Berakhirnya Badi Kumpau Si Jenggo!!

Share

 

Walaupun berkampung halaman di Bagan Datoh yang sememangnya popular sebagai destinasi memancing udang galah namun ia seperti tidak menggamit untuk menggerakkan kaki saya lebih kerap pulang ke kampung.

Dan walaupun kerap kali pulang ke kampung, amat jarang saya turun memancing udang. Padahal abang ipar sendiri merupakan seorang tekong udang galah yang agak popular di Bagan Datoh.

 

Mungkin setelah beberapa kali percubaan dan sering berakhir dengan keputusan yan kurang padu membuatkan saya seperti tiada chemistry dengan jenggo.

Cuma sejak kebelakangan ini saya agak kerap pulang ke kampung dan memancing udang galah. Itu pun untuk memenuhi permintaan rakan-rakan rapat yang mula terkena getah tarikan jenggo.

 

Bulan lepas saya bersama dua rakan rapat, Shahrul dan Fazli mengulangi trip yang pernah kami lakukan pada awal tahun yang lalu.

Seperti biasa trip bidan terjun ini dilakukan pada saat-saat akhir. Dan seperti biasa juga urusan bot tambahan, umpan, perambut mata kail, malah joran untuk memancing sekali pun saya akan minta Yeop (abang ipar) sediakan.

 

 

 

Dengan menggunakan bot sewaan saya dan Fazli mengekor saja Yeop yang membawa Shahrul kerana Yeop lebih arif mengesan lubuk-lubuk berpotensi.

Pada awal pagi ketika arus bergerak surut kami lebih banyak memancing merapati tebing kerana menurut Yeop awal-awal pagi udang lazimnya berkumpul berhampiran tebing sungai.

 

Spot pertama kurang memberangsangkan lalu kami berempat berpindah ke arah hilir. Di spot kedua ternyata agak memberangsangkan.

Tidak lama berada di spot kedua saya berjaya menaikkan seekor jenggo menggunakan umpan udang kertas.

Sementera Fazli yang menggunakan umpan umpun-umpun lebih banyak mendaratkan udang galah namun bersaiz kecil.

Apabila udang galah semakin kurang menjamah umpan sebaliknya lebih banyak dicuri ikan-ikan pengacau, kami berpindah lagi. Namun Yeop dan Shahrul kekal di lubuknya.

 

Menjelang tengah hari dan setelah berpindah beberapa kali kami kembali ke tempat Yeop dan Shahrul. Rupanya mereka sudah ke tengah sungai.

Hajat kami bermegah dengan hasil tangkapan terpaksa dilupakan saja apabila hasil tangkapan jauh lebih banyak dan besar dari hasil kami.

Kali ini kami tidak berpisah jauh lagi dengan lubuk pilihan Yeop. Mungkin disebabkan kurang sabar menanti dan kerap berpindah menyebabkan hasil tangkapan berkurang.

 

 

Ketika arus semakin lemah kami bergerak lebih jauh ke tengah sungai dan apabila arus kembali bergerak laju, kami berempat berpindah ke arah tebing bertentangan pula.

Namun usaha kami untuk menyaingi tangkapan Yeop dan Shahrul sudah terlewat.

Sebaliknya kami semakin pedih mata melihat mereka menaikkan udang demi udang sedangkan jarak antara kami tidaklah sejauh mana.

 

Dan sebelum matahari terbenam di ufuk timur, kami sempat mengumpul dan menimbang kesemua hasil tangkapan.

Tak sangka hampir lima kilogram juga udang galah dan jenggo yang kami perolehi. Secara tidak langsung tanpa sedar ia membuatkan saya pula yang terkena getah jenggo setelah berjaya keluar dari badi kumpau jenggo.

 

Published by
Amang