Bahaya Letak Ikan Atas Lantai Bot!

Share

 

Rasanya bukan baru saya diberi peringatan agar jangan letakkan ikan yang berjaya dipancing ke tempat panas terdedah secara langsung pada matahari seperti di atas lantai sampan dari seorang tekong. Dan sepanjang tempoh itu tidak pernah sekali pun saya membantah atau mempersoalkannya.

 

Bila dah lama, sedikit demi sedikit peringatan itu mula pudar dari ingatan. Begitu juga dengan tekong yang berikan peringatan tersebut pun saya dah lupa. Sehinggalah, peringatan itu tiba-tiba muncul kembali ketika saya sedang memancing udang galah di Bagan Datuh. Ingatan itu muncul secara tiba-tiba tatkala saya lebih banyak menaikkan ikan duri berbanding udang galah.

 

Mungkin disebabkan rasa terganggu kerana banyak sangat dapat ikan duri bersaiz sejengkal yang sedikit sulit untuk melepaskannya dari mata kail, ingatan tersebut seperti mendorong saya untuk melakukan sedikit uji kaji.

 

 

Saya seperti terdorong untuk melihat apa yang terkesan atau apa impak yang akan berlaku kalau ikan duri itu diletakkan di tempat panas. Ketika itu memang panas pun kerana waktu tengah hari. Korang tentu tau macam mana keadaan lantai sampan fiber tatkala panas lit-lit. Nak letak punggung tanpa alas pun fikir dua tiga kali.

 

Sebelum ingatan itu muncul, saya tidak membawa naik mana-mana ikan duri ke atas sampan pun. Sekadar menggantungnya di tepi dinding fiber sambil menanggalkan mata kail.

 

Bila mata kail tertanggal maka ikan duri itu pun jatuh kembali air. Tapi bila ingatan itu muncul dan dapat lagi ikan duri, saya pun tak fikir panjang lagi dan terus letak ikan duri itu di atas lantai sampan fiber yang terdedah kepada bahang panas.

 

 

Impaknya segera terjadi! Sebaik saja perut ikan duri itu tersentuh lantai sampan, secara mengejut ia meronta dan meloncat-loncat. Ia mungkin tindak balas secara spontan akibat kepanasan. Ketika bertindak balas terhadap kepanasan itulah salah satu sengat ikan duri tersebut tercucuk tangan saya.

 

Selepas itu barulah saya faham kenapa saya pernah diberi peringatan oleh tersebut. Tapi nak menyesal pun dah tak guna. Nak tak nak terpaksalah saya tanggung denyutan hampir sejam lamanya.

Published by
Amang