(Oleh: Rizal Joran)
Jika di tanya ‘bantal emas’ dikalangan kaki pancing, pasti ramai yang terbayangkan spesies ikan dasar yang mempunyai sisik berwarna kuning atau merah yang kelihatan seperti ‘emas’.
Misi Team Mayeep kali ini adalah untuk memburu bantal emas atau ikan Jenahak di perairan Port Dickson bersama tekong yang digelar ‘Tekong Buntat’ atau lebih dikenali dengan panggilan Apex Kecil.
PERSEDIAAN SEBELUM TRIP
Persediaan adalah amat penting bagi sesuatu trip, persedian bukan hanya dari segi peralatan memancing namun dari segi cuaca dan pasang surut air juga harus dititikberatkan.
Memandangkan sekarang adalah musim peralihan monsun, maka kepekaan pemancing terhadap cuaca merupakan salah satu faktor menentu kejayaan sesuatu trip.
Kebetulan salah seorang dari ahli trip kami iaitu penulis sendiri berkhidmat di Jabatan Meteorologi Malaysia, maka penulis membantu dari segi tinjauan cuaca terutama berkenaan forecast, nowcast dan amaran cuaca semasa.
Dari segi peralatan memancing kami memang sentiasa bersedia namun kami kerap menghubungi tekong bagi mendapatkan maklumat semasa berkenaan trip tersebut.
PERSATUAN NELAYAN TELUK KEMANG
Bagi kaki jigging terutama di perairan Selat Melaka pasti tahu berkenaan pangkalan Persatuan Nelayan Teluk Kemang, di sini juga lokasi pertemuan kami bagi trip kali ini.
Setelah membawa peralatan memancing naik ke atas bot, tepat jam 8.30 pagi, bot yang dipandu oleh tekong Apex Kecil membawa kami ke lubuk pertama iaitu lebih kurang 45 minit dari pantai.
STRIKE YANG PERTAMA
Setelah melihat sonar serta kelajuan arus, tekong mengesyorkan kami menggunakan teknik fast jigging iaitu menggunakan metal jig seberat antara 60g hingga 100g bagi memburu tenggiri .
Setelah hampir 30 minit mengunjun metal jig tiba-tiba rod Alang melengkung dan reel menjerit serta memuntahkan tali tanpa henti.
Kebijaksanaan tekong mengawal bot dan mengikuti larian si peragut jig membuahkan hasil apabila Alang berjaya mendaratkan seekor gerong belang seberat 4.3kg.
Selepas aksi tersebut suasana menjadi sepi kerana tiada sebarang ragutan dari penghuni dasar dan tekong membawa kami ke lubuk yang lain.
SERANGAN SI TALANG
Lebih kurang jam satu petang tekong membawa kami ke lubuk kapal karam, kami mempertaruhkan jig 80g hingga 150g dan ternyata ia disambut mesra oleh si talang.
Suasana atas bot menjadi kecoh apabila terdapat pemancing memperoleh strike secara serentak dan tali pula bersilang antara satu sama lain.
Aksi akrobatik si talang untuk melepaskan diri juga sangat menghiburkan dan aksi tersebut juga menyebabkan kebanyakan dari kami putih mata kerana si talang berjaya melepaskan diri.
PESTA BANTAL EMAS
Jam menunjukkan hampir ke angka dua setengah petang namun seekor pun ikan target masih belum kami peroleh.
Tekong membawa kami ke lubuk yang mempunyai karang di dasarnya dan kami mempertaruhkan jig seberat antara 80g hingga 150g.
Arus laut yang perlahan dan angin permukaan yang lemah membuatkan permukaan laut seolah hamparan permaidani biru yang luas.
Jig yang diturunkan secara menegak tepat ke zone strike meningkatkan peratusan kami untuk strike dan ternyata ia sangat berhasil apabila dalam tempoh dua jam kesemua ahli
dan tekong berjaya mendaratkan enam ekor bantal emas dan yang paling besar berskala 5.4kg.
Tepat jam enam petang tekong memaklumkan bahawa ini drift terakhir untuk trip ini, drift terakhir kami selama hampir sepuluh minit tidak mendapat sambutan dari penghuni dasar laut Port Dickson.
Perjalanan balik ke pangkalan Persatuan Nelayan Teluk Kemang dimanfaatkan untuk berehat dan mengemas peralatan memancing.
Sampai di pangkalan Persatuan Nelayan Teluk Kemang hasil tangkapan dibahagi sama rata dan semua ahli trip tidur lena sebelah malamnya apabila tidur beralaskan bantal emas.
Ahli Trip:
- Ayeep
- Alang
- Deli
- Rizal Joran