaidi membawa pulang RM5,000.00.
Awie yang hadir ke Pantai Puteri bersama ahli keluarga dan rakan-rakan dari kelab memancing GTB amat bersyukur dengan kemenangan tersebut berikutan rintangan yang dihadapi sebelum pertandingan termasuklah bekalan udang hidup yang dibawa semuanya mati. Hasil balingan kedua beliau berjaya mendaratkan pari tersebut setelah melayan lebih 40 minit.
Hadiah kepada pemenang disampaikan Penyelaras DUN Pantai Kundor, Datuk Noor Azman Hassan. Turut hadir Penghulu Pantai Kundor, Ali Muhammad, Eksekutif Kanan Jabatan Pemasaran dan Khidmat Pelanggan Shimano Asia Tenggara, Kelvin Yiu Keen Yip dan Pemilik Mee Fah Fishing Tackle, Lai Lee Kwong.
Shimano Surfcasting Challenge yang mula diperkenalkan tahun lalu, mendapat sambutan sangat menggalakkan daripada pemancing seluruh negara serta negara jiran, Singapura. Pertandingan itu menawarkan hadiah iringan jenama Shimano yang antara barangan peralatan memancing paling banyak digunakan kaki pancing di Malaysia.
Malah menurut Kelvin yang membuat pemantauan sepanjang kawasan memancing sepanjang 2.5 kilometer, beliau mendapati 70 peratus pemancing menggunakan kekili Shimano manakala 50 peratus menggunakan joran jenama Shimano.
Justeru, beliau berpandangan bahawa acara yang mendapat sambutan seperti itu wajar dikembangkan lagi. Malah beliau turut membayangkan Shimano Surfcasting mungkin dijalankan sebanyak empat kali pada tahun hadapan membabitkan empat wilayah – utara (Kedah/Pulau Pinang), tengah (Kuala Lumpur/Selangor), selatan (Melaka) dan Pantai Timur (Terengganu/Pahang).
Carta top 10
AWIE NURFARISH – Pari 20.310 kg (RM45,000 + PA Fligen TD Thick, Speedcast 450BXG dan baju T Shimano)
ZAMRI SAIMAN – Sembilang 1.369 kg (RM10,000 + PA Prosurf Thick, Forcemaster Surf 450BXG dan baju-T Shimano)
ZAIDI WARMO – Sembilang 1.310 kg (RM5,000.00 + Speedcast 14000XSB, Vengeance Surf S425CXI dan baju-T Shimano)
ISKANDAR – Sembilang 1.205 kg (RM1,500 + Forcemaster Surf 450BXG dan baju T Shimano)
AZIZAM – Yu cicak 1.095 kg (RM1,000 + Vengeance Surf 425AXI dan baju T Shimano)
1234 – Tebal pipi 0.945 kg (RM800 + Vengeance Surf 425AXI dan baju T Shimano)
JUHARI NAZRI – Gerut-gerut 0.930 kg (RM800 + Vengeance Surf 425AXI dan baju T Shimano)
MAZNI – Gemang 0.890 kg (RM600 + Vengeance Surf 425CXI dan baju T Shimano)
PUTERI – Pari 0.760 kg (RM600 + Vengeance Surf 425CXI dan baju T Shimano)
MAN LEGO – Daun baru 0.675 kg (RM600 + Vengeance Surf 425CXI dan baju T Shimano)
Sungai yang terdekat dengan rumah saya ialah Sungai Tekam. Beberapa port terbaik sudah terbayang dalam kepala. Sebelum turun, kenalah cari umpan dulu. Teringat nak guna cengkerik kali ini. Kereta kancil dihidupkan dan saya terus memecut ke Felda Kota Gelanggi 1 kerana di sana ada menjual cengkerik.
Sebaik sahaja sampai, belum sempat turun dari kereta, abang tu dah beritahu cengkerik dah habis. Macam mana ni? Semangat memancing sudah berkobar-kobar. Teringat kedai proses ayam daging. Dengan muka selamba saya menghadap makcik tuan punya kedai tu minta perut ayam.
“Kenapa lambat… perut dah buang. Cuba tengok dalam plastik hitam kat simpang tu, kalau lori belum angkut..”
Nasib baik, ada. Hari sudah semakin petang. Bergegas saya memandu ke lokasi. Sambutan dari sang ikan memang galak, tapi saiznya alahai… tengok pun rasa kasihan. Ikan-ikan bersaiz ‘cinonet’ tersebut dilepaskan kembali.
“Kalau goreng pun lekat celah gigi je,” kata member. Apa yang penting, hati terhibur melayan ikan bersaiz baby.
Sambil menunggu umpan direntap, kami menggali cacing di tebing sungai. Banyak juga cacing di bawah pangkal pokok buluh. Di samping perut ayam, cacing tanah kami hulurkan ke dasar. Murah rezeki ada ikan bersaiz abah yang sudi.
Tengah bersembang, joran bergetar kuat. Sentap balas dibuat. Nampak gayanya agak kasar. Saya berhati-hati melayan si mangsa memandangkan bangkar kayu antara halangan yang menanti. Mangsa semakin menghampiri tebing dan peluang semakin cerah.
Joran diangkat tinggi dan mangsa berjaya didaratkan. Baung tersebut adalah hasil terakhir kami. Hari pun dah semakin gelap. Eloklah kami beransur dulu. Lain kali boleh memancing lagi.
Spesies snakehead atau ikan berkepala ular di malaysia ini terbahagi kepada beberapa keluarga seperti haruan, toman, bujuk, kerandang, haruan palas dan juga runtu atau baram snakehead.
Setiap keluarga spesies ini mempunyai pelbagai sifat memburu yang tersendiri dan saiznya mengikut situasi di sesebuah ekosistemnya.
Namun perkara utama tentang ikan ini adalah, ia bersifat wilayah dan cara makannya yang menyambar.
Teruja dengan spesies bujuk dan haruan palas yang sebenarnya boleh dikategorikan spesies yang semakin sukar di kebanyakan tempat di kawasan semenanjung Malaysia ini,
saya telah dijemput oleh sahabat dari pemburu spesies ini ‘Southern Snakehead’ yang menjadikan spesies kepala ular ini sebagai sasaran utama mereka.
Bahagian selatan tanah air, terutama di kawasan utara dan timur negeri Johor yang masih mempunyai hutan-hutan yang masih dara dan di gazetkan sebagai hutan simpan, spesies ini masih mudah ditemui.
Namun bagi sesetengah tempat spesies bujuk ini semakin pupus dan jarang dilihat di sungai-sungai atau parit sekitar sawah padi.
GILA CARI BUJUK
Sebab apa pemburuan bujuk ada nilainya tersendiri, berbanding spesies snakehead yang lain.
Walaupun spesies ini dalam kategori spesies pemangsa seperti haruan dan toman ia bagi saya adalah spesies yang agak pemalu keluar menyerang di kawasan terbuka.
Spesies ini lebih gemar mendominasi bawah kayu atau di kawasan reba sebagai rumahnya.
Bujuk lebih gemar menunggu mangsanya masuk ke kawasan rumah sebelum membuat serangan.
Keadaan air sungai yang coklat gelap, hampir sama dengan warna kayu mati dan berarus lemah adalah lokasi habitatnya.
Kebiasaannya spesies ini mendiami paya di kawasan hutan-hutan dan juga anak-anak sungai yang jauh di dalam hutan.
Bagi saya, cara makan ikan ini apabila ia terkena umpan memang mengasyikkan. Ia adalah spesies yang kuat meronta dan menggelupur. Inilah keasyikkan memburu bujuk.
Untuk meneroka lubuk lubuk yang berpotensi kenderaan pacuan empat roda ataupun lebih mudah menggunakan motosikal bagi lubuk yang jauh.
Itu pun sekiranya terdapat laluan yang boleh dilalui dengan kenderaan. Jika tidak, jalan kakilah jawabnya.
Perancangan awal dibuat mengenai kelengkapan yang perlu dibawa semasa trip berlangsung dan umpan umpan yang boleh diguna pakai di kawasan ini.
Sahabat saya, Addy dan juga Shah adalah penduga tetap kawasan ini lebih biasa dengan selok-belok hutan manakala dua orang lagi sahabat iaitu Awang dan Steve yang mahir
dalam kajian hutan membuatkan saya lebih yakin memasuki hutan yang sebenarnya kita tidak tahu apakah terdapat binatang buas yang mendominasi kawasan mereka.
NAIK MOTOSIKAL
Seawal jam 9 pagi kami memasuki pintu hutan selepas melalui jalan laluan balak yang sedikit basah dan terdapat becak di beberapa kawasan.
Beberapa kali motosikal kami menggelongsor keluar dari laluan kerana jalan yang agak licin.
Mujurlah tiada sebarang kejadian yang tidak elok berlaku dan selamat tiba di lokasi yang dituju.
Di hilir sungai kawasan balak yang baru di tebang kelihatan kawasan sungai yang cetek yang airnya mengalir sederhana deras.
Bila sahaja nampak air, kami semua memang tidak sabar melontar umpan soft plastic (SP) ke bahagian reba yang berselirat di dalam air.
Addy menerima sambaran pertama selepas tiga kali lontaran SP miliknya disambut oleh seekor haruan palas sekitar 300gram.
Kepala Haruan palas kelihatan agak kecil berbanding haruan biasa dan bentuk badannya lebih cantik dan berkilat.
Bila di amati terdapat sebentuk mata kail di dalam mulutnya mungkin terlepas dari tajur yang dipasang oleh orang asli di kawasan ini.
Kami kemudiannya terus menyusuri anak sungai sambil melontar umpan ke kawasan yang diyakini terdapat spesies yang dicari.
Landskap yang cantik sepanjang sungai membuatkan saya lebih teruja dan menikmati keindahan alam secukupnya.
Adakala kami terpaksa merentasi titian balak yang kecil untuk menyeberang bagi mendapatkan lubuk-lubuk terbaik.
Penggunaan gewang mata kail yang tersimpan atau mata kail tunggal lebih sesuai digunakan kerana di sini kerana akar kayu dan reba yang berselirat mampu membuatkan kami berputih mata.
Walaupun umpan katak, adalah lebih laju untuk mendapatkan spesies ini, bagi saya ia kurang thrill berbanding umpan tiruan.
Pada saya cukuplah dulu-dulu saya dah guna katak hidup semasa memancing di sawah padi, sekarang adalah masa terbaik menggunakan umpan tiruan.
LUBUK CANTIK
Sungai yang lebarnya lebih kurang 4 meter dan adakala surut dan dalam di beberapa kawasan membuatkan kami tertumpu di bahagian yang dalam sahaja kerana kehadiran kami mudah dikesan bagi kawasan yang cetek.
Setelah 1 jam berjalan kami terserempak dengan binaan pondok di atas pokok yang di tinggalkan oleh orang asli atau petugas-petugas hutan di tepi sungai.
Pondok yang dibina tinggi dari tanah lebih selamat berbanding di bawah kerana kehadiran binatang berbisa ataupun binatang buas mampu mengundang bahaya.
Di satu selekoh saya mengamati terdapatnya buih-buih kecil yang banyak di permukaan air. selepas diperhatikan, kelihatan anak-anak bujuk yang masih kecil bermain di atas air.
Saya menghulurkan umpan yang sama seperti digunakan oleh rakan lain, lalu melontarkannya ke arah buih-buih halus dan kawanan anak bujuk tadi.
Jarak saya dengan anak-anak bujuk yang tidak jauh menyebabkan saya hanya mampu mengenjut umpan SP tersebut seperti bermain jig.
Tanpa menunggu lama, satu sedutan dan henjutan kasar dirasakan di hujung rod namun ‘hook up’ yang dibuat tidak kemas dan menyebabkan ibu bujuk melarikan diri.
Puas saya melontarkan SP semula ke arahnya, namun ia tetap culas dan terpedaya. Tidak mengapalah, bukan rezeki saya, jelas saya di dalam hati.
Awang dan Steve bergerak secara berdua di belakang saya memperlihatkan melalui kamera dan telefon bimbit tangkapan beberapa ekor spesies bujuk yang ada di lepaskan semula ke habitatnya bagi menjamin populasi yang semakin berkurangan.
Ujar Awang, bujuk yang paling besar pernah didaratkan di kawasan ini sekitar 1.5 kilogram dan saiz-saiz sekitar 500 gram adalah saiz yang mendominasi kawasan ini.
Selain bujuk, haruan palas dan haruan, ujar Steve pula, terdapat juga spesies lain seperti sebarau dan kelisa.
Namun spesies yang di kategorikan sebagai spesies minoriti ini terpaksa survival hidup bersaing dengan spesies snakehead yang lebih banyak mendiami sepanjang sungai.
Kami meneruskan pancingan hingga ke lewat petang, sambil ada beberapa lokasi, membolehkan penggunaan gewang dilakukan dengan baik.
Kami menamatkan sesi pancingan sebelum matahari terbenam agar perjalanan keluar lebih mudah dan bimbang terserempak dengan binatang buas yang mungkin mengendap mangsanya.
Di lain masa, kami sepakat akan kembali mencari spesies yang sama tetapi menyasarkan spesies yang lebih besar.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...