Boleh ke pancing kelah waktu malam? Kelah makan umpan ke waktu malam? Jawapannya…. boleh dan makan. Malah, dikatakan korang berpeluang untuk mendaratkan kelah saiz mega pada waktu malam. Mungkin peluang untuk strike lebih rendah berbanding memancing pada waktu siang.
Tetapi sememangnya sudah terbukti kelah boleh dipancing pada waktu malam. Cuma beberapa perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan ketika memancing kelah pada waktu malam.
Jarak khemah
Untuk pancingan dasar kelah pada waktu malam, disarankan khemah didirikan jauh sedikit daripada sungai. Lagi jauh basecamp dari sungai sebenarnya lebih bagus untuk peluang strike. Khemah yang terlalu dekat dengan sungai mengundang cahaya berlebihan dan bunyi bising yang akan menakutkan kelah.
Lampu suluh
Lagi bagus jika langsung tidak menggunakan lampu suluh. Lebih-lebih lagi lampu yang terang benderang macam pasar malam. Jika tidak boleh dielakkan maka hadkan penggunaan lampu suluh. Elakkan daripada menyuluh ke kawasan air terutama di kepala dan ekor lubuk.
Labuhan umpan
Kelah dipercayai banyak meronda di kawasan kepala dan ekor lubuk pada waktu malam. Oleh yang demikian, umpan haruslah haruslah dibaling di bahagian kepala dan ekor lubuk.
Umpan terbaik
Ikan kecil atau isi ikan merupakan umpan terbaik untuk menjerat kelah pada waktu malam. Selain dari isi ikan, umpan sawit juga paling mujarab. Untuk pancingan malam sebaiknya taburkan dahulu sawit pada sebelah petang di lubuk tertentu.
Jangan guna loceng
Elak daripada menggunakan loceng sebagai penggera. Bunyi loceng sebenarnya amat nyaring dan pasti akan menakutkan ikan lain dan akan keluar dari lubuk. Cara terbaik mengikat ‘stik lampu’ pada hujung joran sebagai penanda.