Walaupun kampung halaman di Bagan Datoh yang sememangnya popular sebagai destinasi memancing udang galah namun ia seperti tidak menggamit untuk menggerakkan kaki saya lebih kerap pulang ke kampung. Dan walaupun kerap kali pulang ke kampung, amat jarang saya turun memancing udang. Padahal abang ipar sendiri merupakan seorang tekong udang galah yang agak popular di Bagan Datoh.
Mungkin setelah beberapa kali percubaan dan sering berakhir dengan keputusan yan kurang padu membuatkan saya seperti tiada chemistry dengan jenggo. Cuma sejak kebelakangan ini saya agak kerap pulang ke kampung dan memancing udang galah. Itu pun untuk memenuhi permintaan rakan-rakan rapat yang mula terkena getah tarikan jenggo.
Bersama dua rakan rapat, kami mengulangi trip yang pernah dilakukan pada awal tahun. Seperti biasa trip bidan terjun ini dilakukan pada saat-saat akhir. Dan seperti biasa juga urusan bot tambahan, umpan, perambut mata kail, malah joran untuk memancing sekali pun saya akan minta Yeop, abang ipar sediakan.
Dengan menggunakan bot sewaan saya dan Fazli mengekor saja Yeop yang membawa Shahrul kerana Yeop lebih arif mengesan lubuk-lubuk berpotensi. Pada awal pagi ketika arus bergerak surut kami lebih banyak memancing merapati tebing kerana menurut Yeop awal-awal pagi udang lazimnya berkumpul berhampiran tebing sungai.
Ads
Spot pertama kurang memberangsangkan lalu kami berempat berpindah ke arah hilir. Di spot kedua ternyata agak memberangsangkan. Tidak lama berada di spot kedua saya berjaya menaikkan seekor jenggo menggunakan umpan udang kertas.
Sementara Fazli yang menggunakan umpan umpun-umpun lebih banyak mendaratkan udang galah namun bersaiz kecil.
Ads
Apabila udang galah semakin kurang menjamah umpan sebaliknya lebih banyak dicuri ikan-ikan pengacau, kami berpindah lagi. Namun Yeop dan Shahrul kekal di lubuknya.
Menjelang tengah hari dan setelah berpindah beberapa kali kami kembali ke tempat Yeop dan Shahrul. Rupanya mereka sudah ke tengah sungai. Hajat kami bermegah dengan hasil tangkapan terpaksa dilupakan saja apabila hasil tangkapan jauh lebih banyak dan besar dari hasil kami.
Kali ini kami tidak berpisah jauh lagi dengan lubuk pilihan Yeop. Mungkin disebabkan kurang sabar menanti dan kerap berpindah menyebabkan hasil tangkapan berkurang.
Ads
Ketika arus semakin lemah kami bergerak lebih jauh ke tengah sungai dan apabila arus kembali bergerak laju, kami berempat berpindah ke arah tebing bertentangan pula. Namun usaha kami untuk menyaingi tangkapan Yeop dan Shahrul sudah terlewat.
Sebaliknya kami semakin pedih mata melihat mereka menaikkan udang demi udang sedangkan jarak antara kami tidaklah sejauh mana.
Dan sebelum matahari terbenam di ufuk timur, kami sempat mengumpul dan menimbang kesemua hasil tangkapan. Tak sangka hampir lima kilogram juga udang galah dan jenggo yang kami perolehi. Secara tidak langsung tanpa sedar ia membuatkan saya pula yang terkena getah jenggo setelah berjaya keluar dari badi kumpau jenggo.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Pancingan ikan siakap merah (mangrove jack atau digelar MJ), bukanlah aktiviti pancingan biasa dan sama dengan pancingan ikan-ikan lain.
Ia membabitkan sebuah kredibiliti tinggi seorang yang digelar pemancing tegar untuk mendaratkannya.
Ini kerana, spot siakap merah liar terutama di kawasan muara dan kuala sungai adalah kubu terbaik untuk ikan ini meloloskan diri.
Bagi kami sendiri, siakap merah yang kami gelarkan si ‘penyamun merah’ ini, bukanlah spesies yang mudah untuk ditewaskan.
Kehebatannya persis seorang atlet pecut 100 meter berlari yakni sifat semula jadinya yang licik dan pantas.
Malah, bagaimana cara pemangsa licik muara ini menarik mahupun mencuri gewang semasa casting di celahan reba juga dikagumi oleh kami.
Ia bersembunyi di celahan reba sambil mengintai dan menunggu mangsa yang lalu berhampiran tempat persembunyian.
Sebab itulah juga, bila sahaja strike dan kaki pancing terlewat beberapa saat menahan asakannya, pasti akan berputih mata. Sama ada mata gewang tersangkutdi celahan reba ataupun mata kail terkangkang.
Bagi kaki casting, mengaplikasikan tali dan mata kail yang bersesuaian perlulah diambil kira dalam usaha mencari ikan ini.
Jika tidak, siakap merah ini mudah melepaskan diri daripada kawalan pemancing dan kemudiannya memboloskan dirinya begitu sahaja setelah bersusah payah mencuba mengaraunya naik ke permukaan.
Lubuk Rahsia
Menyedari masih ramai lagi pemancing yang tidak mengamalkan pancingan tangkap dan lepas, kami bersepakat merahsiakan lubuk yang kami lawati kali ini.
Memadailah sekiranya berkongsi gambar bersama pembaca melihat ‘kepuasan’ yang kami sama-sama rasai.
Umpan Hidup atau Gewang Tiruan?
Siakap merah sebenarnya jika diperincikan merupakan spesies ikan yang melahap apa sahaja sasarannya bila waktu mencari makan.
Namun begitu, bergantung juga pada pemerhatian anda pada sesuatu lubuk dikunjungi tersebut.
Ini kerana ada kalanya, spesies ini juga berasa was-was dengan jenis gewang tiruan yang dihulurkan.
Pilihlah gewang jenis minnow yang berbadan sedikit slim. Namun, jika mengaplikasikan umpan hidup, udang merupakan umpan yang lazim dijadikan bagi spesies ini.
Di sesetengah tempat, seperti di Kuala Trong, Perak contohnya, ikan jenjulong adalah umpan hidup terbaik untuk menjerat ikan ini.
Pilihan set pancing Memandangkan ikan sasaran kami adalah siakap merah, kami memilih gewang tiruan untuk diaplikasikan.
Memancing menggunakan bot adalah cara terbaik untuk menjejaki spot terbaik ikan berada.
Pemilihan saiz gewang yang memiliki saiz yang ideal iaitu tidak terlalu besar adalah penting.
Gewang-gewang bersaiz ini sungguh efektif dipraktikkan pada lubuk berpotensi tinggi didiami siakap merah.
Selain itu, penggunaan gewang tiruan separa selaman dalam contohnya seperti Strike Pro Slingshot Minnow bersaiz 12 cm iaitu struktur bentuk panjang dan tiris juga terbaik kerana ia berupaya lakukan renangan yang laju.
Tentang joran, anda bebas memilih sama ada set baitcasting atau spinning bila berada di atas bot, joran panjang adalah ideal dan ia bergantung pada pemancing.
Manakala kekili adalah dari kategori ringan dan sederhana berat bersaiz 2000-3000 adalah memadai.
Tentang tali, ia bergantung pada kawasan pancingan. Saiz 15-30lb adalah yang sesuai dan jangan lupa gunakan tali perambut yang bersesuaian, 30lb ke atas bagi mengekang asakan ikan ini seandainya ia memasuki reba.
Kebiasaannya, kaki pancing perlu bersedia semasa karauan dibuat. Ini kerana, bila-bila masa sahaja di saat ini, strike akan berjaya diperolehi.
Apabila terkena sahaja, siakap merah akan menekan dan akan mencari reba berhampirannya untuk menyelinap masuk.
Ketika ini, pemancing perlu menahan dan melakukan karauan sepantas mungkin agar ikan ini, tidak sesekali berjaya membawa ke reba.
Sudah Rezeki Kami
Dalam usaha mencari spesies ini, kami turut memperoleh strike dari ikan lain seperti bulan atau tarpon dan juga alu-alau.
Elvi Ching sempat melayan alu-alu ini yang turut meronda di kawasan pencarian kami mendapatkan siakap merah.
Berderau juga Elvi Ching apabila lontaran gewang yang disangka siakap merah, direntap rakus oleh alu-alu yang turut mendiami di kawasan spot ini.
Walaupun akhirnya agak mudah untuk mengekangnya daripada melepaskan diri, tapi semangatnya untuk mencuba melepaskan diri menambah keseronokan bertarung dengan spesies gigi tajam ini.
Pada masa yang sama, kami turut melayan ikan bulan yang kebetulan boiling di permukaan air.
Lompatan demi lompatan bulan yang cuba melepaskan diri apabila mula menghampiri bot kami amat mengasyikkan.
Jangkaan kami pertembungan dengannya agak mudah, ternyata meleset kerana banyak ekor juga yang `miss`, apabila lompatan akrobatiknya berjaya melepaskan mulutnya dari mata gewang.
Suasana di atas bot menjadi riuh rendah seketika apabila berlaku strike serentak. Detik Menarik!
Kami kemudiannya meneruskan pemburuan siakap merah dan apabila bot memasuki satu anak sungai, Elvi Ching melontarkan gewangnya di satu spot tidak jauh dari tebing.
Tiba-tiba sahaja satu sergapan kuat diterima oleh Elvi dan sepantas kilat, dia melakukan hook-up dan strike!
Elvi terus sahaja menahan asakan sambil menahan asakan dan akhirnya selepas beberapa minit kemudian, si ‘penyamun merah’ ini akhirnya berjaya didaratkan.
Tuah buat Elvi yang berjayamemperoleh siakap merah bersaiz dewasa dan matang. Sudah tentulah, saat ketika strike, ia momen yang amat didambakan oleh kaki-kaki casting.
Sergahan rakus ia menyambar gewang dan terus melarikan gewang merupakan suatu detik yang tidak akan dilupakan oleh mana sahaja kaki casting tegar.
Lewat petang, beberapa lagi strike diterima sebelum kami menamatkan pencarian spesies tersebut.
2 ekor yang diperolehi Lim Kim Peng adalah bersaiz kecil dari tapak tangan dan kami telah lepaskan semula.
Walaupun secara keseluruhannya tidak lumayan hasilnya, kami pasti tidak akan serik untuk bertandang ke sini lagi.
Jadi, kepada pemancing di luar sana yang belum ada lagi lesen ikan ini, silalah berbuat demikian, kerana si penyamun merah ada karannya yang tersendiri.
Gunakan tangguk atau sauk, bukannya lip grip apatah lagi cangkuk (gaff). Jaring pada tangguk pula perlulah dari bahan yang halus dan tidak mencederakan sisik ikan. Sebaiknya pilihkan jaring tanggung plastik berbanding benang.
Banyak aspek yang diabaikan seperti membasahkan tangan terlebih dahulu sebelum anda memegang ikan atau hasil tangkapan. Perkara ini amat penting bagi mengelakkan lendir yang menyelaputi badan ikan terhakis. Lendir pada badan ikan ini adalah agen pertahanannya dari penyakit!
Sebaiknya tanggalkan mata kail ketika ikan masih di dalam air bukannya selepas didaratkan atau diangkat ke bot. Disiplin ini bukan tidak diamalkan langsung tetapi kebanyakannya dibuat jika ikan dikehendaki untuk bergambar saja atau bukan spesies sasaran.
Setelah menanggalkan mata kail, pegang ekornya di dalam air, dan olakkan ikan sehingga ia mula meronta, kemudian lepaskanlah ia. Bantuan ini penting dipraktikkan bagi membolehkan ikan dilepaskan dalam keadaan sempurna kerana berkemungkinan ia berhadapan dengan risiko kematian atau menjadi mangsa kepada pemangsa lain.
Jika anda ingin mengambil gambar bersama ikan, buatlah secepat mungkin. Setiap saat ikan itu di luar air, maka semakin kurang peluangnya untuk hidup. Jangan gantung ikan dari insang atau bibirnya saja. Ini merosakkan organ dalamannya. Gunakan kedua-dua tangan anda, biarkan ikan itu dalam posisi mendatar.
Jangan sekali-kali melepaskan kembali ikan pendatang ke dalam air terutamanya dari jenis pemangsa (kecuali anda memancing di kolam berbayar atau perairan yang tertutup). Sekiranya anda pernah melakukannya maka anggaplah ia sebagai kesilapan yang tidak akan diulangi lagi.
Pada hari yang dijanjikan, kami berempat menaiki motosikal saja ke sana. Kami bertolak jam lima petang, setelah selesai solat Asar.
Selain membawa alat-alat memancing, saya juga membawa bekalan makanan berupa satu termos kopi ‘O’ panas dan biskut kering. Hajat kami ingin memancing sehingga jam sepuluh malam sahaja.
Ikan ketutu ini memang aktif pada waktu malam. Bila siang, ia bagaikan tunggul mati.
Memancing dengan menggunakan umpan yang power pun, ia tak akan makan.
Kerana sifatnya yang begitu, kami mengambil keputusan untuk memancing dari senja hingga jam sepuluh malam.
Itu pun bergantung juga dengan rezeki yang bakal diperolehi. Andai kata hasilnya lumayan, masa memancing akan dipanjangkan sedikit.
Andai kata rezeki kurang, kami akan angkat kaki untuk pulang awal.
Setelah menunggang motosikal hampir setengah jam, kami sampai di lokasi yang diceritakan oleh Napi.
Kawasan di dalam ladang kelapa sawit itu mempunyai sebatang anak sungai yang sudah terpecah menjadi beberapa lopak yang dalam akibat hujan lebat dan banjir yang berlaku di kawasan tersebut.
Lopak-lopak itu membentuk lubuk yang agak dalam. Zamir mencadangkan kami memancing di kawasan lubuk yang berdekatan dengan rimbunan pokok mengkuang kerana kebiasaannya ketutu memang suka dengan habitat begitu.
Kami melabuhkan joran tepat jam enam petang. Di dalam kawasan ladang kelapa sawit, cuaca memang cepat gelap.
Tidak sampai lima belas minit menunggu, joran Masran mula melentur. Seekor ikan ketutu dengan anggaran beratnya 150gram menggelepar lemah.
Walaupun saiznya kecil, namun ianya cukup untuk memberi semangat kepada kami untuk terus mencuba nasib.
Menjelang jam lapan malam, kami berempat bagaikan berpesta ketutu di situ. Betul kata Napi, lubuk di kawasan itu memang kaya dengan ikan ketutu.
Walaupun saiznya agak sederhana dengan yang paling berat hanyalah anggaran 1.5kg namun ia cukup meriangkan hati kami.
Kami bagaikan tidak cukup tangan menarik joran yang pantang dicampakkan ke dalam lubuk.
Dalam keadaan berpesta itu, kami berempat terlupa untuk menunaikan solat Maghrib.
Kami bagaikan ‘sayang’ untuk melepaskan aksi menarik joran yang sedang rancak padahal kami sepatutnya melakukan perkara yang wajib dahulu.
Saya sendiri sudah memasang niat untuk menqada sahaja solat Maghrib yang tertinggal.
Menjelang jam 8.45 malam, hujan renyai-renyai turun dengan tiba-tiba. Tiada tanda guruh atau petir di dada langit.
Walaupun hujan turun dengan agak kasar, kami semua seolah-olah tidak peduli dengan situasi yang berlaku. Kami meneruskan juga pesta menarik joran yang kini bagaikan tidak menang tangan dibuatnya.
Sebenarnya, sudah terdetik di dalam hati saya dengan ‘keganjilan’ yang berlaku di situ.
Saya jadi tertanya-tanya mengapakan ikan ketutu di dalam lubuk ini seolah-olah bagaikan menyerah diri kepada setiap umpan yang kami lontarkan.
Mana tak peliknya, umpan yang sekecil anak mancis di mata kail pun rakus dibaham ikan ini. Namun, rasa tidak sedap hati itu saya campak jauh-jauh mengenangkan rezeki kami pada malam itu memang lumayan.
Hujan masih turun dalam keadaan renyai-renyai sewaktu jam di tangan saya menunjukkan angka sepuluh malam tepat.
Kalau ikut perancangan asal, inilah masa untuk kami bergerak pulang. Namun keriuhan dan pesta menarik ketutu masih rancak.
Masing-masing sibuk dengan joran yang ditarik setiap lima minit dan perkara untuk angkat kaki seolah-olah terlupa begitu sahaja.
Salakan anjing yang sayup dan mendayu-dayu tiba-tiba kedengaran dari hutan kecil berdekatan. Bulu roma saya meremang tiba-tiba. Badan menjadi seram sejuk.
Sejenak itu juga saya mendongak ke atas. Bulan kelihatan mengambang penuh. Salakan anjing tadi seperti semakin hampir dengan tempat kami memancing.
“Aku rasa cukuplah. Jom kita balik,” ajak Hadi tiba-tiba sambil memberikan kami isyarat tentang sesuatu.
Di kalangan kami berempat, memang Hadi yang biasa masuk hutan untuk memancing dan memburu ayam hutan. Mungkin Hadi juga sudah berasa sesuatu yang ganjil di situ.
Ketika aku sedang mengemas kelengkapan memancing, aku terasa seperti ada mata yang memerhatikan kami dari celah-celah belukar.
Sepasang mata merah itu bagaikan mengikuti setiap pergerakan kami berempat. Aku cuba membaca Ayatul Qursi apabila perasaan seram sejuk semakin terasa dengan bulu roma yang semakin meremang.
Jelas di pandangan mata saya, sesusuk tubuh berkain kafan dengan bahagian atas dan bawah terikat sedang terloncat-loncat menuju ke arah kami berempat.
Ketika itu, otak terasa beku, bibir terasa kelu. Saya jadi blur dan tak tahu nak buat apa.
Cuma apabila melihat Hadi dan Masran sudah berlari menuju ke motosikal, barulah kaki saya turut melangkah sama.
Nasib baiklah Hadi dan Masran sudah menghidupkan enjin motosikal. Sebaik sahaja saya melompat duduk di bahagian belakang, motosikal itu terus dipandu laju meredah jalan merah yang sudah becak akibat hujan yang turun tadi.
Saya tidak berani menoleh ke belakang. Hanya mulut saya terkumat-kamit membaca Ayatul Qursi dengan susunan yang agak lintang pukang.
Hanya apabila tiba di halaman rumah saya, barulah saya dapat menarik nafas lega. Kami duduk di atas pangkin kayu di bawah pokok rambutan yang rendang.
Masing-masing hanya diam dengan nafas sedikit termengah-mengah. Saya mengeluarkan sisa kopi `O` panas dan kami minum tanpa berbual.
Malam itu, saya sukar untuk memejamkan mata. Peristiwa seram itu terbayang di ruang mata. Inilah kali pertama saya mengalami kejadian seram dan aneh begini.
Nasib baiklah tiada perkara buruk yang berlaku pada kami berempat.
Sehingga kini, kejadian ini kami rahsiakan daripada pengetahuan orang lain. Tempat itu juga tidak kami kunjungi lagi. Kami ingin mencuba pot lain pula.
Serik memancing? Ah, langsung tidak ada. Saya percaya pengalaman itu akan lebih membuatkan kami lebih berhati-hati. Paling penting, hubungan dengan ALLAH SWT juga perlu dijaga. Solat perlu diutamakan, Insyaallah.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...