Setibanya di Port Dickson pagi itu, kami berenam disambut dengan cuaca yang sedikit mendung dan berangin.
Selesai memunggah kelengkapan memancing di atas bot, tekong menyatakan dahulu situasi yang bakal kami hadapi jika ingin meneruskan hasrat keluar ke laut untuk memancing.
Tekong memberi ruang kepada kami untuk berfikir sama ada mahu tangguh dahulu sehingga angin reda atau teruskan juga secara perlahan-lahan.
Kami sepakat sekata untuk teruskan juga bergerak secara perlahan meredah permukaan laut yang berkucah akibat tiupan angin yang menderu-deru.
Perjalanan ke lubuk pertama sejauh 12 batu nautika terasa begitu jauh dan memabukkan.
Badan terasa sengal-sengal akibat dilambung ombak dan kepala berdenyut-denyut ekoran terpaksa menghidu bau petrol sepanjang bersesak di dalam kabin.
Akibatnya, 50 peratus daripada kami gagal memulakan sesi memancing setelah tiba di lubuk pertama.
Saya sendiri terpaksa mengambil sedikit masa akibat kepeningan untuk menstabilkan diri.
Lebih setengah hari juga kami memancing dalam keadaan teroleng-oleng.
Yang mana telah bangun dan gagal bertahan terpaksa kembali berehat.
Lebih melemahkan keadaan, hasil pancingan yang berjaya didaratkan agak kurang memberangsangkan.
Dan lebih memeritkan, tekong yang sesekali menurunkan jig sudah berhasil sedangkan kami masih ramai yang belum berlesen.
Menjelang lewat petang apabila laut kembali tenang dan kesemua pemancing yang tumbang kembali cergas, tekong tangkas bertindak mencari lubuk berpotensi dengan harapan kesemua pemancing berpeluang menarik ikan.
Ternyata firasat tekong memilih lubuk berkenaan amat tepat. Sepantas memetik jari nasib kami berubah. Agak manis saya menjadi pembuka tirai di lubuk berkenaan apabila berjaya mendaratkan seekor kerapu dengan skala saiz lumayan.
Sejurus kerapu itu didaratkan, suasana di atas bot terus bertukar warna. Kemeriahan dan keriuhan menjelma apabila tiga pemancing menerima strike secara serentak.
Dua jenahak bersaiz bantal dan seekor aruan tasik selamat didaratkan. Tekong ulangi lagi lubuk berkenaan dan seperti disusun atur, seorang demi seorang menerima strike sehingga tidak terasa masa berlalu.
Tanpa sedar tempoh memancing sudah berlalu dan kami perlu kembali ke darat sebelum matahari tenggelam. Namun, kesemuanya kembali dengan terukir senyuman hingga ke darat.