Panduan mudah ini sering dipandang remeh, namun ia merupakan asas dan perkara paling mudah untuk dilakukan. Jika anda pergi memancing di hutan atau di mana-mana, pastikan anda membawa pulang sampah atau menanamnya.
Jangan sesekali membiarkan sampah merata-rata terutama jenis plastik dan polimer. Begitu juga dengan botol minuman berkaca, jangan sesekali membuangnya terus ke dalam air dan membiarkannya tenggelam kerana ia lebih memburukkan keadaan dasar sungai.
Anda tidak perlu untuk menangkap secara berlebihan jika untuk dijadikan makanan. Jika ingin membawa pulang, amalkan konsep bag limit. Malah, ikan yang bersaiz kecil dan tidak sesuai dimakan, lebih wajar untuk dilepaskan kembali.
Cukup sekadar bergambar sebelum dilepaskan untuk dijadikan kenangan. Sesetengah spesies mengalami ancaman kepupusan.
Mungkin bagi sesetengah tempat atau kawasan masih banyak, namun ia perlu dilihat secara menyeluruh kerana mungkin ia telah sukar didapati bagi kawasan lain pula.
Peraturan dan etika memancing wujud untuk memelihara ikan dan sumbernya agar kita terus dapat menikmati dan berkongsi keseronokan memancing.
Tiada sebab untuk anda memancing secara semborono tanpa mengikut etika dan peraturan memancing. Keseronokan memancing perlu seiring dengan etika dan peraturan terhadap sumber dan ikan itu sendiri.
Setiap pemancing perlu melaporkan sebarang kegiatan tidak bermoral terhadap sumber. Pemusnahan sumber seperti kegiatan menuba, bom ikan, penggunaan elektrik dan lain-lain perlu dicegah bersama-sama.
Walaupun di Malaysia, pemancing tidak diiktiraf, tidak ada salahnya jika kita pemancing, mengambil peranan ini terlebih dahulu untuk melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan.
Siapa tahu suatu hari nanti, kerajaan melihat pentingnya peranan pemancing, mungkin akan ada ‘Jabatan Pemancing’ untuk kita berhubung terus untuk sebarang masalah.
Jangan sesekali memusnahkan atau menokok tambah kecantikan asli sesuatu kawasan. Kita sering melihat lakaran atau torehan nama pada batu atau pokok di hutan kononnya sebagai kenangan abstrak pernah ke sana.
Ia tidak patut berlaku malah sebenarnya perbuatan ini lebih mencacatkan persekitaran dan nilainya. Biarkan pokok-pokok atau bunga-bunga tumbuh meliar dan jangan sesekali memetik atau merosakkannya.
Seorang pemancing yang bagus akan sentiasa terus belajar untuk menambahkan ilmu dalam memancing. Ini termasuk meningkatkan teknik memancing, meluaskan ilmu tentang sifat ikan dan sentiasa tahu jika apa yang pemancing lakukan boleh mendatangkan akibat buruk kepada sumber.
Dengan ini, anda mampu menjadi sebahagian daripada penyelesaian dan bukan sebahagian daripada punca masalah. Anda tidak perlu untuk terus tahu tentang segalanya, namun anda mampu untuk belajar sesuatu daripada setiap trip yang anda lalui.
Setiap pemancing perlu berkongsi tentang kesedaran dan ilmu dengan pemancing lain. Malah ia mampu menarik perhatian bagi individu lain untuk terjun ke dunia memancing.
Berkongsi ilmu sebegini lebih mendatangkan manfaat berbanding hanya kita yang tahu dan mempraktikkannya.