Jika disebutkan nama sebenarnya, barangkali hanya segelintir kaki pancing yang mengenali, tapi jika disebut POK MUD… kaki pancing mana pula yang tidak mahu mengenalinya?
Berasal dari perkampungan nelayan, berdarah dagingkan nelayan, maka tidak hairanlah seawall usia 6 tahun lagi Pok Mud sudah mula terjun ke dalam dunia hanyir memancing.
Ekoran minat yang kian mendalam, ketika di bangku persekolahan menengah, Pok Mud mula mengumpul duit untuk memiliki peralatan memancing sendiri. Ketika menuntut di pusat pengajian tinggi, tanpa mengenepikan dunia memancing, Pok Mud melebarkan hobi mendaki gunung pula.
Bersama Rakan Muda, beliau terus aktif menawan pelbagai gunung di dalam negara. Implikasi mendaki gunung jugalah Pok Mud memperoleh kekuatan dan tenaga untuk memancing ke lubuk sungai pergunungan pula.
Setelah mendirikan rumahtangga, hobi memancing dan mendaki tidak terkubur bersama zaman bujangnya. Malah antara pesan kepada isterinya, jangan sesekali cuba untuk menghalang hobinya itu. Sebaliknya ia menjadi titik tolak kepada Pok Mud berkecimpung secara serius dalam hobi memancing.
Bukan sebagaimana pemancing yang menjadikan rumah tangga sebagai penghalang untuk meneruskan hobi ini.
Walaupun memancing tidak memerlukan guru dan tiada guru secara formal, Pok Mud menjadikan para tekong bot dan nelayan sebagai guru pancingnya. Setiap kali menyertai trip memancing, laut dalam khususnya, Pok Mud akan menjadikan tekong sebagai tempat bertanya.
Tanpa segan Pok Mud akan meminta pendapat atau nasihat teknikal daripada para tekong. Kemudian Pok Mud akan mempraktikkan setiap ilmu yang dipelajari ketika memancing. Dari situlah beliau menimba pengalaman sekaligus menjadi seorang pemancing berilmu.
Meskipun pada dasarnya Pok Mud memancing sekadar untuk kepuasan diri beliau tidak kedekut untuk berkongsi ilmu yang dimiliki. Justeru itu beliau mula berkongsi ilmu dan pengalaman dengan menjadi penulis sambilan.
Selain menceritakan pengalaman memancing, beliau turut mengajar pemancing mengenali spesis-spesis ikan tanah air serta panduan untuk menghasilkan joran sendiri. Dan menyedari betapa bernilainya ilmu yang Pok Mud miliki, beliau telah diminta oleh sebuah akhbar khusus untuk menjawab persoalan mengenai segala teknik memancing.
Apabila ditanya mengenai kemahiran beliau menghasilkan joran berkualiti tinggi pula, Pok Mud menjelaskan, beliau banyak mengorbankan masa selama 6 bulan dengan mempelajarinya daripada 2 orang guru, rakan serta internet.
Meskipun mampu menghasilkan joran dengan kualiti tinggi, Pok Mud tidak pula menjadikan kemahirannya itu sebagai punca pendapatan sampingan, sekadar untuk kegunaan sendiri atau tempahan tertentu sahaja.
Tambah pula, pernah suatu ketika lantaran terlalu sibuk menghasilkan joran beliau telah mengabaikan pendidikan anak-anak. Ekoran daripada itulah beliau langsung tidak menghasilkan joran selama lebih 10 tahun demi semata-mata menumpukan perhatian kepada pendidikan anak-anaknya.
Mengulas trip memancing, Pok Mud sudah pun mencuba perairan antarabangsa seperti di Indonesia, Thailand, Burma, Vietnam, Jepun serta Maldives. Beliau amat bersetuju yang mengatakan Maldives adalah syurga memancing. Kerana kegilaan itulah beliau pernah memancing ke Maldives selama 3 tahun berturut-turut.
Hasilnya, beliau pernah mendaratkan tuna sirip kuning dengan skala berat 80kilogram. Meskipun sibuk dengan kerjaya sebagai pengurus kualiti, tenaga pengajar kokurikulum memancing secara mingguan di Universiti Putra Malaysia, Serdang, AJK Persatuan Pengail Selangor, jemputan mengadakan bengkel dan seminar serta sebagai ketua keluarga, Pok Mud masih mempunyai masa dalam dunia hobi memancingnya.
Beliau masih menghasilkan joran yang ditempah atau dibuat khusus sebagai hadiah serta membaikpulih kekili klasik yang menjadi hobi terkini. Dan yang pasti, beliau masih belum bercadang untuk membiarkan set joran yang tergantung di dinding rumahnya, terus tergantung begitu saja.
Jika ada kelapangan pada hujung minggu dan cuaca mengizinkan, beliau akan turun memancing meskipun seorang diri di lubuk-lubuk sekitar Pelabuhan Klang.
Terkini Pok Mud menjadi tekong dan pembuat joran sepenuh masa. Jika ingin menempah trip atau joran, bolehlah hubungi beliau di Facebook Pok Mud’s.
Biografi Pok Mud
Nama Penuh: Mohd Tamizam B. Abdul Karim
Tarikh lahir: 20 Oktober 1966
Tempat lahir: Kemaman, Terengganu.
Pendidikan: Uitm
Status: Berkahwin (5 anak)
Hobi Selain memancing: Mendaki gunung, fotografi, rod crafter, membaikpulih dan mengumpul kekili klasik.
Lokasi memancing terbaik: Maldives