Bagaimana Nak Berjaya Punggah Ikan Patipok

Share

 

Patipok atau pecah periuk (Lobotes surinamensis) adalah spesies yang gemar mengikut sampah yang dihanyutkan dari muara sungai ke laut seperti batang pokok tumbang, pokok nipah yang hanyut.

 

Ikan ini menjadikan sampah sarap atau apungan sampah sebagai lokasinya mencari makan. Jika terserempak dengannya ketika memancing di tengah laut, jangan sesekali menganggapnya hanya sampah sarap, tetapi ia sebenarnya rezeki terpijak buat anda.

 

 

Lontaran Umpan

Dalam memburu penghuni apungan (selain patipok, ada spesies lain juga menghuni apungan besar), teknik menghanyut umpan dan melontar perlu dilakukan sehampir mungkin ke apungan tersebut.

 

 

Perambut

Perambut sepanjang setengah depa menggunakan perambut kabel ataupun tali mono 60 paun boleh dipraktikkan dalam memburu spesies ini. Setting kasar ini penting bagi memastikan dapat menarik mangsa keluar dari halangan apungan.

 

Umpan

Umpan sotong atau hirisan kembung sangat sesuai digunakan untuk menjerat mangsa yang kebiasaannya mencari makanan di sekitar apungan yang hanyut. Spesies pelagik ini pada kebiasaannya akan melarikan umpan antara dasar dan permukaan air.

 

 

Set pancing

Set pancing yang digunakan juga tidak perlulah menjurus kepada set yang terlalu berat kerana, aksi tarikannya memang dinantikan pemancing. Cuma perlu seimbang agar dapat merasai keseronokan sebenar melayan penghuni ini.

 

Umpan alternatif

Secara amnya, ikan patipok akan menjamah apa jua umpan yang dilontarkan berhampiran kumpulan mereka.Selain hirisan kembung dan sotong, batu ladung yang diikat bulu itik juga mendapat sambutan dan tidak keterlaluan jika saya katakan spesies ini mudah dipancing jika terkena lubuknya. Selain itu mikro jig dengan sotong getah juga boleh digunakan.

 

Published by
Amang