Kamera DSLR bukanlah gajet murahan. Namun ramai kaki pancing juga merupakan kaki kamera. Oleh yang demikian, adalah sangat penting untuk mengetahui musuh-musuh kamera dan bagaimana cara untuk menggunakannya dengan sempurna.
Jauhi Habuk Dan Debu
Selepas mengambil gambar tidak kira sama ada di laut mahupun darat, anda hendaklah sentiasa membersihkannya sebelum simpan di dalam beg kamera. Ia amat penting supaya kamera tersebut tidak termasuk pasir, air mahupun habuk.
Kamera amat sensitif dengan air terutamanya air laut mahupun air tawar. Jika terkena, segera lap dengan kain bersih dan kering. Kamera yang terdedah dengan kelembapan tinggi akan menyebabkan fungus dan kulat membiak terutamanya lens yang boleh menjejaskan kualiti gambar.
Pegang Dengan Betul
Lilitkan strap kamera anda di tangan berbanding gantung di leher. Ini kerana jika anda gantung di leher, ia akan menarik perhatian ramai untuk meragut. Jangan sesekali abaikan keselamatan kamera ini kerana sekali jatuh, memang menangis jawabnya.
Jauhi Kelembapan
Gel silika digunakan untuk menyerap kelembapan kamera. Gel silika ni mudah didapati di pasaran. Harganya pun bukan mahal.
Filter Perlindungan
Filter digunakan untuk melindungi lens anda dari sebarang calar. Sekiranya anda mempunyai 5 lens, seeloknya beli UV filter untuk melindungi lens tersebut.
Beg plastik
Kalau turun ke laut, sila pastikan anda membawa beg plastik atau kain batik atau tuala khas untuk kamera sahaja. Bukan tuala tersebut bercampur dengan peluh-peluh anda. Ini adalah kerana tuala atau kain tadi dapat mengelakkan pasir masuk ke celah-celah lens. Balut kamera tersebut bila naik bot.