Setiap kali ada kelapangan, pasti saya dan rakan-rakan dari Pulau Pinang akan turun ke port biasa kami, iaitu tasik bersia di Gerik, Perak. Lapangan pancing ini merupakan port biasa kami ‘melampiaskan nafsu serakah’ memancing.
Selalunya kami akan bertolak dari kediaman masing-masing selepas waktu Isyak dan rakan-rakan dari pulau pinang akan menjemput saya di Kuala Ketil, Kedah. Sesudah memuatkan barang keperluan Ke dalam kereta,kami akan meneruskan perjalanan ke gerik melalui Lebuhraya Kulim-Baling-Gerik.
Perjalanan melalui lebuhraya ini menyingkatkan waktu perjalanan selama hampir satu jam berbanding jika melalui jalan lama Baling – Pengkalan Hulu – Gerik . Tiba di bandar Gerik, kami akan bermalam di hotel Great Wall dengan kadar bayaran yang berpatutan.
Kami semua bangun pada awal pagi, dan sesudah menunaikan solat subuh, kami Langsung menuju ke Pasar Gerik bagi membeli keperluan makanan sepanjang memancing nanti, selalunya nasi lemak bersebelahan stesen Petronas yang akan kami tapau, kerana rasanya yang sedap dan tahan lama.
Setelah selesai urusan membeli makanan, kami terus menuju ke Kampung Bersia, di mana tauke bot, saudara Izan sudah menunggu. Beliau mengusahakan servis sewaan bot tanpa enjin dengan kadar harga RM50 bagi seharian memancing. Bagi kami kos ini amat berpatutan, namun yang lecehnya terpaksa bawa enjin sendiri.
Telah diketahui bahawa Bersia merupakan lubuk toman gadang yang termasyhur di utara, dengan rekod tangkapan ikan toman mencecah belasan kilogram di sini.
Walaupun Bersia adalah sebuah tasik jaringan sungai utama yang kecil, yang terbina dari Sungai Perak yang tenggelam akibat pembinaan Empangan Hidroelektrik Bersia. Stok ikan sebaraunya juga masih mewah dan tomannya pula masih tidak culas membaham gewang.
Kami akan memulakan pancingan pada awal pagi lagi kerana mengejar waktu ‘makan’ sebarau. Tabiat sebarau yang aktif waktu pagi dan petang membuatkan kami terkejar-kejar masa keemasan ini. Namun sebaliknya pada tengah hari lah waktu paling sesuai menjinakkan ‘gangster’ Bersia ini iaitu sang toman.
Toman di sini amat diketahui tinggi daya juangnya jika terkena gewang, sehinggakan banyak gewang terpaksa disedekahkan kerana perambut putus atau split ring terkangkang. Inilah cabaran yang dilalui ketika bergasak dengan samseng ini.
Saiz toman yang sering ditewaskan adalah Sekitar 3-6 kilogram. Bergasak dengan samseng, merupakan satu kepuasan yang maksimum.