Bagaimana Nak Mancing Dengan Selamat Atas Bot

Share

 

Boating atau memancing dengan menggunakan bot sememangnya seronok. Namun dalam pada keserokan itu ada juga perkara yang boleh mengundang padah.

 

Had Set Pancing

Bawa peralatan atau kelengkapan memancing yang perlu sahaja. Kalau sekadar nak casting tu tak perlulah macam nak pergi trip laut dalam berhari-hari lamanya. Had maksimum set pancing hanya dua bagi setiap pemancing.

 

 

Kapasiti pemancing

Pastikan kapasiti muatan (orang) sepadan dengan had limit muatan sampan. Kalau sampan muatan 2 orang tu janganlah sampai melebihi dua tiga kali ganda mengalahkan bot muatan pendatang haram.

 

 

Risiko Casting

Sekiranya korang memancing dengan teknik casting, sentiasalah pantau kedudukan rakan di atas sampan sebelum membuat balingan. Elakkan dari terburu-buru bagi mengelakkan insiden tercangkok mata kail pada kepala rakan.

 

Jaket Keselamatan

Walaupun korang memang handal berenang semua style yang ada, atau padang pancing berair cetek, selesa atau tidak selesa tiada alasan untuk tidak memakai jaket keselamatan. Biarlah orang nak cakap poyo ke apa kerana orang yang sama akan akan menyalahkan korang jugak kerana tidak memakai jaket keselamatan apabila berlaku sesuatu kemalangan.

 

 

Awas Objek Atas Air

Walaupun sudah biasa dengan geografi sesuatu padang pancing, elakkan dari memandu bot seperti mat rempit kerana macam-macam kejadian buruk yang boleh berlaku. Sentiasalah pantau kalau-kalau terdapatnya objek dan halangan di permukaan air.

 

Navigasi

Jika memancing di lombong atau tasik yang luas, sebaiknya gunalah gps bagi mengelakkan sesat sekiranya tidak mahir dengan selok-belok lokasi. Tidak kisah apa jenis aplikasi gps yang digunakan, yang penting ia berfungsi dengan baik.

 

 

Ancaman Binatang

Sekiranya perlu parkir di bawah pokok bagi mengelakkan panas atau hujan lebat, pastikan betul-betul pokok tersebut tiada binatang atau serangga berbisa. Terutamanya di kawasan muara sungai di mana ular gemar berehat di atas pokok.

 

 

Minyak Cukup

Pastikan bekalan petrol mencukupi di dalam tangki. Sebaiknya juga juga bawa bekalan tambahan. Dan lebih penting lagi jangan sesekali tertinggal pendayung. Tiada yang lebih mendebarkan selain dari peristiwa kehabisan minyak dan pendayung pula tak ada.

 

 

Rai Kejayaan

Sentiasa bertenang ketika memancing dan jangan sesekali melompat kegembiraan apabila berjaya menaikkan ikan. Ia bukan saja membahayakan keselamatan, malah juga menyakitkan hati rakan yang masih kumpau.

Published by
Amang