Sudah berapa lama usia enjin sangkut anda? Bila kali terakhir ia diservis di bahagian dalam dan luar? Kadang-kadang pemilik enjin terlupa aspek menjaga luaran yang juga amat penting bagi sesebuah enjin sangkut. Tidak dinafikan paras rupa luaran bukan ukuran kepada dalaman sesebuah enjin bot namun ia tetap berkait antara satu sama lain.
Sistem kawalan enjin menggunakan bearing bagi membolehkan ia ditolak ke kanan atau ke kiri perlu juga diperiksa dengan kerap. Sekiranya tidak diberi perhatian, bahagian dalamnya akan haus dan sudah tentu kos untuk membaikinya akan menjadi lebih besar.
Setiap enjin sangkut mempunyai puting gris untuk membolehkan minyak gris (grease oil) disalurkan ke bahagian engsel agar pergerakan lebih mudah dan lancar berbanding keadaan gris yang sudah pun kering.
Sukar Menghidupkan Enjin Sangkut Ketika Sejuk?
Terdapat persoalan kenapa perlu menaikkan sedikit pendikit minyak walaupun dalam buku manual ia tidak perlu dinaikkan. Sistem bahan bakar enjin sangkut yang menggunakan karburator menghantar bahan api petrol ke bahagian omboh piston.
Bagi enjin sangkut yang berusia sistem salur minyak tangki terus ke karburator ini mungkin berjalan dengan baik kerana mendapan minyak pelincir seperti 2T melekat pada salur getah ataupun karburetor.
Karburator perlu dicuci sekurang kurangnya 3 bulan sekali bagi enjin yang kerap digunakan dan bagi enjin yang jarang digunakan karburator perlu diperiksa terlebih dahulu sebelum turun membawa enjin sangkut ke padang pancing.
Enjin sangkut yang disimpan terlalu lama boleh menyebabkan mendapan minyak pelincir menjadi pekat dan menutup salur minyak karburator dan tidak dapat menghantar bahan api dengan baik.
Bagi enjin sangkut yang sukar dihidupkan tanpa memulas pendikit minyak, sistem choke perlu ditarik untuk memberi ruang udara pada karburator untuk mencetuskan bahan api bagi menghidupkan enjin.
Antara peralatan lain yang perlu diperiksa adalah sistem salur minyak yang sentiasa dalam keadaan baik dan tiada kebocoran walau sehalus jarum.
Pastikan socket penyambung minyak dari salur getah ke bahagian enjin masuk dengan tepat supaya pengaliran minyak dapat terus dihubungkan ke bahagian penapis seterusnya ke karburator.
Sebelum menghidupkan enjin, pam minyak sehingga diyakini memenuhi ruang salur dan sampai kepada karburator.
Pastikan juga gear dalam keadaan kosong dan mula menarik tali penghidup enjin secara perlahan. Jangan tarik dengan cara menyentap dengan kuat kerana gigi gear mungkin akan lucut dan jika ia kerap terjadi, kemungkinan bahagian starter mengalami kerosakan.
Palam pencucuh (plug) yang sepatutnya ditukar mengikut kekerapan penggunaan perlu juga diberi perhatian dan ia alat yang wajib dibawa sebagai sparepart tambahan ketika keluar memancing.
Sekiranya bancuhan 2T berlebihan bagi enjin 2 lejang, palam pencucuh ini akan menjadi basah dan menyebabkan sistem elektronik yang bertindak sebagai pengalir tenaga bahan bakar terencat akibat palam pencucuh yang basah.