Bagaimana Nak Memilih Gewang Berwarna Dengan Tepat

Share

 

Rata-rata kaki pancing pasti mempunyai gewang dengan warna `killer’ mereka sendiri. Kebanyakan dari kita percaya bahawa warna gewang tertentu mampu membuahkan hasil yang baik sewaktu memancing. Tapi, sejauh mana kebenaran bahawa warna sesuatu gewang amat mempengaruhi cita rasa ikan?

 

Secara semula jadinya, cahaya putih terdiri daripada beberapa warna yang berbeza (wavelength). Jadi, apabila cahaya terpancar pada sesuatu objek (dalam konteks ini ialah air), sebahagian daripada warna yang pelbagai tadi akan diserap dan sebahagian yang lain akan terbias.

 

Jadi, apa yang terjadi ialah air akan menyerap cahaya apabila ia melalui kedalaman dan sebaran gelombang yang berbeza.

 

 

Ini membawa maksud apabila sesuatu gewang dengan warna yang tertentu masuk ke dalam air, ia akan menyebabkan warna pada gewang itu beransur-ansur pudar apabila ia melalui kedalaman yang tertentu.

 

Warna dan Kedalaman

 

Apabila cahaya menembusi permukaan air yang jernih, kepelbagaian warna yang ada di dalam cahaya tadi akan diserap pada kadar yang berbeza.

 

Warna merah adalah yang paling cepat diserap oleh molekul air yang mana warna itu akan hilang sepenuhnya apabila melalui kedalaman 15-20 kaki. Ini diikuti oleh warna oren, kuning, hijau dan ungu. Warna biru merupakan warna yang mampu menembusi kedalaman yang paling dalam berbanding warna lain.

 

 

Kekeruhan Air

 

Faktor kekeruhan air merupakan antara perkara yang perlu diambil kira untuk memilih warna gewang. Terdapat beberapa perbezaan tahap kekeruhan air yang boleh kita jadikan panduan untuk memilih warna gewang:

 

Air Berkeladak atau Keruh

Jika memancing waktu air keruh, gewang berwarna hitam @ gelap adalah terbaik untuk digunakan.

 

Air Beralga atau Hijau

Alga boleh tersebar mengikut musim tertentu yakni disebabkan oleh cuaca panas berpanjangan. Ketika waktu ini gewang dengan 2 tona warna berbeza adalah antara yang terbaik digunakan.

 

 

Air Jernih

Sewaktu memancing di kawasan air jernih dan cetek, gunalah gewang berwarna merah, oren, kuning ataupun silver metalik.

 

Faktor Cuaca

 

Cuaca juga memainkan peranan besar di dalam pemilihan warna gewang. Jika kita memancing sewaktu musim panas yang mana cahaya matahari dipancarkan secara terus ke dalam air, warna gewang seperti ‘gold’ atau ‘silver’ dikatakan paling terbaik digunakan. Ini kerana warna ini berfungsi dengan baik untuk memantulkan cahaya di dalam air.

 

Pada ketika cuaca mendung atau berawan, cahaya UV akan menjadi lebih kuat pada waktu ini. Jadi gewang dengan warna-warna fluorescent adalah yang terbaik digunakan memandangkan ia akan menjadi lebih cerah di dalam air apabila dipantulkan oleh cahaya UV.

 

 

Adakah Warna Gewang Begitu Penting?

 

Untuk bercerita tentang perkara ini memang terlalu subjektif. Bahkan, jika anda bertanya kepada lebih ramai pemancing berpengalaman sekalipun tentang pemilihan warna gewang, pastinya anda akan mendapat 6 – 7 jawapan yang berbeza.

 

Justeru itu, mulai sekarang warna gewang ini bukanlah sesuatu yang wajib kita ambil berat. Cukuplah ada sedikit ilmu di dada warna apa yang patut digunakan pada waktu tertentu. Apa kata kita lebih fokuskan kepada saiz, aksi, dan kelajuan gewang yang kita gunakan kerana diyakini faktor ini adalah lebih penting untuk dititikberatkan untuk mendapatkan hasil yang diinginkan.

Published by
Amang