Pancingan spesies tenggiri memang cukup popular di kalangan pemancing kita. Lokasi atau lubuk paling sinonim dengan tenggiri di utara ini tentulah tuas.
Tuas ialah tukun atau unjam yang dibina di tengah laut, biasanya terdiri daripada gelung simen, daun kelapa atau daun pokok Ibus yang kemudiannya diikat dengan buluh sebagai penanda lokasinya.
Maka, kelihatanlah ceracak-ceracak buluh di tengah laut penanda lokasi berkumpul ikan-ikan kecil dan besar termasuklah tenggiri.
Tenggiri memang gemar berenang berhampiran tuas untuk memburu ikan-ikan kecil seperti kembong, selar atau tamban di sekitar tuas. Jadi bagi peminat tarikan tenggiri, pastinya tuas menjadi lubuk pilihan untuk berentap.
Tuas Yan di Kedah sudah sekian lama diakui antara yang terbaik mencari tenggiri. Namun untuk lari daripada kebiasaan, grup Penang Anglers Club (PAC) telah memilih untuk mencabar tenggiri di lokasi tuas kawasan Pulau Payar atau Tuas Payar.
TRIP TUAS PAYAR ANJURAN PAC
Trip cungkil tenggiri ini pada awalnya dianjurkan oleh PAC bertujuan mengumpulkan rakan-rakan pemancing khususnya ahli PAC sendiri untuk mengeratkan hubungan sesama ahli grup seterusnya menikmati hobi hanyir yang dikongsi bersama ini.
Pihak PAC memilih lapangan Tuas Payar kerana secara tidak langsung dapat menguji lapangan dan mempromosikan lokasi ini sebagai lokasi alternatif di utara tanah air kepada peminat tegar tenggiri di Malaysia.
Sekitar 25 orang pemancing menyertai trip ini dan berkumpul di Jeti Kubang Rotan, Kuala Kedah seawal jam 6.30 pagi. Setelah berkumpul dan sesi taklimat ringkas, 5 buah bot bertolak membawa pemancing menuju ke kawasan tuas.
Tiba di tuas, masing-masing terus melabuhkan umpan pilihan. Begitu juga dengan penulis, Khairul, Tokwan, Fazrul dan Pet yang berada dalam satu bot.
Awal pagi kami bermula dengan teknik apollo mencari kembong dan tamban untuk dijadikan umpan dengan teknik drift belon.
Sambil menanti henjutan tenggiri, kami melayan cencaru yang tidak putus-putus melarikan apollo.
Di belakang bot, balingan demi balingan sesudu SO’DO perak oleh Tokwan akhirnya bersambut.
Henjutan yang dilakukan ditangani kemas oleh Tokwan yang menggunakan kekili Quantum EXO PT lantas seekor belitong sub-juvenil berjaya dinaikkan.
Tiba-tiba set joran berumpankan kembong menjerit lalu pantas disambar oleh Khairul dan mula melakukan kayuhan demi kayuhan.
Keadaan agak riuh dengan masing-masing membayangkan tenggiri pertama. Namun, bayangan tinggal bayangan apabila yang terdampar lemah ialah sang todak.
Patutlah tarikannya melilau di permukaan.
Oleh kerana keadaan air tenang dan tiada angin, kami lebih banyak melakukan teknik casting dan jig-cast sambil menanti sang tenggiri.
Fazrul masih gigih melayan cencaru dan kerisi, King of Cencaru hari itu. Casting menggunakan sesudu dan mini jig tidak menghampakan.
Belitong, cencaru dan pecah periuk antara hasilnya, jig dan sesudu yang berhasil putus pun ada.
Sekitar jam 2 petang, balingan bulu daripada Khairul akhirnya diragut kasar. Henjutan kali ini pasti tak lain tak bukan sang tenggiri torpedo.
Asakan larian bak torpedo ditahan kuat oleh Khairul sebelum mendapat peluang membuat karauan.
Setelah beberapa minit, seekor tenggiri berskala 4kg menyembah di tepi bot dan menjadi satu-satunya tenggiri hasil bot kami.
TUAS PAYAR, SPOT ALTERNATIF DI KUALA KEDAH
Di penghujung trip, hasil bot yang kami naiki hanya berjaya mengcungkil seekor tenggiri. Menurut tekong, mungkin nasib agak tidak menyebelahi kami.
Permukaan air sangat tenang kerana tiada angin menyebabkan ikan kecil kurang mengejar riak air. Namun, setidaknya ikan lauk seperti cencaru, kerisi dan selar yang memenuhi tong masih membuatkan kami berpuas hati.
Hasil daripada bot rakan pemancing lain dikumpulkan bersama pada petang itu. Jumlah spesies target iaitu tenggiri yang berjaya dicungkil sejumlah 8 ekor dengan yang paling berat ialah 12 kg.
Teknik drift umpan hidup, membulu dan casting antara teknik yang menewaskan 8 ekor tenggiri ini.
Pada hari yang tidak berapa baik, 8 ekor tenggiri yang dicungkil menandakan betapa tuas Pulau Payar ini mempunyai potensi yang baik sedikit masa lagi.
Penulis difahamkan kebanyakan tuas berusia sekitar 12 – 14 bulan dan akan ada penambahan tuas berperingkat.
Rakan pemancing yang sudah ke sini sebelum ini juga mengatakan tuas Payar tidak mengecewakan.
Melihatkan keadaan, jelas tuas Payar mampu menarik kedatangan pemancing khususnya sebagai spot melayan tenggiri.
Peranan tekong juga memainkan peranan penting dalam memberi impak positif kepada perkembangan Tuas Payar sebagai satu spot pancingan terbaik.
Dengan lokasi yang tidak jauh dari Taman Laut Pulau Payar, penulis percaya sedikit masa lagi, Tuas Payar akan dijulang sebagai satu spot utama spesies king mackerel ini.
Info Tambahan:
Kesesuaian Teknik: Pancingan tenggiri di kedah, terutama di Yan dan sekitarnya sedikit berbeza dengan tempat lain. Ada yang menganggapnya begitu cerewet.
Banyak teknik yang perlu dipraktikkan seperti casting menggunakan 2 @ 3 mata menggunakan ikan kembong (temenung) mati, drift, jigging, trolling, casting bulu dan gewang.
Untuk keberkesanan hasilnya, cubalah semua teknik kerana cita rasa tenggiri kadangkala tidak sama. Rajin-rajinlah bertanyakan kepada tekong atau orang lama atau kaki-kaki tuas sejati atau rajin-rajinlah berkunjung ke tuas.
Bukan bermakna sekali anda gagal terus tak mahu mencuba. Anggaplah ini semua sebagai satu cabaran bagi diri anda sebagai seorang kaki pancing sejati.