Sebenarnya kaedah ini sangat bahaya kepada pencandat. Risiko lemas cukup tinggi. Jika ombak datang secara tiba-tiba, peluang untuk menyelamatkan diri sangat rendah.
Kekili dan peralatan memancing juga lebih mudah terkena air masin dan cepat rosak. Jika pencandat tidak memakai kasut yang sesuai, risiko untuk disengat ikan depu yang beracun sangat tinggi.
Duri ikan seperti ikan pari dan belangkas juga boleh menjadi ancaman kepada pencandat.
Kebiasaannya, pencandat akan meletakkan sotong yang dipancing di dalam jaring atau bekas yang kemudiannya digantung pada pinggang.
Sotong selalunya akan melepaskan dakwat hitam walaupun sudah mati. Dakwat ini selalu menarik perhatian ikan-ikan pemangsa seperti ikan jerung.
Jerung yang kelaparan boleh bertindak secara agresif jika ia mengesan kehadiran makanan.
Semasa sotong cuba untuk dinaikkan, pancutan dakwatnya boleh mengenai mata pencandat.
Peratus terkena dakwat di muka lebih tinggi disebabkan aras kedudukan muka pencandat hampir menyamai paras kedudukan sotong.
Dakwat yang terkena mata boleh menyebabkan mata menjadi kabur dalam beberapa minit. Jika berlaku kecemasan ketika ini, tentu sukar untuk pencandat menyelamatkan diri.
Penggunaan lampu suluh untuk menyuluh umpan dan hasil tangkapan di tengah laut juga boleh mendedahkan tubuh pencandat kepada serangan mengejut ikan todak. Ikan todak yang terkejut boleh melukakan pencandat dan boleh juga membawa maut.
Ketika air jernih dan musim obor-obor, pencandat juga akan mudah terkena bisa dan disengat. Walaupun ada yang berkata sudah biasa dengan sengatan obor-obor, pencandat baru mungkin tidak biasa dan tentu akan menderita jika terkena.
Jika candat pemancing terkena obor-obor dalam jarak yang dekat dan ketika cuba melepaskan obor-obor itu… percikan tubuhnya boleh mengenai mata pencandat.
Ia sungguh berbahaya. Walau sekadar membayangkannya sahaja sudah ngilu, inikan pula kalau betul-betul terjadi!