Jika pasang surut air laut dijadikan ukuran, tempoh air banir atau air pasang kecil sememangnya kurang sesuai untuk memperoleh hasil tangkapan yang memberangsangkan.
Terutamanya spesies sasaran iaitu jenahak dan kerapu. Namun, disebabkan sudah lebih sebulan ‘berpuasa’ Shahrul, Sofian, Syamil dan Asrin sudah tidak terbendung menahan rasa rindu dan gian mengunjun kepingan besi 200 gm di perairan Zeezone Port Klang.
Menggunakan khidmat tekong tersohor Batu Laut, RM Rezza, mereka turun menunaikan ketagihan jigging perlahan tanpa menaruh harapan tinggi trip berakhir dengan gemilang.
Faktor arus lemah yang mempengaruhi keaktifan ikan memburu makanan agak ketara. Jig-jig yang membuai di lubuk-lubuk berpenghuni langsung disentuh.
Meskipun jelas tertera kelompok kumpulan ikan terpapar di alat pengesan ikan namun tiada sambaran berlaku.
Ads
Seolah-olah ikan terlalu malas untuk membuka mulut atau kekenyangan melahap sotong-sotong yang kehadirannya dapat disaksikan apabila jig yang dikarau naik ke permukaan.
Lewat petang setelah kecewa di lubang-lubang jenahak dan kerapu, juga kecewa memujuk gerepoh dan sagai di lubuk yang tidak pernah mengecewakan, tekong mengambil keputusan untuk mencuba nasib di lubuk ikan alternatif tidak jauh dari penanda Tiang Sepang.
Teknik pitching menyeret dasar membuahkan hasil kepada Sofian di bahagian hadapan bot.
Berselang tidak sampai seminit kemudian Shahrul yang berada di bahagian tengah bot pula menerima sambaran dan melayan larian dan mangsa yang belum dikenal pasti spesiesnya.
Sementara Asrin yang berada bersebelahan dengan Sofian di bahagian hadapan bot turut menerima sambaran namun rabut.
Ads
Setelah beberapa minit bertarung Shahrul dan Sofian berjaya mendaratkan tangkapan masing-masing.
Dan masing-masing terkejut melihat spesies yang mereka daratkan. Jenahak yang mereka idamkan tapi bagok pula yang mengena.
Ads
Bagok yang lazimnya berkumpulan itu mendorong tekong mengulangi lubuk yang sama beberapa kali.
Begitu juga lubang-lubang berhampiran yang berpotensi namun tiada lagi sebarang sambaran dari bagok atau spesies lainnya.
Sekaligus menjadikan bagok bersaudara itu penutup trip jigging pelepas gian mereka berempat.
“Bagok pun bagok la janji tak kumpau!” ujar Shahrul dalam perjalanan pulang ke jeti Batu Laut disulami ketawa besar.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Sungai Kinta merupakan salah satu cabang sungai yang mengalir ke Sungai Perak yang puncanya mengalir dari Gunung Korbu di Ulu Kinta , Tanjung Rambutan.
Sungai Kinta ini mengalir dan melalui beberapa buah bandar dan pekan antaranya Ipoh, Pasir Putih, Pengkalan Pegoh, Pusing, Batu Gajah, Tanjung Tualang dan Kampung Gajah.
Kuala Sungai Kinta ini pula terletak di selatan Kampung Gajah yang terletak kira-kira 75 km di barat bandaraya Ipoh.
Dahulu warna air sungai ini jernih kini sangat keruh kerana dicemari oleh aktiviti perlombongan dan pengorekan pasir.
Lokasi pancingan & spesies
Sasaran di Sungai Kinta lebih-lebih lagi di sekitar kawasan Sungai Galah, terdapat banyak spot pancingan menarik yang menjadi pilihan kaki-kaki pancing dasar dan pengilat khususnya.
Banyak juga terdapat taburan lombong pecah di sepanjang aliran sungai ini terutamanya dari Tronoh Mines.
Antara spesies ikan buruan yang terdapat di sini adalah sebarau, baung, jelawat, patin, toman, lampam, tapah, belida dan juga udang galah.
Bagi saya yang gemar memburu sebarau sungai, di sinilah antara spot kegemaran saya di sekitar negeri Perak selain Sungai Kampar serta Hulu Belum.
Jarak perjalanan ke sini juga tidaklah begitu jauh, hanya mengambil masa lebih kurang 30 hingga 40 minit dari pekan Tapah yang melalui Tapah Road, Chenderong Balai dan Ladang Rakyat.
Kaedah Pancingan &Faktor Pemilihan Air
Sebarau yang bersifat pelagik sudah pastinya mudah diburu dengan mengaplikasikan teknik mengilat gewang.
Kebiasaannya waktu yang paling efektif bagi menduga sebarau di sini adalah dari seawal pagi dan lewat petang kerana spesies ini akan aktif mencari makan pada dua waktu ini.
Gewang-gewang yang lazim kami gunakan di sini adalah Rapala Shallow Shad Rap SSR5, Rapala Countdown CD5 dan Rapala Flat Rap 8cm berwarna natural seperti ‘Bleak’ dan
‘chrome’ serta skema warna terang seperti ‘Goldfish’, ‘Hot Tiger’, ‘Fire Tiger’ dan ‘Perch’ sekiranya kondisi air agak keruh.
Jika paras airnya sedikit tinggi, kami akan menggunakan gewang selaman dalam seperti Rapala Tail Dancer TD7 dan Rapala Shad Rap SR7.
Kunjungan Semasa kunjungan saya dan seorang rakan ke sini, kami mencuba dengan kaedah boating menggunakan enjin 5 kuasa kuda bermula dari jambatan kayu di Sungai Galah menghulu sehingga ke kawasan lombong pecah di Tronoh Mines.
Paras air ketika itu adalah normal dan keadaan air tidaklah begitu keruh seperti kelazimannya.
Pada masa inilah yang dikatakan amat sesuai untuk mencuba nasib di Sungai Kinta.
Awalnya kami mengambil pendekatan untuk membuat balingan ke arah tebing sungai yang bereba namun tiada sambutan.
Kemudian kami mengambil keputusan untuk mencuba pula di kawasan berjeram kecil yang kami temui di sepanjang laluan.
Bot kami tambat betul-betul di kawasan ekor lubuk dan membuat balingan ke arah kawasan air tenang selepas arus ekor lubuk.
Tidak sampai beberapa balingan sahaja kami telah menerima banyak strike.
Gewang selaman cetek bersaiz 5-7cm kami gunakan dan hasilnya beberapa ekor sebarau remaja berjaya didaratkan.
Begitulah seterusnya yang kami praktikkan dengan mencari jeram kecil bereba. Kawasan air tenang selepas arus adalah spot yang sering mendapat sambaran.
Pada sebelah petang pula, semasa menghilir pulang kami membuat mencuba ke arah tebing berpasir yang landai kerana sering ternampak kelibat anak ikan seakan-akan dihambat pemangsa.
Telahan kami tepat kerana sebaraulah pemangsa yang meligan anak ikan di sekitar tebing pada sebelah petang.
Kunjungan seterusnya kami mencuba dari tebing pula. Spot terbaik adalah di sekitar tiang jambatan Sungai Galah dan kawasan tebing berdekatan.
Menurut sumber dari rakan-rakan, waktu yang paling sesuai adalah semasa banyak sampah yang terperangkap di sekitar tiang jambatan tersebut kerana pada ketika itu
banyak pemangsa yang gemar mengendap di sekitar timbunan sampah hanyut tersebut terutamanya pada awal pagi dan lewat petang.
Hasilnya? Anda harus mencubanya sendiri.
Kegembiraan bersamarakan
Tidak kira di mana sahaja lokasi kita memancing, keseronokan utamanya adalah dapat bersama rakan-rakan yang berkongsi minat yang sama. Sekiranya memperoleh strike itu adalah bonus yang sememangnya diidam-idamkan sebagai seorang pemancing dan pengilat khususnya.
Jadi, sama-samalah kita mendisiplinkan diri dengan mematuhi etika pemancing demi menjamin alam sekitar dan perairan awam terpelihara.
Dalam masa yang sama, hak pemancing lain perlulah kita hormati dan kita seharusnya ada inisiatif dalam membangunkan sukan memancing serta meningkatkan ilmu sambil menyebarkan ilmu pengetahuan yang ada dalam diri kita agar dapat dikongsi bersama.
Senantiasalah mengamalkan ‘Tangkap dan Lepas’ (CnR) ataupun menghadkan pengambilan ikan (selected harvest / bag limit).
Semoga usaha yang kita amalkan ini turut dipraktikkan oleh pemancing-pemancing lain demi memastikan stok ikan di perairan kita terutamanya spesies-spesies tempatan sentiasa terjamin demi kesinambungan pancingan pada masa hadapan.
Kuala Kubu Bharu adalah sebuah bandar yang terletak di daerah Hulu Selangor. Pada mulanya bandar ini dikenali sebagai Kuala Kubu sahaja dan diletakkan di bawah pentadbiran Residen-Residen British yang pertama iaitu Presiden Frank Athelstane Swettenham, diikuti oleh J.P Rodger dan kemudiannya Edward Maxwell.
Ketika itu, Kuala Kubu merupakan jalan utama masuk ke negeri Pahang. Oleh kerana banjir besar yang melanda pada tahun 1883, pihak British telah memindahkan pusat pentadbiran mereka ke Kuala Kubu Bharu pada 6 Mei 1931.
Pada tahun 1975 pula, Majlis Daerah Hulu Selangor ditubuhkan dan dipertanggungjawab untuk mentadbir dan membuat perubahan di dalam kawasan yang merangkumi dari Serendah, Batang Kali hinggalah ke kawasan Felda Sungai Tengi, Soeharto, Gedangsa dan sekitarnya.
Banyak perubahan dan pembangunan telah dilakukan dari semasa ke semasa untuk keselesaan dan kemudahan penduduk. Pekan Kuala Kubu Bharu yang dahulunya yang sunyi kini bertukar corak menjadi pekan yang ceria, bersih dan indah dengan landskap yang menyejukkan mata memandang disamping mengekalkan seni bina awal tahun 1900.
Potensi spot pancingan
Di Kuala Kubu Bharu sendiri terdapat sebuah empangan yang membekalkan air bersih untuk kegunaan penduduk sekitar Lembah Klang. Tadahan air ini terletak di kawasan Pertak yang menjadi penghubung jalan ke Bukit Fraser dan Raub, Pahang.
Sejak ia dibuka sepenuhnya, empangan ini telah menjadi salah satu spot pancingan pilihan kaki-kaki pancing di sekitar Lembah Klang kerana jarak pemanduannya hanya lebih kurang 1 jam 30 minit sahaja dari Kuala Lumpur.
Antara spesies-spesies ikan buruan yang terdapat di empangan ini adalah sebarau, baung, jelawat, tengas, patin, toman, lampam, haruan dan juga tilapia. Bagi kaki-kaki pengilat yang sentiasa mendambakan tarikan padu sang sebarau, banyak terdapat spot-spot menarik yang boleh diduga di sekitar empangan ini.
Namun untuk memasuki empangan ini menggunakan bot amatlah dilarang sama sekali oleh pihak pengurusan empangan. Bagi kaki-kaki bottom pula, antara spot kegemaran mereka ketika paras air tinggi sudah pasti di atas jambatan panjang yang berdekatan dengan kampung orang asli Pertak terutamanya pada sebelah malam setiap hujung minggu.
Sang Merak
Selain empangan tersebut, taburan lombong di sekitar mukim Ampang Pecah dan Rasa juga turut mempunyai potensinya yang tersendiri. Sedar tak sedar, rupa-rupanya telah lama lombong-lombong di sini dihuni oleh spesies peacock bass (PB) yang diketahui umum banyak merajai lombong-lombong di Perak.
Ramai pengilat tempatan rata-ratanya telah sedia maklum akan kehadiran spesies pendatang ini sejak beberapa tahun yang lepas. Sama situasinya seperti saudaranya di Perak, PB di sini tidak segan silu menghentam gewang permukaan seperti pencil dan popper berukuran 5-7cm.
Ada ketikanya, ia begitu galak menghambur anak-anak ikan di permukaan air. Namun, saiz yang diperolehi masih belum dapat mengatasi skala-skala mega yang biasa didaratkan di spot-spot lazim seperti di Air Kuning dan Malim Nawar. Apa pun juga saiznya, pada saya ia tetap mengujakan dan tidak perlu untuk memandu jauh hingga ke Perak.
Boleh dikatakan bekalan ikan gelama masam atau gelama jeruk tidak pernah putus di dapur rumah.
Malah gelama masam goreng merupakan menu wajib yang perlu ada terutamanya pada musim bulan puasa. Rupanya saya tidak berseorangan.
Selera pelik ini turut dikongsi oleh ikon dunia pancing tanah air iaitu Pokmud. Justeru itu apabila bekalan gelama masam mula kehabisan, kami berdua akan turun memancing gelama di Selat Pelabuhan Klang dijadikan gelama masam.
Meskipun matlamat utama untuk memancing dan mengumpul sebanyak mungkin gelama, sambil-sambil memancing gelama itu kami turut memancing ikan lain.
Lagipun bukan setiap masa sesuai untuk memancing gelama. Ketika arus tengah laju, kami meronda kawasan kapal parkir untuk main apollo.
Cencaru dan selar juga merupakan menu kegemaran kami juga. Kalau dapat tamban atau pelata, ia akan dijadikan umpan hidup mencari ikan bonus ketika memancing gelama.
Pernah juga trip asal mencari jenahak bertukar jadi trip apollo cencaru secara kebetulan bertemu dengan kumpulan cencaru sehingga pecah tong dibuatnya.
pabila air sesuai barulah kami berlabuh di lubuk berpotensi. Sekiranya situasi di lubuk berkenaan kurang memberangsangkan, kami akan berpindah ke lubuk lain.
Soal mencari lubuk gelama bukanlah sesuatu yang menyulitkan bagi seorang tekong berpengalaman seperti Pokmud.
Lubuk jenahak dan merah pun dia boleh cari sambil pejam mata, inikan pula lubuk gelama.
Teknik memancing gelama yang kami amalkan cukup ringkas. Memadai menggunakan perambut apollo saiz 10 atau 12 dan umpan umpun-umpun sahaja.
Jika kena pada masanya, keenam-enam mata apollo akan penuh dengan gelama. Pernah juga tidak sampai dua jam kami memancing, tong cat saiz besar dah pun penuh.
Namun lubuk pilihan hari itu agak perlahan sedikit rentaknya. Gelama seperti tenggelam timbul. Sekejap muncul dalam jumlah yang banyak, kemudian senyap.
Kemudian muncul lagi dan menyepi lagi. Nak beralih lubuk terasa sayang pula kerana joran yang menggunakan umpan pelata hidup dan sotong kurita turut sama diragut oleh duri dan sembilang.
Kesabaran kami terbalas apabila salah satu joran Pokmud direntap kasar dan hasilnya seekor jenahak berjaya didaratkan.
Berikutan kesuntukan masa bagi mengelak terkandas untuk masuk ke jeti ketika air surut habis, kami berpuas hati seekor jenahak, sembilang dan setengah tong cat gelama untuk dijadikan stok gelama masam.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...