Gewang sesudu atau spoon merupakan umpan tiruan yang amat efektif dalam teknik casting. Ia semakin digemari dan ramai yang menggunakannya. Namun gewang ini perlu dimainkan atau digayakan dengan aksi tertentu bagi membolehkan ia dapat strike.
Teknik short hopping (lompatan pendek)
Lemparkan sesudu ke arah mana yang anda sukai, biarkan ia tenggelam hingga ke dasar dan kemudian karau tali yang kendur. Dengan menggunakan pergelangan tangan (wrist), terus angkat joran sedikit sahaja seperti anda mengangkat cawan kopi untuk diminum.
Sesudu akan terangkat sedikit dari dasar bergerak lebih kurang sekaki dan tenggelam semula. Karau semula tali yang kendur dan lakukan proses tadi hingga sesudu sampai kepada anda. Ia boleh dilakukan dengan cepat ataupun perlahan.
Teknik lompatan panjang (long hopping)
Seperti lompatan pendek, tetapi selepas sesudu tenggelam hingga ke dasar, kali ini angkat keseluruhan tangan dari penggelangan tangan hingga ke siku ke atas dalam sudut 90 darjah. Tangan boleh diangkat laju atau perlahan tetapi pastikan tali sentiasa tegang apabila menjatuhkan tangan ke posisi asalnya semula.
Ini adalah kerana semasa tangan diangkat, sesudu akan naik dan bergerak lebih kurang satu meter dari dasar dan semasa ia jatuh semula ia akan bergelek dan ada kalanya waktu ini disambar pemangsa.
Jika tali kendur, ragutan pemangsa tidak terasa dan selalunya sembatan tidak padu menyebabkan pemangsa terlepas akibat cangkukan mata kail yang tidak kukuh. Teknik ini juga secara laju dan perlahan.
Teknik unjunan (jigging)
Teknik ini adalah terbaik jika anda menggunakan bot. Kawasan sasaran adalah kanopi rumpair yang meneduhi tebing yang juram dan dalam atau kawasan bukit-bukit tenggelam di tengah-tengah tasik atau lombong yang boleh dijejaki dengan bantuan sonar.
Terbaik jika kedalaman melebihi 20 kaki, keadaan air yang gelap tetapi jernih. Untuk kawasan bukit tenggelam, pastikan bot menggunakan sauh supaya bot tidak berhanyut ditiup angin dan jika kawasan tebing, pastikan bot berhanyut sejajar dengan tebing yang curam tersebut atau ikat bot ditubir kanopi rumpair.
Sesudu dijatuhkan ke bawah bot hingga ke bawah bot hingga ke dasar, kemudian mengunakan pergelangan tangan sahaja sentap (twitch) joran sedikit demi sedikit hingga sesuu sampai kepada anda.
Cara yang lain, apabila sesudu mencecah dasar, angkat semula joran sekaki tingginya dan jatuhkan semula ke posisi asal, ulang proses ini sehingga 20 kali atau lebih. Sesudu akan sentiasa turun naik dalam lingkungan sekaki ke dua kaki dari dasar.
Selain itu anda juga boleh angkat joran tinggi hingga sudut 90 darjah, tapi pastikan tali sentiasa tegang semasa menuruti sesudu tengelam semula kedasar. Ulang juga sehingga 20 kali atau lebih.
Anda juga boleh unjunkan sesudu di perimeter pertengah atau beberapa kaki dari dasar. Terbaik sekali unjunan 5-10 kali (sama ada joran diangkat rendah atau tinggi) dilakukan bermula dari dasar, kemudian naik antara 2-4 kaki, unjun semula 5-10 kali, naik lagi 2-4 kaki, unjun lagi 5-10 kali dan lakukan ia bertingkat-tingkat naik hinggalah sesudu sampai kepada anda.
Alternatif lain selain unjunan adalah vibrating (getaran). Kali ini joran tidak diangkat tetapi hanya hujungnya digetarkan dengan menggigilkan pergelangan tangan anda sahaja. Aksi sesudu akan menjadi seperti menari-nari di dalam air. Boleh diaplikasikan cara jigging yang bertingkat-tingkat naik tadi.