Berkenalan Dengan Lubuk Padu Tasik Beris

Share

 

Info Tasik

 

Tasik Beris mempunyai keluasan tadahan air 116 km persegi. Ia mula dibina pada 10 Ogos 2000 dan siap sepenuhnya pada tahun 2004.

Mempunyai ketinggian air paras maksimum 86.4 meter paras biasa 84.0 meter berfungsi untuk bekalan air sekitar Kedah dan Pulau Pinang dan kawalan banjir.

 

 

Keindahan Tasik Beris yang terletak di daerah Sik, Kedah mampu memukau sesiapa sahaja yang kali pertama berkunjung. Pemandangan kawasan hutan, bukit bukau, kampung serta gunung-ganang ternyata begitu indah dan puas untuk ditatap, lebih-lebih lagi jika anda berada di D’Puncak Beris Lake Resort, salah sebuah resort yang ada di tasik berkenaan.

 

Sebenarnya kunjungan ke Tasik Beris tidak adapun dalam perancangan saya ketika membuat tugasan ke Kedah baru-baru ini. Setelah selesai satu trip di Kuala Dulang, Yan, saya diajak untuk bermalam di Tasik Beris oleh rakan saya.

 

Katanya lokasinya tidaklah terlalu jauh dari Kuala Dulang, tambahan pula, saranan keesokan harinya bolehlah saya cuba-cuba casting, mana tahu dapat ilham untuk trip akan datang.

 

 

RESORT KONSEP KAMPUNG

 

D’Puncak Beris Lake Resort merupakan resort milik Cikgu Rashid yang didirikan di tanah miliknya seluas 6 ekar. Ia mula dibina sejak 12 tahun lepas dan kini, pelbagai infrastruktur telah ditambah baik didirikan di sini.

 

Apa yang menarik perhatian saya adalah, resort miliknya itu dibina menggunakan konsep kampung. Sebahagian besar unit kediamannya dihias dengan begitu cantik, meskipun ada yang menggunakan bahan binaan terpakai.

 

 

Menurut Cikgu Rashid lagi, selain percutian keluarga, perniagaan resortnya juga memfokuskan kepada aktiviti outdoor dan indoor, iaitu ia amat sesuai untuk golongan pelajar, penuntut IPT serta institusi kerajaan bagi tujuan seminar, team building, aktiviti ekstrem seperti trekking sekitar Tasik Beris, night safari, camping dan sebagainya.

 

Ia lengkap dengan kemudahan seperti bilik, dewan besar terbuka, surau, tandas, dewan, tapak perkhemahan, kolam renang dan sebagainya. Harganya sewa yang dikenakan juga amat berpatutan.

 

Bagi mereka yang gemarkan aktiviti air, pengunjung boleh menyewa sampan, berkayak, star cruise dan lake crossing. Selain itu, pengunjung turut boleh melawat kawasan sekitar seperti kolam ikan, ladang rusa, kambing, ayam kampung dan sebagainya.

 

 

Tidak jauh dari resort ini, terdapat sebuah ladang anggur yang menjadi tumpuan setiap musim cuti hujung minggu atau cuti sekolah.

 

LUBUK MEMANCING

 

Untuk kaki pancing, Tasik Beris sebenarnya adalah spot memancing terbaik untuk menduga sebarau, toman dan juga siakap. Dan bagi mereka yang mempunyai perancangan untuk memancing di sini, D’Puncak Beris Lake Resort tidak syak lagi lokasi yang paling sesuai untuk menginap.

 

 

Alang-alang sudah datang ke sini, saya sempat juga menyewa sebuah bot untuk casting di sini, namun nasib kurang menyebelahi saya hanya toman bersaiz curut yang sudi menyambar gewang. Awal pagi, frenzy sebarau kelihatan di beberapa spot, tetapi bila bot mula menghampiri, kelibatnya terus sunyi sepi.

 

Mungkin disebabkan faktor bot di Tasik Beris majoritinya menggunakan enjin galah (enjin biawak), menyebabkan sebarau agak culas. Tambahan pula cuaca yang sekejap sahaja sudah terik, menyebabkan misi mencari sebarau menemui kekecewaan. Begitu juga misi mencari siakap di sini tidak berjaya dilakukan kerana kesuntukan masa untuk menuju ke spot mainan siakap kerana saya perlu pulang segera ke Shah Alam.

 

 

Pun begitu, rakan yang menaiki bot lain, antara yang bertuah kerana berjaya juga mendapatkan lesen sebarau Tasik Beris walaupun tidak besar. Apa pun saya akan kembali lagi ke tasik ini sedikit masa lagi.

 

Pertanyaan untuk tempahan penginapan D’ Puncak Beris Lake Resort, hubungi Facebook: D’ Puncak Beris Lake Resort

Published by
Amang