Siapa yang tidak kenal dengan ikan belukang. Spesies keluarga ikan duri yang banyak terdapat di muara sungai dan pantai. Kadangkala dijumpai ketika memancing di tengah laut.
Ikan belukang, bedukang, kedukang, keropak, gaok atau macam-macam lagi panggilan tempatan (Hexanematichthys sagor) adalah sejenis ikan bermisai air masin (marine catfish) yang biasa didapati di tepi pantai berlumpur dan kuala sungai.
Ikan berharga rendah ini juga dikenal dengan nama Sagor catfish, Sagor sea-catfish, atau Sunda sea-catfish.
Ekologi dan taburan
Ikan bertubuh sederhana, licin tak bersisik; panjang hingga 45cm. Kepala memipih datar ke arah muncung, dengan tiga pasang sesungut; sepasang yang paling panjang di antaranya berada di rahang atas, hujungnya mencapai pertengahan sirip pektoral atau lebih.
Sisi atas kepala dengan kepingan tulang serupa perisai yang berpola kasar permukaannya, dengan lekuk fontanel yang memanjang di tengah dahi di antara dua mata. Taju kepala belakang membundar, dan plat pangkal di muka duri sirip dorsal seperti sayap kupu-kupu.
Gigi bentuk kerucut dan tersusun dalam barisan melintang pada empat plat yang berderet di langit-langit mulut (palatum); plat gigi yang sebelah depan (plat maksilar) melengkung sempit dari sisi ke sisi.
Sirip dorsal dan kedua sirip pektoral masing-masing dengan duri yang bergerigi dan berbisa; sirip lembut dorsal kedua berukuran sederhana. Keseluruhan duri sirip dorsal I-7 (satu duri keras dan 7 duri lembut) sirip pektoral I-11; sirip pelvik 6; dan sirip anal 18-19.
Bahagian atas dan sisi tubuh berwarna kelabu-gelap kecoklatan atau kebiruan, sisi bawah putih susu; biasanya dengan (10 atau lebih) garis-garis melintang putih keperakan, kebiruan, atau kehijauan. Semua siripnya berwarna kusam kehitaman, hanya bahagian filamen dari sirip dorsal yang berwarna terang.
Menurut saintis Bleeker, dari pengamatannya belukang bersama dengan long whiskers catfish (Mystus gulio) dan engraved sea catfish (Nemapteryx caelata), merupakan jenis-jenis ikan berkumis yang paling umum didapati di pantai-pantai berlumpur serta di muara-muara sungai di Asia tenggara.
Belukang dijual dan dikonsumsi dalam keadaan segar atau dikeringkan (ikan masin). Namun tangkapan belukang secara komersial tidak dilakukan secara besar-besaran berikutan harganya yang rendah. Dengan sifatnya memakan kotoran menyebabkan ia kurang digemari sebagai hidangan di meja makan.
Dalam dunia pancingan pula, ikan belukang tidak tersenarai dalam spesies buruan utama dan ia lebih banyak dipancing secara tidak sengaja walaupun terdapat segelintir pemancing yang menjadikannya sebagai hiburan pancingan santai.