Garisan lateral ialah satu garisan halus melintang pada badan ikan yang memanjang dari kepala hingga ke ekor. Garisan lateral ini mempunyai organ sensor yang membolehkan ikan mengesan perubahan suhu dalam air dan mengesan sebarang getaran yang berlaku di dalam air.
Walaupun dalam keadaan air yang keruh, garisan lateral akan bertindak seperti sonar untuk mengesan lokasi, kelajuan dan saiz sesuatu objek di sekelilingnya.
Ikan dapat mengesan bau menerusi nostril yang dipanggil ‘nares’ yang seakan lubang hidung terletak di atas mulutnya. Menerusi organ ini, ikan dapat mengesan mangsa, pemangsa dan lokasi asalnya walaupun telah berenang sejauh ribuan batu.
Walaupun ikan mempunyai deria bau yang baik, kebanyakan ikan tidak bergantung kepada deria ini kerana apa yang ikan dapat kesan melalui bauan pada satu masa bergantung kepada kekuatan dan arah arus air.
Kebanyakan ikan mampu merasa melalui reseptor rasa di dalam mulut, deria ini selalunya kurang digunakan oleh kebanyakan ikan terutama ikan pancingan. Lain pula halnya bagi kumpulan ikan catfish. Ikan seperti keli dan baung pula menjadikan deria ini sebagai organ utama dalam mencari makanan kerana kumpulan ini mempunyai deria bau dan rasa yang cukup berkesan dengan menggunakan misainya yang dipanggil barbel.
Ikan mempunyai penglihatan yang baik, namun matanya berbeza dengan manusia. Lensa mata ikan berbentuk bulat bagi membolehkannya melihat di dalam air. Ikan air tawar tidak mempunyai kelopak mata untuk menentukan jumlah cahaya yang memasuki matanya untuk melihat. Jadi ikan ini akan bergerak ke kedalaman yang berbeza untuk mengawal cahaya yang masuk.
Kebanyakan ikan boleh melihat warna, disebabkan itu kita dapat perhatikan banyak gewang tiruan di pasaran dalam pelbagai jenis warna. Kedudukan mata ikan membolehkannya melihat sisi kanan dan kiri dalam satu masa. Posisi ini juga menyebabkan titik buta di hadapan dan belakangnya pada jarak tertentu.
Oleh kerana cahaya akan membias apabila memasuki air, ikan sebenarnya boleh melihat keluar permukaan air tanpa perlu menghala penglihatannya ke atas. Jadi jika anda melihat ikan di dalam air, kemungkinan besar ikan itu juga melihat anda. Adalah lebih baik untuk anda menghampiri kawasan lubuk pilihan anda dengan pergerakan minimum bagi mengelakkan ikan terkejut.