Mencari lokasi dan lubuk yang boleh menghasilkan tangkapan yang baik di kawasan Lembah Klang ini sangatlah mencabar apatah lagi segala pelosok kawasan yang mempunyai perairan telah pun diterjah kaki pancing.
Saya telah diberitahu oleh rakan mengenai terdapat sebuah lombong tinggal yang berpotensi dan dihuni spesies ikan yang bersifat game fish peringkat air tawar. Memandangkan lokasinya tidak jauh, kurang dari 30 km dari tempat tinggal kami, maka kami memulakan perjalanan.
Rakan saya, Kamaruzaman yang ketika Itu menggunakan gewang pensil melontar ke arah kawanan spesies yang dipercayai toman dan dengan satu lontaran sahaja gewangnya disentap mangsa.
Ads
Toman yang masih dianggap masih ‘budak sekolah’ berjaya didaratkan. Beratnya selepas ditimbang hanya 300gram dan selamat dilepaskan semula ke habitat asal.
Di sebabkan kawasan lombong ini Luas dan tidak mempunyai halangan, Asseri mempraktikkan teknik trolling dan membuat beberapa pusingan di sekeliling lombong.
Ads
Satu desitan tali terhambur keluar dari rod yang di pacak di bahagian belakang bot. Gewang selaman dalam keluaran hinomiya berwarna hijau telah mengena. Melentur lentur joran akibat Diasak dengan cukup kuat.
Hampir 10 minit bertarung akhirnya Belida bersaiz hampir 3 kilogram berjaya ditangkap. Mata tiga gewang kemas tertancap di mulut mangsa.
Ads
Asseri sekali lagi membuat pusingan untuk trolling dan tanpa disangka sekali lagi seekor belida yang sama saiznya dan dipercayai pasangan belida ini berjaya kami peroleh.
Walaupun lokasi ini terdapat banyak lagi kawanan toman dan belida, khabarnya Ia telah dimasukkan dalam perancangan pihak berkuasa untuk dibangunkan pada masa hadapan.
Cuma masa yang akan Menentukan sampai bilakah ia mampu bertahan dan jika benar, habislah satu lagi port memancing yang best di kawasan Rawang ini.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Kunjungan kami ke utara tanah air bagi trip memancing kali ini adalah hasil kerjasama Shahril dengan bantuan tekong tersohor, Mad Krie. Hasrat mencari ikan-ikan pelagik yang sedap isinya ini telah lama kami rindukan rasa tarikannya.
Aktiviti awal pagi dimulakan dengan unjunan apollo mencari umpan. Tekong menyuruh untuk mencari borek. Borek merujuk kepada ikan termenung borek. Ikan borek adalah salah satu umpan paling digemari pelagik utama yang kami cari iaitu tenggiri.
Sedang masing-masing sibuk mencari borek, keheningan pagi dipecahkan dengan jeritan drag Daiwa Exceler milik Shahril.
“Negro hitam!” kata tekong.
Kami segera faham apa yang dimaksudkan oleh tekong. Apa lagi kalau bukan si layaran punya angkara. Hampir habis tali dalam gelendong dihenjutnya. Saya bergegas ke belakang bot membantu tekong mengawal ikan. Beberapa gelekan akrobatiknya gagal untuk meloloskan dirinya yang terjerat.
Mood pagi diserikan dengan sesi foto ringkas ikan ikonik ini beramai-ramai. Walaupun ikan ini dianggap pengacau terutamanya oleh pemancing tenggiri , namun keseronokan menariknya memang dinantikan. Ikan ini kami lepaskan semula.
Kami meneruskan aktiviti mencari cencaru kuda pula. Acara wajib mengunjun apollo yang memang tak boleh dilepaskan di unjam. Jeps pula lebih selesa menggunakan micro jig. Teknik berbeza namun target yang sama.
Suasana mula riuh apabila cencaru kuda mula menyerang. Saiznya pula agak kasar. Walaupun sekali yang naik seekor dua sahaja sudah cukup memadai kerana saiznya yang agak kasar. Jika lambat menaikkannya kadang kala bersimpul apollo dibuatnya.
Sekejap sahaja tong Coleman kami dipenuhkan dengan ikan ini. Saya juga berjaya menaikkan cencaru bersaiz hampir dua jengkal dewasa. Agak kuat tarikannya. Selain cencaru , kerisi juga banyak bermain di sekitar unjam.
Selepas beberapa jam menunggu, tenggiri mula menjengah umpan kami. Teknik hanyutan belon mula menampakkan hasil. Jeritan drag disambut sejurus tekong mengatakan mangsa adalah tenggiri. Kawalan berhati-hati dari Zubir yang membantu tekong akhirnya menghasilkan rezeki yang bersaiz sederhana.
Ikan mula bermain disekitar bot. Kami terus menunggu sambil terus mengunjun apollo. Memang seronok melayan apollo secara berjemaah di atas bot. Jeps pula yang gemar menggunakan teknik micro jig mendapat bonus sejurus jignya disambut ikan belitung.
Namun alun yang agak kuat menghadkan aktiviti kami. Manakan tidak, saya sendiri beberapa kali hampir terjun ke laut bahana alun kuat ini. Dua ahli komplot juga terpaksa berehat lantaran sedikit pening dek alun yang kuat ini.
Sebelah petang sekali lagi drag menjerit menandakan seekor lagi tenggiri menghentam umpan borek. Saiz kali ini agak kasar membuatkan kami lebih gembira. Selain ikan target, ikan gerut-gerut juga berjaya kami dapati di sini. Asalkan rajin dalam memancing, pasti akan ada hasilnya.
Seperti mana-mana trip, kami juga tak terlepas dari mengalami situasi rabut. Ini juga terjadi pada kami bila mana beberapa sambutan kasar yang didapati berjaya meloloskan diri. Selain faktor kesilapan, faktor nasib juga sebagai penentu. Perkara ini biasa kata tekong.
Untuk trip kali ini sahaja hampir enam kali tenggiri gagal dinaikkan. Namun kami puas hati kerana masih ada spesis lain sebagai penggantinya. Syukur… peti Coleman dapat juga dipenuhkan dengan pelbagai ikan hinggakan berlebihan. Tuas Payar memang terbaik.
Dengan jarak lubuk yang terletak begitu jauh dari jeti iaitu jarak sekitar 80-90 batu nautika yang memakan masa 16-20 jam menjadikan waktu memancing kami agak singkat iaitu 3 hari sahaja. Sepanjang perjalanan ke lubuk, kami sempat melintasi dan menjamu mata melihat beberapa buah pelantar minyak di sekitar Terengganu.
Hari pertama hasil yang kami perolehi agak kurang kerana lubuk yang kami singgahi menjadi sarang bot pukat tunda Vietnam lalu-lalang. Hanya 4 ekor ikan merah dan beberapa spesies lain seperti kerapu, aruan tasik dan ibu kerisi yang berjaya diperolehi dengan mengaplikasikan teknik memancing secara berhanyut di siang hari.
Di sebelah malamnya tekong hanya melabuhkan bot di kawasan karang untuk memburu spesis ikan karang. Hasil hari pertama hanya setengah tong sahaja ikan pelbagai jenis kami perolehi.
Hari pertama telah berlalu dan kami tidak berputus asa mencuba nasib hari kedua ini. Tanpa diduga, kami diserang segerombolan ikan cermin yang begitu banyak sekali. Hampir seharian kami tidak putus-putus menerima asakan sang cermin. Mujurlah ke semua ahli komplot menggunakan kekili elektrik. Kalau manual, mau ada yang lenguh tangan melayan. Boleh dikatakan lubuk kali ini sebagai “lubuk taruk makan taruk makan..”
Jatuh sahaja umpan di dasar pasti ikan cermin yang makan. Pakai 2 mata, dua-dua mata akan lekat ikan cermin ini. Dari pagi sampai ke petang kami melayan ikan cermin sampai 1 tong 200L penuh dan 1 tong 400L hampir penuh dengan ikan ini sahaja.
Tekong beritahu kami, bulan lepas beliau dapat menaikkan hasil ikan cermin sebanyak ini dengan hasil jualan cecah RM17,000 hanya untuk 2 hari saja. Memang lumayan! Tetapi harus diingat rezeki di lautan sukar diduga. Bukannya setiap masa hasil akan dapat seperti ini. Untungnya kami mendapat ‘jackport’ ikan cermin pada hari itu.
Setelah puas melayan ikan cermin, akhirnya kami mengambil keputusan untuk bertukar ke lubuk ikan merah yang sepatutnya menjadi target kami. Untuk ke lubuk baru ini perjalanan memakan masa lebih kurang 2 jam dan oleh yang demikian kebanyakan daripada kami mengambil kesempatan untuk merehatkan badan bagi mengumpul tenaga keesokan harinya.
Hari ketiga pula, barulah hasil bot kami meriah dengan ikan-ikan gred A yang menjadi target trip kali ini seperti merah, kerapu, kerapu bara dan ibu kerisi. Setiap lubuk yang kami singgah di hari ketiga ini mesti ada penghuninya. Tak menang tangan kami menaikkan spesis target yang semamangnya menjadi idaman. Azli menjadi ‘champion’ trip kali ini apabila menaikkan ikan merah terberat trip kali ini iaitu seberat 8kg.
Rata-rata ahli komplot tersenyum puas apabila berhasil menaikkan spesis idaman. Hasil hari ketiga boleh dikatakan tong 200L penuh dengan hasil-hasil ikan gred A.
Menjelang petang, kami meminta tekong untuk singgah di pelantar terdekat untuk melayan ikan cupak. Walaubagaimanapun, di pelantar ini kami hanya dapat singgah sekejap sahaja memandangkan bekalan ais telah hampir habis. Makanya, kami mengambil keputusan untuk pulang ke jeti untuk mengelakkan ikan busuk.
Sewaktu bertolak balik kami terpaksa menempuh ribut barat laut yang agak kuat dengan ombak setinggi 3-4 meter. Berderau jugak kami melihat keadaan laut yang bergelora pada waktu itu. Hanya disebabkan pengalaman tekong dan bot yang besar membuatkan kami rasa agak selamat.
Masing-masing hanya berdoa dan berserah kepada yang Maha Esa agar dijauhi sebarang malapetaka. Alhamdulillah, kami selamat tiba di jeti keesokan harinya. Kesimpulan dari trip ini boleh dikatakan hasilnya agak baik dan hampir pecah tong.
Servis oleh tekong juga boleh dikatakan memuaskan kami. Awakawaknya yang rajin dan tekong yang berpengalaman dan ada banyak lubuk simpanan menjadikan trip kali ini sukses dengan jayanya. Keadaan bot dengan keluasan 16 kaki lebar dan panjang 58 kaki juga amat bersih dan selesa untuk kami.
Trip Jenggo Hunter kali ini ialah menjejak jenggo atau udang galah di Kanowit, Sarawak. Pekan Kanowit ini terletak dari bandar Sibu sejauh 57 kilometer dan perjalanan mengambil masa selama 1 jam 30 minit. Trip kami kali ini disertai oleh sahabat saya Hamzi Muris, Hasmie Nyo, Malek Jarni, Munsang Lo, Zauricky dan saya sendiri, Pashaa Oo.
Kawasan yang sering kali diminati si jenggo ini ialah kawasan yang berkayu dan berbatu dan air sungai haruslah dalam keadaan cuaca yang panas dan tidak hujan selama 3 ke 4 hari. Si jenggo ini juga bergantung dengan faktor air jika air terlalu keruh peluang untuk menaikkannya adalah terlalu tipis.
Hari itu keadaan sungai tenang dan air pun tidak berapa keruh memang sesuai untuk menjenggo. Kami menggunakan umpan seperti umpon-umpon (perumpun) dan cacing tanah. Umpan inilah paling mujarab digunakan di sini. Jika ada jenggo di kawasan itu boleh dikatakan pasti pasti dapat strike.
Kami dengan tenang menuju menuju ke port yang paling diminati oleh si jenggo. Perjalanan memakan sedikit masa dengan menggunakan perahu kecil dan menggunakan enjin bot 3hp sahaja. Kami pun tidak terburu-buru. Pancing rilek-rilek santai saja.
Trip kami menggunakan 3 buah perahu ini boleh dikatakan berjaya juga. Kami dapat menaikkan sebanyak 5 kg lebih jenggo. Kami pun amat gembira dengan hasil yang kami dapat dan orang rumah juga dapat merasa. Selain dari itu trip kami kali ini membuktikan sungai pekan Kanowit Sarawak ini masih berpotensi untuk pancingan udang galah. Sekiranya tau lubuk si jenggo berada pasti dapat hasil yang amat memuaskan hati.
Dalam trip ini Hamzi Muris paling bertuah kerana dapat menaikkan sepit biru bersaiz mega atau nama panggilan kami `apek’. Selain udang galah, ikan belida turut memakan umpan umpon-umpon yang digunakan. Paling rare yang saya dapat ialah warna si jenggo ini lain dari yang lain pertama kali saya dapat menaikan warna si jenggo ini hitam semuanya.
Untuk santapan bersama keluarga tersayang syukur Alhamdulillah rezeki menyebelahi kami ini. Dengan in kami mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Majalah Umpan sudi berkongsi pengalaman dengan kami Insyallah lain kali kita akan berjumpa lagi dan kongsikan pengalaman memancing ini.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...