Seawal jam 7.15 pagi kami sudah terpacak di dalam bot masing-masing. Tiga orang setiap gabungan bot fiber dan polisterine buatan sendiri Pak Su Razak ini cukup selesa. Cuma yang kurang selesanya bagi penulis adalah hampir semua bot di Tasik Beris menggunakan enjin ekor biawak.

 

Ketika hujan renyai turun, enam buah bot berpecah mencari spot masing-masing. Bermula di kawasan tidak jauh dari ladang anggur, kami kemudiannya meneroka kawasan tuas (ceracak pokok buluh mati yang tenggelam).

 

Berkenalan Dengan Tasik Beris

 

Di spot ini, hanya seekor sebarau bersaiz juvenil berjaya diperolehi. Pencarian di kawasan ini sedikit terbatas kerana kawasan permukaan tasik hampir dipenuhi samai dan amat sukar untuk kami menggayakan gewang lain selain gewang jenis permukaan.

 

Menurut Yares, inilah cabaran casting di Tasik Beris, sebaraunya sukar dijejaki terutama bersaiz besar kerana ia berselindung di bawah samai. Jadi dek kerana kesukaran inilah, amat bertuah buat mereka yang berjaya menaikkan sebarau bersaiz 1 kg ke atas.

 

Berkenalan Dengan Tasik Beris

 

Tambahnya lagi, dek kerana samai-samai inilah, punca mengapa enjin ekor biawak menjadi pilihan kebanyakan pemilik bot di sini. Walaupun ia bukan enjin yang praktikal untuk tujuan casting (kerana bunyi bising), tetapi ia menjalankan tugas yang baik kerana mampu melalui permukaan tasik yang dipenuhi dengan rumput tebal dan samai.

Ads

 

Menginjak tengah hari, kami mencuba di kawasan yang lebih terbuka untuk menjejaki sang toman. Namun disebabkan rintik hujan dan mendung yang berterusan membantutkan usaha mencari sang toman sebelum kami berangkat pulang semula ke jeti Pak Su Razak untuk berehat dan makan tengah hari.

 

Berkenalan Dengan Tasik Beris

 

Semasa berehat, masing-masing menceritakan kesukaran mendaratkan spesies sasaran. Faktor air yang dalam, samai memang menyukarkan. Tetapi ia sedikit pun tidak mematahkan semangat geng NKA yang rata-ratanya baru berjinak dengan teknik casting. Beberapa orang berjaya memperoleh sebarau dan toman bujang. Tiada lagi kelibat badong mahupun mama toman pada sebelah pagi.

 

Sesi petang diteruskan kembali dengan masing-masing mencuba spot yang berlainan. Sebelah petang, cabaran untuk mencari spesies sasaran lebih mencabar, kerana faktor angin yang mulai bertiup kuat.

 

Ads

Berkenalan Dengan Tasik Beris

 

Di satu hujung tanjung, ketika baru sahaja Yares memberhentikan bot, terlihat kelibat toman timbul mengambil udara tidak jauh di belakang bot. Terus sahaja kami melontarkan gewang yang ada dan berapa kali karauan, sang toman terus menyambar rakus gewang permukaan milik Yares.

 

Lewat petang, hari kelihatan semakin mendung. Angin juga mulai semakin kuat bertiup. Nun di puncak bukit bukau yang melatari pemandangan indah Tasik Beris, kelihatan awan hitam sedang berarah menuju ke arah kami.

 

Berkenalan Dengan Tasik Beris

 

Ads

Harapan untuk menduga spot ‘Raja Sakti’ akhirnya tidak kesampaian apabila rintik hujan mulai semakin kasar dan seterusnya hujan berserta angin ribut diiringi kilat dan petir menimpa kami. Mujur bot yang dinaiki saya sempat berlindung di wakaf tidak jauh dari hentian R&R Tasik Beris.

 

Sambil bertanyakan kepada rakan bot lain, akhirnya kami diberitahu sebuah bot mengalami kerosakan enjin dan berlindung agak jauh daripada bot kami. Selesai hujan reda, kami menjejaki mereka. Mujur juga di Tasik Beris ini, liputan talian telefon amat baik.

 

Berkenalan Dengan Tasik Beris

 

Sekitar jam 9 malam, bot yang dinaiki saya selamat sampai ke jeti Pak Su Razak Beris bersama bot yang ditunda.

 

Sesi sebelah malamnya, kami berkumpul sambil mendengar cerita bot yang lain. Masing-masing menunjukkan hasil yang tidak seberapa.

 

Berkenalan Dengan Tasik Beris

 

Melihat kepada beberapa faktor seperti cuaca yang tidak menentu, samai yang tebal, ramainya penduduk kampung memasang jaring dan rawai serta air tasik yang tinggi, memang harapan untuk menduga dua spesies ini sememangnya sukar ketika ini.

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI