Begini Cara Betul Memancing Ikan Todak!!

Share

 

Biasanya pemancing yang menggunakan teknik hanyut, belon atau casting mudah memperoleh spesies ini ketika memancing buruan utama seperti tenggiri, gerepoh dan layaran.

 

 

Ia dikatakan pengacau kerana gemar membunuh ikan umpan hidup. Kita boleh mengandaikan bahawa umpan hidup telah dikerjakan todak melalui kesan gigitan atau bekas gigi pada ikan umpan tersebut.

Ini berdasarkan pada sifat todak yang tidak terus menelan mangsa, sebaliknya mengonggong seketika sebelum mengerjakan sebahagian badan mangsa.

 

Oleh kerana todak adalah pemangsa di kawasan permukaan air maka cara terbaik memancingnya ialah melalui teknik hanyut menggunakan belon atau apa saja bahan apungan. Cara hanyut lebih mudah ketika arus laju manakala belon pula ketika angin lebih kuat dari kelajuan arus.

 

 

Paling penting umpan perlu dipastikan berada di permukaan air. Umpan perlu dihanyutkan kira-kira 10 meter dari kedudukan pemancing kerana todak lebih bersifat penakut pada bayangan manusia kecuali pada malam hari kerana bayangan manusia dilindungi oleh limpahan cahaya lampu bot. Memadai jika kita tidak nampak umpan di hadapan.

 

Untuk menjerat todak dengan mudah, umpan tidak oleh dirembat atau di sentap sebaik sahaja sistem penggera berbunyi. Biarkan ia melarikan umpan seketika, tunggu hingga larian kedua barulah boleh direntap joran.

 

Sebaiknya menggunakan umpan mati berbanding hidup kerana todak bertindak membunuh sebaliknya melemahkan mangsa terlebih  dahulu melalui cengkaman gigi di sepanjang muncungnya.

 

 

Ia akan menikmati habuannya setelah mangsa tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Umpan yang digunakan jangan terlalu besar dari saiz mulut todak yang diburu. Paling sesuai umpan sebesar 1 hingga 2 jari sahaja. Umpan seekor lebih berkesan dari hirisan ikan.

 

Sesuai dengan barisan gigi tajam yang dimiliki todak, perambut dawai lebih sesuai digunakan berbanding tangsi. Disyorkan perambut tangsi 30lb dipadankan dengan kabel 20lb hingga 40lb.

 

Kombinasi mata kail (lebih dari satu mata kail) lebih mudah menjerat todak berbanding menggunakan mata tunggal. Jika inginkan keseronokan, guna 1 mata kail sahaja kerana ia lebih menyeronokkan dipadankan pula set pancing aksi ringan.

 

 

Bila guna aksi ringan joran melentur bagai nak rak, penggera sentiasa berbunyi seolah-olah tengah fight ikan besar. Malah, melihat aksi akrobatiknya di udara dalam cubaan melepaskan diri dari mata kail juga amat menghiburkan.

 

Published by
Amang