Semak Status Bot
Sekiranya akan casting dengan menggunakan sampan atau bot fiber, pastikan dulu saiz dan kondisinya dalam keadaan baik agar terhindar dari kejadian yang tak diinginkan.
Kasut Yang Tepat
Jika casting di kawasan sungai pegunungan atau berbatu, pastikan alas kaki atau kasut yang digunakan bukan saja bersesuaian malah juga masih dalam keadaan sempurna. Jangan sampai anda terpaksa berkaki ayam kerana masalah tersebut.
Elak Memancing Seorang Diri
Soal lubuk merupakan rahsia besar oleh mana-mana caster. Walaupun takut lubuk diketahui orang lain sekali pun, berusahalah dari memancing secara berseorangan. Paling tidak pun ajaklah seseorang walaupun dia langsung tidak minat memancing.
Ketahui Maklumat cuaca
Perubahan cuaca kadang kala tidak dapat diduga. Apabila kondisi cuaca tiba-tiba bertukar mendung dan hujan turun dengan lebat disertai kilat dan petir, segeralah cari tempat berlindung yang selamat. Sebaiknya juga dapatkan maklumat cuaca sebelum ke lokasi.
Persiapan peralatan
Alatan pancing dan gewang merupakan senjata utama dalam teknik casting. Oleh yang demikian persiapan alatan perlu diambil berat sebelum pergi memancing. Elakkan dari terbawa alatan yang tidak menepati untuk bertarung dengan sasaran dan tertinggal gewang yang sepatutnya dibawa bersama.
Ketepatan dan keselamatan
Ketepatan balingan gewang ke sasaran merupakan perkara paling asas untuk kejayaan casting. Dalam pada masa yang pastikan juga ketika membuat lontaran, gewang tersebut tepat ke sasaran dan bukannya tepat mengenai badan rakan yang berhampiran.
Bekalan
Jangan lupa bawa bekalan makanan dan minuman sekiranya pergi casting seharian. Tubuh badan yang sudah terisi makanan dan minuman bukan saja membekalkan tenaga malah mendorong tahap keyakinan ketika memancing.
Jaket Keselamatan
Walaupun sekadar meranduk sungai, tiada salahnya jika anda ingin memakai life jacket atau jaket keselamatan. Manalah tahu anda terjatuh ke dalam air atau dihanyutkan arus. Setidak-tidaknya ia membantu ketika kecemasan. Sebaiknya gunalah jaket keselamatan dari jenis foam yang selesa.
Keselamatan Kenderaan
Pastikan kenderaan ditinggalkan dalam keadaan berkunci dan selamat dari sebarang kejadian yang tidak diingini. Kegagalan berbuat sedemikian sedikit sebanyak akan mengganggu tumpuan atau hilang fokus sepanjang tempoh memancing. Jangan tidak percaya, perkara ini juga menjadi salah faktor berlakunya kumpau.
Pakaian
Gunakan pakaian yang bukan sahaja selesa ketika memancing bahkan bagus untuk perlindungan diri khususnya terhadap terik matahari. Sekiranya anda memiliki pakaian yang dianggap ‘tuah’ pada korang, maka pakailah. Setidak-tidaknya ia akan mendorong keyakinan diri.