Baung Monster Sungai Selangor

Share

 

Ikan baung ekor merah atau nama saintifiknya Hemibagrus wyckioides (Asian redtail catfish) adalah ikan pemangsa yang disenaraikan oleh Jabatan Perikanan bersama 32 spesies ikan lain yang tidak dibenarkan dilepaskan ke sungai, empangan, tasik dan lombong di negara ini.

 

 

Spesies ikan berkenaan berasal dari Sungai Mekong, Vietnam dan dikategorikan sebagai ikan pemangsa agresif yang akan mengganggu ekosistem perairan sekiranya berada dan membiak dalam perairan umum.

 

Bersifat agresif dengan memakan pelbagai hidupan marin termasuk anak ikan, udang dan saiznya matangnya boleh mencapai berat puluhan kilogram. Spesies ini mampu mencapai panjang 130cm (51 inci). Ikan ini adalah spesies Bagrid terbesar di Asia dan mampu mencapai sehingga saiz maksimum 80 kilogram.

 

 

Sirip kaudalnya putih ketika kecil, berubah ke warna merah cerah ketika mencapai sekitar 15cm (6 inci). Walaubagaimanapun ikan ini nampaknya semakin popular di kalangan pemancing tegar di sekitar kawasan Sungai Selangor.

 

 

Ini kerana populasi baung ekor merah atau dikenali dengan panggilan BEM oleh Group River Monster Hunter ini semakin membesar dan membiak di sepanjang Sungai Selangor terutama di kawasan Batang Berjuntai.

 

Menurut sumber dari Group River Monster Hunter Malaysia (RMH) yang diwakili oleh saudara Jeffry, beliau berjaya mendaratkan ikan baung ekor merah seberat 28 kg & 22kg setelah mengalami beberapa kali kegagalan.

 

 

Antara ahli Group RMH yang turut berjaya menjinakkan ikan tersebut ialah Salimy 30kg, Pak Mail 24kg, Roswadi 29kg, Ewad 23kg, Khairul Fahmi 19kg dan Hairul Anuar 20kg dengan menggunakan umpan hidup seperti ikan puyu & ikan keli.

 

BEM ini sememangnya spesies yang pelahap kerana ia tidak mengira waktu untuk menyambar umpan, namun begitu ahli-ahli RMH kebiasaannya akan memburu spesies ini pada waktu malam kerana ia adalah bersifat nokturnal.

 

 

Purata saiz ikan tersebut layak digelar monster kerana saiznya yang tidak dapat ditandingi oleh spesies ikan lain yang menghuni Sungai Selangor. Menurut beliau ramai lagi ahli berjaya mendaratkan BEM kerana mereka mengamalkan teamwork dalam misi memburu monster ini.

 

Malah, Group River Monster Hunter akan menimbang & merekodkan berat setiap hasil pancingan yang bersaiz 5kg ke atas. Aktiviti pemburuan BEM oleh ahli-ahli RMH boleh diikuti di laman Facebook milik mereka iaitu, Group River Monster Hunter.

Oleh: jokok90

Published by
Amang