Ikon ini dicipta pada Jun tahun 2011 dan penggunaannya hanyalah di kalangan penggiat forum di gopancingmalaysia.netsahaja. Tiada sebarang promosi meluas kerana belum punya niat untuk melebarkan penggunaannya ke serata tanah air. Ia direka dan diperkenalkan pada khalayak pemancing oleh saudara A. Sabre Harun, seorang pereka bentuk, penulis, penggiat sukan memancing dan juga pengasas forum memancing ruangan forum ini.

Dengan galakan dan sokongan dari ramai pihak termasuk pemancing-pemancing yang berpengalaman antaranya seperti saudara Aznir Malek, lambang ini diimpikan untuk dijadikan sebagai satu ikon khusus untuk mewakili semua pemancing di seluruh dunia.

Walaupun impian ini bukanlah satu perkara enteng untuk direalisasikan, cabaran impian ini mula menampakkan sedikit kejayaannya dengan viralnya bendera ini di laman Facebook pada awal Ogos lalu hasil dari sebaran berita dari rakan-rakan laman web memancing antaranya seperti Pancing.Net, Ikanz dan Fishology.com Setelah berbulan-bulan di promosikan hanya melalui perjumpaan-perjumpaan, akhirnya kelihatan sedikit sinar dari usaha-usaha ini.

GoPancingMalaysia telah pun mengambil inisiatif mencetak pelekat ‘Anglers Flag’ ini dan mengedarkannya secara percuma ke seluruh Malaysia. Walaupun bukan dalam jumlah cetakan yang banyak, usaha ini mendapat sambutan yang begitu memeranjatkan! dan hingga kini masih terdapat permintaan untuk mencetak sticker.

 

PENGENALAN WARNA BENDERA PEMANCING

 

Hanya dua warna digunakan untuk bendera ini. Warna biru terang yang menjadi latar bendera mewakili warna air, iaitu satu elemen penting dalam sukan memancing (sebenarnya air tidak mempunyai warna – colorless), namun kita tetap mengenali air itu dengan warna biru. Biru juga melambangkan ketenangan, keyakinan, kebijaksanaan serta kesabaran seorang pemancing.

Ads

Warna putih yang melintang daripada bahagian bawah bucu kiri naik ke atas bahagian bucu kanan, mewakili pemancing itu sendiri. Putih melambangkan pemancing yang berintegriti, kebersihan, kekuatan jiwa dan naluri serta kesihatan fizikal dan mental.

Pada pemancing yang menceburi arena sukan memancing ini secara serius, sifat-sifat ini mencerminkan jati diri yang kuat dan berkesempurnaan dalam setiap tingkah lakunya.

 

PENGGUNAAN

 

Ads

Bendera ini boleh digunakan di mana sahaja aktiviti memancing ingin dilangsungkan. Bendera yang dikibarkan pada bot, bermaksud bot tersebut adalah bot untuk memancing dan terdapat aktiviti memancing sedang dilakukan di sekitar kawasan tersebut. Manakala pelekat bendera yang dilekatkan pada kotak pancing, kenderaan dan sebagainya melambangkan ia dimiliki oleh seorang kaki pancing!

Bendera ini belum lagi menerima pengiktirafan dari mana-mana pihak yang berkaitan. Inilah cabaran dan tugas kita sebagai pemancing. Andalah yang akan mengusahakannya dengan cara masing-masing untuk menjadikan bendera ini sebagai ‘ikon’ kebanggaan kita dan diiktiraf seluruh dunia.

Sebagai pemancing, anda perjuangkanlah dengan cara yang terbaik sebagaimana ‘scuba-divers’ yang cukup bangga dan sinonim dengan bendera merah putih mereka yang sudah terkenal sejak dari tahun 1956 lagi!

 

Ads

ANDA YANG PUNYA!

 

Kepada anda yang ingin mencetak ikon ini pada baju, stiker dan apa jua barangan, disertakan di sini panduan asas coloration bendera ini.

CMYK – C-90, M-4, Y-0, K-0

RGB – R-0, G-173, B-239

Anda tidak perlu memohon atau meminta kebenaran dari pereka bendera ini atau sesiapa untuk menggunakannya kerana bendera ini sudah ‘dilupuskan’ hak-pemilikan peribadi perekanya. Bendera ini kini sudah menjadi kepunyaan anda semua.

Ayuh, sama-samalah kita memartabatkan sukan memancing Malaysia! Semoga sukan memancing di Malaysia akan diiktiraf oleh Kementerian di Malaysia dengan pemancing berada bersama di bawah satu bendera walaupun kita semua berlainan cita rasa.

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI