Sebelum kita berangan nak tarik udang sado, sepit biru panjang sekaki ke… kita perlu memahami sifat, tabiat dan habitat udang galah yang ia hidup.
Udang galah hidup berkelompok dan selalunya terdapat di kawasan yang mempunyai reba atau struktur yang terdapat di dalam sungai. Memahami situasi sesuatu lubuk adalah perkara yang paling utama sebelum melabuhkan umpan.
Sekiranya arus air deras maka mereka akan berselindung di kawasan tepi dan semasa tiada arus atau arus perlahan mereka akan ke tengah sungai. Gagal memahami tabiat udang ini bakal menyebabkan kita rentung sepanjang hari.
Udang galah aktif apabila air sungai bersuhu suam dan akan kurang makan apabila air sungai sejuk atau terlampau tawar. Musim yang paling baik untuk memancing udang adalah pada musim panas atau kemarau.
Udang galah adalah haiwan jenis omnivor iaitu spesies yang makan serba-serbi yang dijumpainya. Bagi saya, umpan yang saya selalu gunakan adalah perumpun, cacing, isi ikan, jantung ayam yang dibakar sedikit dan dihiris, isi ikan kembung, kulit ayam dan ikan longkang atau gapi yang ditangkap dan disimpan dalam bekas plastik selepas direnjiskannya dengan sedikit belacan dan dibekukan selama sehari dua. Boleh dikatakan udang galah akan makan serba jenis benda yang berdaging yang berbau.
Untuk mata kail pula saya selalu menggunakan mata kail no 1 hingga 5 kerana saiz ini paling sesuai di mana adakala saya pakai jenis berduri (barb) dan ada masa jenis tidak berduri (barbless). Apa yang penting mata kail itu mestilah tajam.
Satu lagi tip yang saya hendak berikan adalah supaya menggunakan ‘burley’ atau rasuah untuk memikat udang datang. Caranya gunakan makanan kucing yang basah yang dijual di kedai di dalam tin ataupun paket. Saya akan membuatkan lubang pada tin atau paket dan meletaknya di bawah bot atau sampan.
Terdapat pelbagai cara untuk mengikat tali pancing pada kail. Ada yang senang tapi tak kuat. Ada yang kuat tapi tak senang pulak nak buat. Basic hook knot merupakan salah teknik ikatan mata kail yang bukan sekadar mudah untuk dipelajari bahkan juga satu ikatan yang kuat. Sama ada mata kail diikat dengan perambut nylon atau tali sulam, kedua-dua boleh diikat dengan kemas dan kukuh.
Tutorial 1
Masukkan tali perambut kira-kira sejengkal melalui lubang cincin mata kail. Sebaiknya masukkan hujung tali melalui arah belakang mata kail.
Tutorial 2
Masukkan kembali hujung tali perambut melalui lubang cincin arah hadapan. Jangan ditarik habis kerana ia menyebabkan tali terkeluar dari lubang cincin.
Tutorial 3
Hujung tali itu kemudiannya dimasukkan ke dalam simpulan yang terhasil tadi.
Tutorial 4
Kecilkan simpulan pertama yang terhasil tadi dengan menarik bahagian punca tali perambut utama.
Tutorial 5
Mulakan lilitan dengan bahagian hujung tali perambut pada teras mengarah ke mata kail.
Tutorial 6
Lakukan sekurang-kurangnya 5 kali lilitan dan masukkan hujung tali perambut ke dalam simpulan kedua tadi.
Tutorial 7
Basahkan lilitan tali perambut dan tarik kedua-dua tali perambut perlahan-lahan.
Tutorial 8
Sila pastikan lilitan tersusun kemas kemudian barulah tarik ikatan sehingga kemas. Potong lebihan tali dan ikatan telah siap.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...