Apa yang kita ada pada hari ini, amatlah wajar kita hargai dan pastikan ia terus kekal untuk tatapan generasi akan datang. Janganlah kerana kerakusan kita memancing hingga habis limit, anak cucu kita tidak lagi kenal rupa bentuk ikan yang ada di perairan kita.
Adalah sesuatu yang amat malang, jika suatu hari nanti, seluruh perairan kita dipenuhi ikan pendatang, lantaran kepupusan ikan asal dek kerana kerakusan kaki pancing yang tidak beretika!
Ancaman Dari Ikan Pendatang
Beberapa tahun yang kebelakangan ini, kita telah dapati banyak spesies pendatang yang telah memasuki perairan kita. Kebanyakannya adalah berasal dari aktiviti akuarium atau akuakultur.
Belum ada kajian yang cukup lengkap tentang kesan negatif dari kehadiran spesies-spesies ini, tetapi pada mata kasar pemancing-pemancing dan juga hasil kajian di negara lain, spesies pendatang memang telah menjejaskan habitat dan tumbesaran spesies asli kita.
Ada spesies pendatang yang membiak dengan amat pantas, memakan telur spesies ikan Malaysia dan juga merosakkan habitat air. Kesannya, ada ikan tempatan yang terbantut saiznya dan semakin berkurangan.
Kita tidak boleh menunggu hingga kajian lengkap dibuat mengenai isu ini. Kita perlu bertindak sekarang juga. Jika anda terpancing spesies pendatang di perairan yang semulajadi (tasik, sungai dan sebagainya), JANGAN LEPASKAN ia balik ke air. Makanlah atau dermakannya kepada pihak yang memerlukan.
Ikan Pendatang Termasuk:
Semua ikan jenis Cichlid: Flower horn, peacock bass, jaguar cichlid, kerapu lombong, tilapia (semua jenis)
Ikan-ikan Kap: Kap rumput, leekoh, kap kepala besar, kap putih, rohu, katla
Ikan Keli: Keli Afrika, Keli Rusia.
Lain-lain spesies: Pacu, lampam jawa, ikan bandaraya
Sila Amalkan ‘Tangkap Dan Lepas’ (Catch & Release)
Sila cuba mendaratkan ikan anda secepat yang mungkin. Ini mengelakkan dari paras asid lactic dalam ikan menjadi terlalu tinggi dan mungkin membunuh ikan.
Gunakan tangguk, bukan cangkuk (gaff). Tangguk perlulah dari bahan jaring yang halus dan tidak mencederakan sisik ikan.
Basahkan tangan anda sebelum anda memegang ikan. Ini mengelakkan dari lendir ikan dikikiskan. Lendir ini adalah pertahanannya dari penyakit!
Jika boleh biarkan ikan didalam air ketika anda menanggalkan mata kail.
Setelah menanggalkan mata kail, pegang ekornya didalam air, dan olakkan ikan sehingga ia mula meronta, kemudian lepaskanlah ia.
Jika anda ingin mengambil gambar ikan, buatlah secepat mungkin. Setiap saat ikan itu di luar air, maka semakin kurang peluangnya untuk hidup. Jangan gantung ikan dari insang atau bibirnya saja. Ini merosakkan organ dalamannya. Gunakan kedua-dua tangan anda, biarkan ikan itu dalam posisi mendatar.