Boleh dikatakan semua pemancing akan bersetuju jika dikatakan, cabaran yang paling besar bagi pancingan laut dalam selain kelesuan akibat perjalanan yang jauh dan dilanda ribut ialah masalah mabuk laut. Inilah faktor utama yang banyak membelenggu pemancing.
Walaupun sudah mempraktikkan pelbagai petua dan menelan ubat mabuk laut, tetapi tetap juga mabuk laut. Tetap juga tumbang sehingga bersumpah dalam hati untuk tidak turun ke laut lagi.
Anehnya, belum pun reda sumpah dalam ingatan sudah pun meletak nama untuk trip laut dalam yang seterusnya.
Untuk mengelak mabuk laut sebenarnya bukanlah terletak pada ubatan atau petua, sebaliknya kita perlulah membunyai kekuatan mental dan fizikal yang baik. Oleh yang demikian, kami ingin sarankan beberapa perkara sebagai langkah persediaan untuk menghindari gejala mabuk laut.
Rehat Yang Cukup
Rehat secukupnya. Maksud rehat secukupnya di sini ialah rehat yang sempurna sebelum hari turun memancing. Dalam erti kata lain, sekurang-kurangnya sehari sebelum trip kita cukup tidur dan tidak melakukan sesuatu yang banyak memerah tenaga. Saranan ini mungkin kedengaran agak skema dan poyo tetapi sebenarnya ia sangat membantu.
Amalkan Senaman
Amalkan aktiviti senaman bagi menjaga kecergasan fizikal dan badan. Terutamanya work out yang boleh menguatkan otot-otot bahagian tangan, paha, kaki dan juga perut. Lebih-lebih lagi jika kita akan melangsungkan trip jigging yang sememangnya memerlukan kecergasan penuh.
Ambil Vitamin
Amalkan mengambil makanan yang berkhasiat dan vitamin dan mineral tambahan yang diperlukan untuk kecergasan badan. Menjaga kesihatan badan merupakan satu perkara yang wajar dititikberatkan.
Ubat Mabuk
Sebaik-baiknya cubalah elak dari mengambil ubat tahan mabuk. Sekiranya belum dapat keyakinan maka ambillah sekurang-kurangnya dua jam sebelum menaiki bot. Dan jangan ambil ubat mabuk tambahan sekiranya tiada sebarang petanda akan mabuk sepanjang tempoh memancing.
Amalkan Urutan
Jika perlu dapatkanlah khidmat urutan badan secara tradisional bagi melegakan anggota dan bahagian badan yang selalu sakit-sakit. Urutan bagi mengeluarkan angin dan melancarkan perjalanan darah juga penting agar badan berasa lebih ringan dan cergas.
Pilih Trip
Sebagai permulaan, pilihlah trip yang bersesuaian dengan kemampuan diri kita. Sebaiknya pilihlah trip singkat yang tidak perlu bermalam di laut. Setelah dapat biasakan diri barulah sertai trip bermalam di laut kerana bermalam di laut lebih mudah untuk mabuk laut berbanding waktu siang.
Bot Mancing
Begitu juga dengan pemilihan bot. Sebaiknya pilihlah bot yang besar, luas, bersih dan luas. Bot yang besar dan luas membolehkan anda berasa sedikit walaupun laut beralun. Manakala bot yang tidak bersih dengan pelbagai bau menjadi penyumbang mengundang mabuk laut.
Kawal Minda
Kawal fikiran dan sentiasa berada dalam keadaan tenang. Seboleh-bolehnya ceriakan diri dan fokus kepada memancing daripada memikirkan soal mabuk. Sentiasalah bergerak kerana apabila kurang aktif dan banyak duduk ia mendorong rasa mual menguasai diri.
Jangan Tahan Kencing
Jangan melengah-lengah atau menahan kencing. Perbuatan menahan kencing akan menyebabkan angin juga terkumpul dalam badan sekaligus mengundang sakit kepala dan semakin mudahlah untuk mabuk laut.